VOL I : Sejauh mana anda bijak kendali kewangan sendiri?

Dari Penulis

Kebolehan mengurus wang anda dengan bijak merupakan satu kemahiran yang penting supaya anda boleh berbelanja mengikut kemampuan dan mencapai matlamat kewangan anda. Anda perlu mengawal kewangan meskipun anda tidak mempunyai masalah kewangan.

Cara anda menggunakan wang pada hari ini akan memberi kesan terhadap cara hidup pada masa akan datang. Tambahan lagi, terdapat kemungkinan bagi anda untuk menghadapi masalah kewangan akibat peristiwa di luar kawalan seperti penyakit, kehilangan sumber pendapatan dan kecemasan keluarga.

Pupuk Sifat Berjimat-Cermat

Apa yang naik dan tidak akan jatuh? Selain daripada umur anda, harga barangan dan perkhidmatan adalah jawapan yang munasabah!

Hakikatnya pada akhir-akhir ini, banyak telah diperkatakan tentang kenaikan harga makanan dan minyak di seluruh dunia. Dengan harga yang meningkat dan pendapatan kekal, amatlah penting untuk kita mempelajari bagaimana untuk hidup dengan cermat.

Apakah Yang Dimaksudkan Dengan Menjadi Cermat?

Kita mungkin tidak menyukai perkataan ini dalam kehidupan seharian tetapi hari ini kita akan lebih kerap mendengarnya. Tanyalah nenek moyang kita, dan selalunya mereka akan memberitahu yang gaya hidup mereka sinonim dengan perkataan ini.

Hari ini, orang mungkin berpendapatan lebih daripada nenek moyang mereka, jauh lebih banyak, tetapi entah bagaimana, duit kita sentiasa tidak mencukupi, apatah lagi untuk menyimpan.

Tidak hairanlah kerana pada masa dahulu, anda boleh membeli semangkuk mi dengan harga lima sen tetapi pada hari ini, peminta sedekah pun akan merungut dengan lima sen yang anda beri kepadanya!

Bercermat atau berjimat cuma bermaksud mengurus demi untuk menyimpan. Bermakna, anda mendapat sebanyak mungkin duit anda. Orang yang cermat sentiasa mencari jalan untuk menjimat masa, duit dan tenaga, dan di sini kami tegaskan yang bercermat bukan bermakna menjadi kedekut atau ‘kiam-sap’ seperti kata orang-orang Hokkien.

Bagaimana Saya Boleh Bercermat Atau Berjimat?

Terdapat banyak cara untuk hidup dengan duit yang sedikit dan di bawah adalah beberapa cadangan yang dapat membantu anda berhemat dengan wang ringgit anda:

Kurangkan perbelanjaan harian anda – sebelum anda membeli sesuatu, tanya diri anda:

Adakah saya betul-betul perlukan ini?

Bolehkah saya mendapatnya di tempat lain pada harga yang lebih murah?

Bolehkah saya mendapatnya secara percuma?

– Batalkan sesuatu yang menelan perbelanjaan yang besar daripada bajet anda – tidak menggunakan kereta (aduh!) dan jimat duit minyak, membaiki kereta, cukai jalan, insurans kereta dan tol atau, cadangan yang kurang menyakitkan, cuba turunkan taraf kereta anda, seperti membeli kereta yang berkapasiti lebih rendah.

– Kurangkan penggunaan elektrik – tutup semua lampu apabila tidak digunakan dan gunakan lampu yang jimat tenaga, kurangkan penggunaan hawa dingin, basuh pakaian dengan muatan penuh dan keringkan pakaian di luar (daripada menggunakan mesin pengering) dan tutup semua alatan elektrik apabila tidak digunakan.

– Kurangkan sampah – gunakan kertas di kedua-dua belah muka surat (jika dibenarkan, buat catatan tanpa kertas!) dan gunakan kain lampin daripada lampin pakai buang.

– Guna semula atau kitar semula – jika boleh, jadikan sampah atau baja (yang boleh digunakan untuk menanam sayur anda sendiri!), usahakan kebun sayur dan tukarkan sampah anda kepada duit!

– Jadikan barang bertahan lebih lama – perbaiki pakaian, kasut digam semula dan baiki barang sebelum ia tidak boleh dibaiki lagi.

– Cari kegunaan baru untuk barangan lama – cat perabot lama, buat kuilt daripada pakaian lama, dan jadikan meja besar lama kepada meja tulis.

– Cari barang pengganti yang lebih murah – beli jenama umum, membeli-belah semasa ada jualan murah, menyewa daripada membeli.

– Anda juga boleh berjimat dengan memenuhi keperluan anda secara kreatif, dengan berkongsi bersama orang lain dan menggunakan sumber awam.

Di sini terdapat beberapa cara lagi untuk berjimat:

Berkongsi dalam pembelian yang besar

Perkongsian boleh membantu anda mendapat apa yang anda perlukan pada kos yang rendah. Sebagai contoh, mungkin anda berkongsi dengan jiran anda sebuah tangga, gerudi elektrik dan mungkin pembersih vakum.

Anda juga boleh berkongsi banyak permainan anak anda dengan rakan dan ahli keluarga anda, dan berkongsi kereta untuk pergi dan balik kerja juga adalah satu lagi contoh yang baik.

Bertukar barangan atau perkhidmatan.

Ya, kita hidup dalam dunia moden tetapi siapa kata yang kita tidak boleh mengamalkan pertukaran barangan? Sebenarnya anda boleh membuat pertukaran kepada semua jenis barang.

Jika anda pandai menggunting rambut dan rakan anda pandai membuat kek, buat pertukaran kemahiran. Anda berdua mendapat apa yang anda perlukan dan anda berdua dapat jimat duit.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

WhaleBuy perkukuh kedudukan serantau dengan pembukaan ibu pejabat global di Kuala Lumpur

WhaleBuy Group melakar satu lagi pencapaian penting dalam perjalanan pengembangannya apabila secara rasmi membuka ibu pejabat global syarikat itu...

More Articles Like This