PAHANG berjaya menarik pelaburan yang memberangsangkan iaitu sebanyak RM16.1 bilion pada tahun lepas.
Menteri Besarnya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, secara pecahan RM4.4 bilion pelaburan domestik dan RM11.7 bilion pelaburan asing.
“Selain itu, kita seharusnya berbangga apabila prestasi Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) untuk tahun 2023, sekali lagi berjaya mengatasi KDNK di peringkat nasional, mengulangi kejayaan yang sama pada tahun 2022.
“Berdasarkan laporan yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia, ekonomi Pahang pada tahun lalu menyaksikan pertumbuhan 5.2 peratus mengatasi pertumbuhan di peringkat nasional 3.6 peratus, dengan nilai KDNK mencecah RM64.9 bilion berbanding RM61.7 bilion pada tahun 2022,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.
Beliau berkata sedemikian dalam ucapan sempena Belanjawan Pahang 2025 pada Jumaat.
Jelas beliau, pertumbuhan ekonomi Pahang sebahagian besar daripadanya dipengaruhi oleh kenaikan dalam sektor pembinaan (37.1 peratus), perlombongan dan pengkuarian (9.6 peratus), perkhidmatan (6 peratus), pertanian (2.5 peratus) dan pembuatan (2.1 peratus).
Dalam pada itu, Wan Rosdy turut bersyukur ekoran kutipan hasil kerajaan negeri pada tahun ini telah melebihi RM1 bilion untuk tempoh tiga tahun berturut-turut sejak tahun 2022.
“Sehingga berakhir 28 November 2024, kutipan hasil yang berjaya dicapai oleh kerajaan negeri adalah sebanyak RM1.150 bilion berbanding sasaran ditetapkan untuk tahun 2024 iaitu RM1.137 bilion atau 101.1 peratus.
“Kini, kutipan RM1 bilion bukan lagi satu angka yang kita sasarkan, tetapi ia merupakan satu penanda aras yang harus kita capai dan atasi setiap tahun,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

