TINDAKAN lebih berat perlu dikenakan terhadap pihak yang tidak menggunakan bahasa Melayu di papan tanda termasuk golongan yang meremehkan penggunaan bahasa kebangsaan.
Cadangan itu disuarakan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menegaskan tiada pilihan untuk tidak menggunakan bahasa Persekutuan pada papan tanda atau dalam urusan di negara ini.
Pada masa sama, Ismail Sabri menegaskan sudah tiba masanya semua pihak berkuasa tempatan (PBT) menggunakan bahasa Melayu dengan menguatkuasakan undang-undang yang dimiliki dan tidak lagi bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang meremehkannya.
Menurut beliau, perkara itu selaras dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang menjelaskan bahawa bahasa Melayu adalah bahasa rasmi yang tidak boleh dipertikai fungsi dan peranannya sebagai bahasa kebangsaan.
Ismail Sabri berkata, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dimantapkan dengan Akta Bahasa Kebangsaan 1967.
“Malah, penggunaan bahasa Melayu pada papan tanda juga tidak menjejaskan sama sekali kemasukan pelancong.
“Sebagai contoh, negara jiran Thailand menggunakan bahasa Thai di semua papan tandanya tetapi pelancong tetap ramai berkunjung ke negara tersebut.
Baca artikel lain: Isu papan tanda: PENA sokong tindakan DBKL, dakwaan jejas pelancongan tidak boleh diterima
“Kita sudah merdeka lebih setengah abad dan tidak sewajarnya kita masih terperangkap dalam retorik pertikaian bahasa ini kerana ia sudah jelas bahasa Melayu adalah bahasa rasmi Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera mengucapkan tahniah kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana mengambil tindakan tegas menurunkan papan tanda bahasa lain di sekitar ibu kota seperti mana yang dilaporkan media baru-baru ini.
“Langkah ini sewajarnya dijadikan contoh oleh PBT di seluruh negara dalam memartabatkan bahasa kebangsaan,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing mencetuskan polemik selepas menyifatkan tindakan penguatkuasaan mengenai peraturan papan tanda dwibahasa oleh DBKL menimbulkan rasa tidak puas hati serta wujud persepsi negatif dalam kalangan pelancong.
Tambah King Sing, tindakan itu menyebabkan pelancong mempersoalkan keterbukaan dan keterangkuman Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum.
Terdahulu, media melaporkan DBKL minggu lalu, melancarkan operasi berskala besar menyasarkan papan tanda yang tidak memaparkan bahasa Melayu di beberapa kawasan termasuk Segambut, Pudu, dan Jalan Silang di Kuala Lumpur.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

