Di dalam al-Quran, Allah S.W.T. telah menceritakan tentang kisah perbualan Nabi Sulaiman a.s. dengan burung hud-hud (belatuk) tentang perihal permaisuri Saba’ dan para pembesarnya yang tidak beribadat kepada Tuhan Yang Maha Agung, tetapi menjadi penyembah matahari.
Kisah ini pastinya menyebabkan para pendokong darwinisme tidak mungkin menerima hakikat bahawa makhluk seperti semut atau burung mampu bertutur menerusi bahasa pertuturan, kerana mereka menganggap manusia homo sapien sahaja yang mempunyai kebolehan istimewa tersebut.
Malah manusia primitif turut digambarkan sebagai manusia yang belum mempunyai bahasa yang sempurna. Bahkan mereka hanya mampu menggunakan perkataan asas yang mudah sahaja, apatah lagi haiwan yang lebih rendah taraf perubahan evolusinya mengikut kefahaman mereka.
Kisah burung berkomunikasi menerusi bahasa menjadi kisah yang masyhur dalam kisah para anbia. At-Tabari misalnya menerusi Tarikh al-Tabari meriwayatkan kisah burung hud-hud Nabi Sulaiman a.s. berdialog dengan burung hud-hud Puteri Balqis, iaitu kerajaan Saba’. Lihat al-Tabari jilid 1 halaman 166.a
At-Tabari meriwayatkan antara mukjizat Nabi Sulaiman a.s. ialah Baginda memahami pertuturan unggas serta menjadikan burung sebagai sayap ketenteraan. Burung hud-hud mempunyai kebolehan untuk mengesan air yang berada di bawah lapisan tanah dengan inderanya yang istimewa yang tidak dimiliki manusia.
Tentera Baginda terdiri daripada manusia, jin, syaitan dan burung. Baginda bergerak dengan pergerakan angin. Perkhabaran ini menjadi sebahagian mukjizat Baginda yang tidak termasuk dalam domain sains barat. Bahkan kisah singgahsana Balqis yang dibawa ke hadapan Baginda dalam sekelip mata oleh seorang manusia yang dianugerah ilmu bukanlah perkhabaran yang boleh dinilai dengan kaedah empirikal makmal kerana mukjizat berada dalam kategori mandala bukan fizikal.
Demikian pula pada hari Akhirat nanti, anggota manusia seperti tangan, kaki, kulit dan seumpama bercakap untuk menyaksikan perlakuannya di dunia dan itu adalah tidak menjadi perkara yang pelik, jika penemuan kajian yang melihat semut pun tidak bertutur menerusi lidah dan mulutnya. Akan tetapi menerusi segmen yang membentuk abdomen serangga tersebut.
Penciptaan lebah
Begitu juga dengan serangga seperti lebah. Komuniti lebah membentuk satu kemasyarakatan yang harmoni di kalangan mereka begitu menakjubkan bagi para pengkajinya. Setiap individu lebah diberikan tugas yang khusus.
Pekerja lebah terdiri daripada lebah betina. Dalam surah an-Nahl, al-Quran menggunakan kalimah feminin untuk merujuk kepada lebah pekerja yang membina sarang yang bermaksud lebah betina, yang giat menjalankan tugas umum komuniti termasuk membina sarang, mengawal dan menjaganya daripada serangan musuh. Firman Allah surah al-Naml: 68,
“Dan Tuhanmu mengilhamkan kepada lebah betina agar menjadikannya daripada bukit sebagai tempat tinggal dan juga pokok dan binaan yang mereka dirikan…”
Pekerja betina tersebut dengan cekap membina sarang dalam bentuk geometri gabungan segienam sekata yang sempurna tanpa sedikit pun kesilapan susunannya, seolah-olah binaan yang disempurnakan oleh arkitek yang mahir menggunakan pelbagai peralatan reka bentuk.
Kebolehan mereka mengesan sarang dan tempat mengambil polen debunga mengkagumkan para pengkajinya. Sebagai contoh, sekumpulan pengkaji yang diketuai Charles Abramson memerhati perilaku kumpulan lebah pekerja tersebut yang keluar mencari debunga.
Kajian ini boleh dibaca dalam makalah kumpulan ini bertajuk “Alcoholism: Clinical and Experimental Research. Namun ada dalam kalangan lebah tersebut yang melakukan jenayah dengan mengambil debunga yang telah bertukar menjadi etanol yang memabukkan.
Seperti manusia juga, lebah yang mengambil etanol tersebut menjadi mabuk lalu terdedah kepada pelbagai kejadian jenayah di kalangan masyarakat lebah, termasuk membawa balik bahan yang memabukkan tersebut ke sarang lalu membahayakan atau membunuh anak lebah dalam sarang.
Akan tetapi pengawal yang ditugas menjaga sarang lebah segera mengesan bau arak tersebut lalu mengejar dan membunuh lebah yang durhaka itu sehingga berjaya dihapuskan. Maka itu madu lebah terpelihara daripada sebarang toksid. Kebersihan sarang lebah dari segi bebas bakteria tidak dapat ditandingi sebarang dewan bedah di hospital moden.
Lebah yang mengawal sarang pula sangat setia menjaga amanahnya. Andainya ada lebah lain yang datang mencuri debunga atau madu dalam sarang, mereka akan berjuang habis-habisan sehingga ada yang gugur syahid mempertahankan koloninya.
Sesungguhnya perilaku kehidupan serangga itu terlalu mengasyikkan bagi mereka yang melihatkan dengan mata hati dan menerusi dimensi saintifik semata-mata. Kejadian lebah jantan dalam masyarakat lebah turut mengkagumkan kerana para pengkaji mendapati lebah jantan tercipta daripada hanya benih lebah betina.
Kejadian lebah jantan dalam kehidupan makhluk ini tidak mengikuti peraturan biasa dalam kalangan alam haiwan. Pengecualian dalam pemerhatian sedemikian menunjukkan saintis tidak mampu lagi berhujah dengan ‘the law of nature’ tetapi peristiwa tersebut berlaku mengikut iradah dan sunnatullah sebagaimana yang dikehendaki Nya seperti dalam peristiwa kelahiran Nabi Isa a.s. yang tidak memerlukan ayah.
Begitulah bagaimana Allah menunjukkan kekuasaan Nya dengan ciptaan yang sangat hebat, unik dan luarbiasa. Hanya orang yang melihat dengan akal sahaja akan bertambah keimanan dan keyakinannya kepada Allah. Kerana disitulah terletaknya sifat Allah yang Maha Berkuasa. Wallahu a’lam
_____________________________________________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

