Dalam legenda kuno Hindu ada menyebut tentang asal usul pagoda yang membawa kepada pembinaan kota Mahabalipuram yang juga dikenali sebagai Mamallapuram.
Kota purba yang dilindungi sebagai tapak warisan dunia UNESCO ini terletak di pesisir pantai dalam wilayah Kanchipuram di India. Di situ, berdirinya sebuah candi yang disebut sebagai Kuil Shore yang telah dibangunkan pada abad kelapan.

Sejak sekian lama, mitos berlegar mengenai kisah tujuh buah kuil yang dikatakan terdapat di pesisir pantai tersebut. Kuil Shore adalah salah satu daripadanya yang dikenali dengan julukan ‘Seven Pagoda’ itu.
Waktu dahulu, pesisir pantai ini merupakan pelabuhan yang sibuk. Nama ‘Seven Pagoda’ diberi oleh pedagang Eropah yang melalui kawasan ini kerana dikatakan mereka melihat dengan jelas tujuh buah kuil di pesisir pantai sewaktu belayar ke India.
Tiada bukti kukuh yang menyokong kewujudan kuil-kuil tersebut, namun penduduk tempatan mempercayainya. Para nelayan mendakwa pernah terlihat bayangan binaan yang berkilauan di bawah gelombang air laut.
Kepercayaan Hindu mengatakan, Dewa Indra cemburu melihat keagungan kota ini dahulu dan telah menenggelamkan kuil-kuil tersebut. Hanya satu yang ditinggalkan iaitu Kuil Shore.
Daripada segi saintifik, Kuil Shore masih kukuh kerana dibina di atas tapak batu. Tidak seperti enam buah kuil yang lain, kesemuanya dibina atas tapak pasir. Dan perubahan muka bumi mengakibatkan kuil-kuil tersebut akhirnya tenggelam apabila dilanda ribut pada suatu masa dahulu.
Tsunami merungkaikan mitos
Mitos tentang Seven Pagoda terus jadi tanda tanya sehinggalah tarikh 26 Disember 2004. Gempa bumi dahsyat di pantai barat Aceh telah mengakibatkan tsunami yang mengorbankan ratusan nyawa di beberapa buah negara termasuk India. Dalam waktu yang sama, bencana itu juga telah menjelmakan semula bandar purba dari dasar lautan yang sebelum ini hanya dianggap sebagai kisah dongeng.
Pada hari sama sebelum tsunami melanda, air pantai di pesisir kota Mamallapuram telah surut sejauh 500 meter. Ketika ini, penduduk tempatan dan para pelancong menyaksikan susunan batu-batu besar yang terdampar di tengah lautan yang mengering. Mereka melihat kelibat binaan itu lebih kurang 30 minit sebelum tsunami menghempas bandar tersebut.

Selepas tsunami, kerja cari gali oleh pakar arkeologi dan agensi antarabangsa dimulakan di kawasan tersebut. Antara peninggalan yang ditemui merupakan sebuah patung singa yang berasal dari abad ketujuh.
Beberapa hasil binaan yang dipercayai sebuah kuil dan juga tapak kuil lama turut ditemui. Syiling lama dan sebahagian artifak kuno yang dipercayai digunakan dalam ritual Hindu turut dijumpai.

Penemuan artifak ini seakan mengesahkan bahawa legenda Seven Pagoda memang wujud satu ketika dulu. Catatan mengenai pengalaman pelayar-pelayar Eropah yang pernah singgah ke kota tujuh buah kuil itu yang dahulu diragui mula diakui.
Sebelum tsunami melanda, bukti kewujudan kota Seven Pagoda yang megah itu hanya sekadar anekdot. Tahun 2005, kajian di perairan kota kuno itu menggunakan teknologi sonar menemui deretan batu-batu besar yang pernah disaksikan oleh sebilangan orang sejurus sebelum tsunami. Ia merupakan sebahagian dinding kuil setinggi enam kaki dengan kepanjangan 70 meter.
Hasil cari gali belum secara tepat boleh dikaitkan dengan kebenaran mitos Seven Pagoda. Namun, pemetaan dinding bahagian dalam dan luar dari dua buah candi yang terendam di dasar laut dikatakan punya struktur yang sama dengan gambaran tentang kompleks Seven Pagoda. Kebenarannya? Hanya masa yang akan menentukan.

_____

