Lima lelaki termasuk seorang kerabat diraja Pahang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuantan hari ini atas pertuduhan mencederakan seorang individu, Jun lepas.
Nik Norhisham Affendi Nik Mohd Zani, 39, Mohd Fouzi Md Nur, 44, Mohd Taufik Daud, 32, Khairul Azhar Rosli, 38, dan Tengku Eddie Akasya Tengku Abd Rahman, 20, didakwa secara bersama dengan sengaja menyebabkan kecederaan di bahagian paha kanan lelaki berkenaan dengan pisau.
Kesemua mereka didakwa melakukan kesalahan itu terhadap Alias Awang, 44, dalam kawasan lot tanah bangsal kuda Jalan Teluk Sisek di Kuantan pada 6 Jun, sekitar 12.20 tengah malam.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang boleh dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Pahang Shahrizat Ismail bersama Noor Aishah Mohd Amin dan B. Deevagaran Naidu, manakala tertuduh diwakili peguam Y. Sheelan Samuagam, Datuk K. Santhra, Tee Yuan Sheng, K. Theivaendran dan Mohammed Badrulzzaman Abu Bakar.
Pada prosiding itu, Shahrizat menawarkan jaminan RM10,000 dikenakan terhadap setiap tertuduh, dengan mencadangkan syarat tambahan kesemua mereka melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan dan tidak menggangu mangsa sehingga kes selesai.
Bagaimanapun, peguam Y. Sheelan memohon jaminan minima dikenakan dalam lingkungan RM5,000 terhadap anak guamnya Nik Norhisham Affendi dan Khairul Azhar yang bekerja sebagai penternak lembu, manakala Mohd Taufiq pekerja kontrak dan Tengku Eddie Akasya yang masih ditanggung ibu bapa.
Peguam Mohammed Badrulzzaman yang mewakili anggota polis Mohd Fouzi, turut memohon jaminan rendah terhadap anak guamnya yang menyara isteri dan anak yang masih bersekolah.
Majistret Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat menetapkan jaminan sebanyak RM7,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin dan membenarkan semua syarat tambahan dicadangkan pendakwaan selain 11 Dis untuk sebutan semula kes.
Sebelum ini, media melaporkan seorang pekerja pembinaan dan penyelenggaraan jalan mendakwa cedera selepas diserang seorang kerabat diraja dan beberapa individu menggunakan senjata.
Akibat serangan itu, lelaki itu dilaporkan cedera di paha dan menerima beberapa jahitan serta luka di bahagian kaki.
Susulan kejadian itu, Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menitahkan polis menjalankan siasatan segera, telus dan adil, berhubung dakwaan berkenaan.
— BERNAMA
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram