“Kamu semua pengarah bodoh.” – Hanya P Ramlee yang sanggup menzahirkan Panca Delima ke layar perak

Dari Penulis

Filem Panca Delima (Pancha Delima) yang diterbitkan pada tahun 1957 merupakan filem ketiga yang diarahkan oleh Tan Sri P Ramlee. Setelah menghasilkan filem Penarek Becha dan Semerah Padi yang mendapat sambutan, P Ramlee beralih arah dengan mengarahkan Panca Delima yang merupakan sebuah filem alam fantasi.

Ia sebenarnya tugas yang berat apatah lagi yang mahukan cerita tersebut difilemkan ialah Run Run Shaw sendiri, yang merupakan penulis asal cerita tersebut, juga tuan punya MFP (Malay Film Production).

Untuk menghasilkan filem ini dengan sempurna, P Ramlee terpaksa menonton banyak filem Cina terutamanya filem-filem Hong Kong. P Ramlee dapat mengarahkan filem ini dengan baik dan memuaskan hati Run Run Shaw.

Panca Delima sudah memperlihatkan kekuatannya sebagai pengarah. Ketika itu, P.Ramlee sudah mencapai kejayaan yang begitu besar mengatasi pengarah-pengarah lain yang sedang berkhidmat di MFP ketika itu.

Di Belakang Tabir

Cerita asal filem yang ditulis Run Run Shaw ini sebenarnya telah diserahkan kepada beberapa orang pengarah di MFP untuk dijadikan filem. Tetapi tidak ada pengarah yang sanggup.

Run Run Shaw kemudian memberikannya kepada P Ramlee supaya membaca dahulu sama ada sesuai atau tidak cerita itu dijadikan filem. Cerita yang tidak bertajuk itu kurang menarik dan kalau difilemkan akan memerlukan ‘decoration’ dan ‘trickshot’ yang sememangnya sukar untuk dilaksanakan. Apatah lagi ular turut memainkan peranan penting dalam kisah tersebut.

Tetapi memandangkan skrip itu kepunyaan Run Run Shaw, P Ramlee menyatakan kesanggupannya setelah tiga hari (tempoh yang diberikan oleh Run Run Shaw) memikirkannya.

Lagi pun, cerita itu datangnya dari Run Run Shaw dan sudah tentu dia akan menanggung segala perbelanjaan walau sebanyak mana sekali pun. Jika tidak dapat sambutan (rugi), dia tidak boleh dipersalahkan. Berdasarkan faktor itu, ditambah pula namanya sedang berada di kemuncak kejayaan, P Ramlee sanggup mengambil cerita itu untuk dizahirkan ke layar perak.

Setelah persetujuan dicapai, tajuknya (asalnya Anak Raja Ular) yang sesuai mula dicari. Oleh kerana ceritanya melibatkan kalung yang mempunyai lima penjuru, akhirnya wujudlah nama Panca Delima, yang mana berdasarkan perkataan Sanskrit ‘panca’ bererti ‘lima’ dan ‘delima’ bererti ‘kalong’.

P Ramlee menulis lakon layarnya manakala S Sudarmaji menulis dialognya. Ia bukan dialog biasa tetapi syair (berangkai-rangkai) seperti cerita-cerita karya William Shakespeare.

Untuk filem ini, P Ramlee enggan berlakon sebagai hero (P Ramlee hanya mengambil peranan kecil sahaja, sebagai askar) bagi membuktikan kepada pengarah lain yang filem arahannya tetap mendapat sambutan walaupun dirinya tidak menjadi watak utama.

Sebab itu, P Ramlee mencari seorang pelakon baru untuk menjadi hero. Bukan itu saja, P Ramlee juga mahukan heroinnya adalah bintang baru.

Ramai Pertikai Kebolehan Jins Shamsudin

Kebetulan pula, Jins Shamsudin muncul di MFP. Ketika itu, Jins Shamsudin hanya pernah melakonkan watak kecil dalam Keadilan Illahi kemudian disusuli pula Anakku Sazali.

P Ramlee menawarkan peranan Suria Kenchana kepadanya, dan Hashimah Yon yang sebelumnya sebagai penari (dan berlakon watak kecil dalam Anakku Sazali) ditawarkan peranan Teratai.

Menurut kata Jins Shamsudin, dia tidak pernah terfikir yang P Ramlee akan menyerahkan peranan hero kepadanya.

“Saya tidak percaya seolah-olah saya seperti bermimpi P Ramlee menyatakan hasratnya untuk mengambil saya berlakon dalam Panca Delima lebih-lebih lagi sebagai hero,” katanya.

Ada beberapa perkara Jins Shamsudin tidak percaya dipilih sebagai hero dalam filem bercorak fantasi itu. Pertama, dirinya orang baru yang tidak dikenali. Kedua, di MFP mempunyai ramai pelakon berbakat yang mana tidak sukar untuk P Ramlee membuat pilihan.

Bagaimanapun, takdir menentukan segala-galanya. P Ramlee bersungguh-sungguh mahukan Jins Shamsudin memegang male actor in leading role dalam Panca Delima.

Ketika itu, Jins Shamsudin sudah mula merasai bahangnya. Ramai yang menganggap kehadirannya sebagai saingan yang mencabar kepada pelakon-pelakon yang sudah terkenal dan tidak kurang pula yang mempertikai dan memperkecilkan kebolehannya memegang peranan utama.

Sungguhpun begitu, hatinya tetap cekal tambahan pula P Ramlee sejak awal telah menyatakan keyakinannya yang dirinya boleh berlakon dan dia mempunyai masa depan yang cerah untuk menjadi pelakon terkenal. Ternyata kata-kata itu ada kebenarannya melihatkan pencapaian Jins Shamsudin selepas membintangi filem ini.

Sebelum penggambaran filem ini bermula, tiba-tiba (pada Mac 1957) Persatuan Artist Malaya (PERSAMA) melancarkan mogok di studio MFP. Para pekerja membantah kerana majikan membuang lima pekerja yang menjadi ahli PERSAMA. P Ramlee pula sebagai presidennya.

Bila mogok berlaku, Jins Shamsudin mulai merasakan masa depannya terancam. Dia kecewa kerana pelaksanaan filem ini tertangguh dan akan terus tertangguh selagi mogok tidak dapat diselesaikan.

Akhirnya, pertikaian antara majikan (Shaw Brothers) dengan PERSAMA selesai. Penggambaran pun bermula dengan Jins Shamsudin kekal sebagai hero dan Hashimah Yon sebagai heroin sebagaimana yang dirancangkan P Ramlee sejak mula.

Menurut buku Kenangan Abadi P.Ramlee oleh Ramli Ismail, apabila Panca Delima siap, Run Run Shaw memanggil semua pengarah yang ada di MFP untuk sama-sama menonton filem tersebut.

Apabila sampai adegan Uda Umar naik kereta lembu, Run Run Shaw bangun dari tempat duduknya lalu meminta tayangan diberhentikan dan lampu dipasang. Semua orang yang ada (termasuk P Ramlee) kehairanan. Rupa-rupanya Run Run Shaw mahu memarahi semua pengarah yang tidak mahu menerima skripnya dulu.

Kata Run Run Shaw (dia berbahasa Inggeris, di sini diterjemahkan ke Bahasa Malaysia) : “Kamu semua pengarah bodoh. Tidak tahu dan tidak mengenali cerita dan tidak ada otak untuk membuat filem yang baik jika ada cerita yang kurang baik. P Ramlee seorang budak mentah tetapi boleh mengarah filem dengan baik. Lebih baiklah kamu semua berhenti dari menjadi pengarah studio Jalan Ampas.” Dengan kata-kata Run Run Shaw itu juga, dikatakan ada pengarah yang kecil hati lalu angkat kaki meninggalkan studio MFP.

Apabila Run Run Shaw menyinga kepada pengarah-pengarah filem yang enggan mengangkat ceritanya menjadi filem dengan alasan tidak bagus atau kurang baik, rasanya kita bersetuju dengannya.

P Ramlee telah memperlihatkan daya kreativitinya yang di luar jangkaan dengan melahirkan filem ini yang tidak kurang hebatnya dengan Penarek Becha dan Semerah Padi.

Fakta Tambahan

*Run Run Shaw (juga dikenali sebagai Shao Yifu atau Siu Yat-fu) merupakan tokoh berpengaruh dalam industri hiburan Asia, juga pengasas Shaw Brothers, salah satu syarikat perfileman terbesar di Hong Kong. Beliau juga menubuhkan Malay Film Productions (MFP), studio yang terletak di Jalan Ampas, Singapura yang telah menghasilkan lebih 150 buah filem Melayu, dan melahirkan ramai pelakon terkenal termasuk P Ramlee.

Run Run Shaw.

*Penyampaian secara syair (kata-kata berangkai) dalam filem ini ada persamaan dengan filem Cina berjudul The Kingdom And The Beauty.

*Pertama kali selepas menjadi pengarah, P Ramlee meminjamkan suaranya untuk Jins Shamsudin bagi babak menyanyi di dalam filem ini.

*Panca Delima satu-satunya filem di mana P Ramlee tidak berlakon sebagai watak utama dalam filem yang diarahkannya.

*Filem ini membawa kejayaan kepada Jins Shamsudin dan Hashimah Yon. Kerana Panca Delima, mereka menjadi terkenal dan diminati ramai.

*Pertama kali P Ramlee memberi kepercayaan kepada A.Bakar Ali sebagai jurugambar, di mana sebelum itu ia dikuasai oleh kaum India dan Cina.

*Kali pertama  P Ramlee mengambil Aziz Sattar dan S Shamsuddin membintangi filem arahannya. Selepas itu, ia disusuli dengan filem trio Bujang Lapok.

-Dipetik daripada buku Filem-Filem P.Ramlee

______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

“Saya bukan main jin!” Tok Dewata bongkar rahsia seni persembahan ‘Main Teri’

Nama Tok Dewata kembali menjadi bualan hangat apabila seni persembahan Main Teri yang melibatkan beliau tular di media sosial.  Namun...

More Articles Like This