RANG Undang-Undang (RUU) bagi penubuhan Majlis Media Malaysia akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada minggu hadapan.
Perkara itu disahkan Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil dalam sidang media pasca mesyuarat Kabinet, hari ini.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi memaklumkan, Jemaah Menteri telah sebulat suara meluluskan RUU Majlis Media Malaysia dalam mesyuarat hari ini.
Beliau berkata, RUU tersebut dijangka dibahas dan dibentangkan untuk bacaan kedua dalam sidang Parlimen kali ini sekiranya masa mencukupi.
“Ini saya harap jadi satu berita baik bagi rakan-rakan media.
“Kita akan bentangkan dalam Dewan Rakyat minggu depan. Sekiranya ada masa akan dibahas dan dibuat bacaan kedua dalam mesyuarat kali ini juga.
“Jika tidak, ia telah disenaraikan untuk dibahas dalam mesyuarat akan datang. Its on track finally, telah diluluskan oleh Jemaah Menteri,” katanya dalam sidang media tersebut.
Persidangan Dewan Rakyat berlangsung selama 35 hari bermula 14 Oktober hingga 12 Disember ini.
Baca artikel lain: RUU Majlis Media Malaysia akan dibentang pada Sidang Parlimen ini
Fahmi ketika menggulung perbahasan RUU Perbekalan (Belanjawan) 2025 peringkat dasar bagi Kementerian Komunikasi pada 7 November lalu memaklumkan kementerian itu akan memperincikan anggaran peruntukan bagi penubuhan Majlis Media Malaysia menerusi satu memorandum Jemaah Menteri dalam masa terdekat.
Dana permulaan akan diguna pakai untuk pengoperasian awal Majlis Media Malaysia sebelum ia boleh beroperasi dengan dana sendiri.
Penubuhan MMC adalah bagi membangun dan melaksanakan kod etika pelaporan yang dapat memperkasakan profesion kewartawanan negara serta memastikan pelaporan berita dilakukan oleh media secara bertanggungjawab.
Sebelum ini Fahmi berkata Rang Undang-Undang MMC dijangka dapat dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat kali ini.
Beliau berkata kerajaan sentiasa menyokong prinsip kebebasan media dan menjamin hak kebebasan bersuara rakyat berdasarkan Fasal 1(a) Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan bagi memastikan proses semak dan imbang lancar serta berkesan.
Bagaimanapun, katanya kebebasan bersuara bukan bersifat mutlak serta perlu dilaksanakan dengan bertanggungjawab dan beretika, mengambil kira kepelbagaian budaya dan agama yang mencorakkan masyarakat Malaysia.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

