Dunia adalah tempat persinggahan. Akhirat adalah tempat yang kekal abadi. Dunia merupakan ladang bercucuk tanam (beribadah) dan akhirat adalah tempat hasil tuaian diperoleh. Jika yang ditanam di dunia baik dan berkualiti, maka hasil yang diperoleh di akhirat nanti juga baik dan menguntungkan. Begitulah yang dijanjikan Allah kepada hamba Nya yang berusaha bercucuk tanam di dunia untuk hasil yang lumayan di akhirat antaranya:
Pertama: Berdoa
Berdoa adalah senjata bagi orang mukmin. Oleh itu sentiasalah berdoa kepada Allah agar diperkuat dan dipelihara iman kita. Yakinlah apabila setiap kali berdoa kerana doa itu mendekatkan diri kita dengan Allah. Dan Allah juga sangat menyukai hamba-hamba Nya yang berdoa kepada Nya. Firman Allah surah al-Baqarah: 186
“Dan apabila hamba-hamba Ku bertanya kepadamu mengenai Ku maka (beritahulah kepada mereka), “Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka), Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepada Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan Ku (dengan mematuhi perintah Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada Ku supaya mereka menjadi baik serta betul.”
Kedua: Memperbanyakkan amalan-amalan sunat
Amalan sunat antaranya seperti solat sunat, puasa, mengaji, berzikir dan lain-lain. Sabda Rasulullah s.a.w.
“Puasa yang paling disukai oleh Allah ialah puasa Nabi Daud a.s. dan solat yang paling disukai Allah ialah solat Nabi Daud a.s.”
Ketiga: Membaca al-Quran
Bacalah al-Quran beserta tafsirnya supaya kita sentiasa bermuhasabah diri. Dengan membaca serta memahami dan mengamalkan isi kandungan al-Quran, ia bukan sahaja dapat memupuk jiwa yang tenang dan membentuk keperibadian muslim sejati malah dapat ganjaran yang besar dari Allah. Sabda Rasulullah s.a.w.
“Bacalah al-Quran, sesungguhnya ia akan datang di hari Kiamat sebagai syafaat kepada pembacanya” (HR Muslim)
Keempat: Melakukan solat malam
Firman Allah surah al-Isra’: 79,
“Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah sembahyang tahajud padanya sebagai sembahyang tambahan bagimu. Semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji”
Kelima: Sentiasa berzikir
Basahkan bibir dengan berzikir kerana ia adalah terapi hati yang paling berkesan dan boleh mendatangkan ketenangan jiwa dan fikiran. Malah Baginda s.a.w. sendiri memperkatakan mengenai zikrullah ini. Abdullah bin Busr meriwayatkan Rasulullah s.a.w. ditanya seseorang,
“Wahai Rasulullah! banyak syariat Islam saya ketahui. Sekarang beritahu saya sesuatu yang sentiasa dapat saya lakukan” Kemudian Rasulullah bersabda, “Basahi lidahmu dengan berzikir kepada Allah” (HR at-Tirmizi, Ibnu Majah dan Ahmad)
Keenam: Bersedekah
Rasulullah s.a.w. menganjurkan kepada kita umatnya untuk memperbanyakkan sedekah. Hal itu dimaksudkan agar rezeki yang Allah berikan kepada kita menjadi bertambah berkat dan dijauhkan dari api neraka. Dari Aisyah r.ha, sabda Baginda s.a.w.
“Jauhilah api neraka, walau hanya dengan bersedekah sebiji kurma” (HR Ahmad)
Ketujuh: Menghadiri majlis ilmu
Ganjaran berada di majlis ilmu terlalu besar di sisi Allah. Daripada Abu Darda r.a. berkata, “Aku telah mendengar Nabi s.a.w. bersabda,
“Barangsiapa yang menjalani satu jalan ilmu bererti ia telah menjalani suatu jalan daripada jalan-jalan syurga. Sesungguhnya para malaikat menghamparkan sayapnya kerana redha bagi orang yang menuntut ilmu…” (HR Abu Daud)
Kelapan: Zuriat yang soleh dan solehah
Didiklah anak-anak dengan pendidikan agama yang sempurna. Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda,
“Bila seorang hamba telah meninggal, segala amalnya terputus kecuali tiga hal iaitu amal jariah, ilmu yang bermanfaat, atau anak soleh yang mendoakannya” (HR Bukhari)
_________________________________________________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram