Kepada sebahagian orang, panggung wayang adalah tempat ‘haram’. Itu terpulang pada tafsiran anda. Tetapi saya mengaku, saya suka menonton wayang. Kerjaya sebagai wartawan dahulu memerlukan saya menonton wayang supaya sentiasa peka dengan perkembangan industri hiburan.
Sebagai bapa pula, selain membekalkan mereka dengan pelajaran dan ilmu agama, bila ada kelapangan saya akan membawa isteri dan anak-anak ke panggung. Pada saya, panggung wayang adalah salah satu tempat untuk kami merapatkan hubungan keluarga. Kami akan menonton bersama-sama, makan bertih jagung bersama-sama, berkongsi minuman ringan, menyarungkan jaket atau memeluk anak yang kesejukan. Ia waktu yang menyeronokkan.
Aduhai… wayang sering kali juga membangkitkan nostalgia. Gelagat anak-anak muda serta keluarga yang memenuhi panggung, juga sering kali membakar kenangan saya sewaktu kecil dahulu.
Untuk pengetahuan anda, saya mula mengenali wayang melalui wayang pacak. Kepada yang tidak tahu apa itu wayang pacak, mari saya ceritakan. Kisah ini memang nostalgik kepada mereka yang tinggal di luar bandar, yang hidup serba sederhana, tidak mempunyai bekalan elektrik dan tidak mempunyai televisyen.
Di tempat kami pada tahun 1970an dan awal 80an, wayang pacak diadakan sebulan sekali. Biasanya selepas penduduk mendapat gaji hasil menjual getah.

Beberapa hari sebelum itu poster akan ditampal pada batang-batang pokok dan pada petang hari dijanji kan, “PPOOONNN! PPOOONNN!!!” sebuah van akan mengelilingi kampung kami dengan pembesar suara yang diletakkan dibumbungnya.
Ia akan membuat pengumuman begini…
“PENGUMUMAN! PENGUMUMAN! Tuan-tuan dan puan-puan sekalian, jangan lupa malam ini akan diadakan wayang bertajuk #$%^&*@, pada pukul 8.30 malam di padang sekolah. Sila datang beramai ramai. Pengumuman! Pengumuman! Tuan-tuan dan puan-puan…”
Pengumuman itu berulang-ulang sebab sudah dirakam terlebih dahulu. Apabila mendengar pengumuman itu, kami bersorak gembira. Kepada kami, hari berkenaan adalah hari gembira. hari untuk berpesta dan berhibur.
Sejak siang lagi kami sudah tidak sabar untuk menanti. Kami akan mendongak ke langit dan berdoa supaya malam itu tidak hujan sebab kalau hujan, wayang akan dibatalkan. Kami berdoa semoga langit terus cerah, bulan akan mengambang penuh, bintang berkelip-kelipan.
Saya masih ingat, pada tahun-tahun 1970an itu, apabila langit terang dan ceria, kami sekeluarga akan berjalan kaki lebih satu kilometer sambil membawa tikar, surat khabar serta lampu picit.

Semakin jauh berjalan, semakin banyak keluarga ditemui dan gerombolan itu semakin lama semakin membesar, bagaikan deretan semut yang berbaris mengejar gula. Sepanjang jalan juga, keluarga-keluarga ini akan bersaing, berbual dan bergurau, hinggalah kami sampai di padang sekolah.
Untuk masuk, kena bayar tiket. Murah, 20 sen sahaja. Ibu dan ayah akan mencari tempat yang paling strategik, lalu dibentangkan tikar serta surat khabar tadi. Di situlah kami duduk beramai ramai sambil menghadap sebidang kain putih berukuran sekitar 5m X 3m, yang dipacakkan pada dua batang tiang setinggi tujuh meter.
Itulah dia kain pemidang wayang pacak. Filem akan diputar menggunakan kuasa generator. Sebelum wayang bermula, filem dokumentari Jabatan Penerangan ditayangkan terlebih dahulu. Biasanya mengenai kebun-kebun pertanian, rancangan pembangunan negara dan ucapan Perdana Menteri, Tun Razak. Dokumentari itu hitam putih, lebih kurang 15 minit sahaja.
Sementara menunggu filem dokumentari itu tamat, kami pergi membeli jajan dahulu. Jajan adalah bahasa Jawa yang bermaksud, makanan ringan/kuihmuih. Kami beli apam balik, sate, rojak petis, keropok dan air dari gerai-gerai yang terdapat di sekitar padang itu. Harganya lima sen atau 10 sen sahaja setiap satu.
Tamat saja dokumentari itu, wayang pun bermula. Pada 1970-an dahulu, filem yang ditayangkan biasanya cerita P. Ramlee, cerita Indonesia, dan pernah juga cerita orang putih.
Sebenarnya, saya yang ketika itu umur tujuh, lapan tahun, tidak faham sangat cerita-cerita itu. Tapi bagi saya itu tidak penting. Yang penting ialah dapat berjalan-jalan, tengok wayang dan makan jajan.
Tahun beredar, filem-filem baru pula ditayangkan. Pada penghujung 1970an, kebanyakan cerita yang ditayangkan adalah filem-filem dari Indonesia. Antaranya Sundel Bolong, Kuntilanak, Siluman Ratu Buaya Putih, Nyi Roro Kidul, dan yang paling saya ingat ialah cerita-cerita cinta lakonan Yati Octavia dan Roy Marten. Selain itu, filem pertarungan lakonan George Rudy dan filem menyayat hati lakonan Rano Karno sebagai budak tempang.
Filem-filem Malaysia pun ditayangkan juga, misalnya Toyol, Menanti Hari Esok, Mekanik, Tujuh Biang Keladi, Langit Tidak Selalu Cerah, Da Di Du dan sebagainya.

Wayang pacak bukan sekadar wayang. Selain menjadi tempat berkumpulnya warga kampung, wayang pacak juga adalah tempat si teruna dan dara berkenal-kenalan serta memadu kasih. Maklumlah, malam itu anak-anak dara mendapat lesen besar untuk keluar. Makanya, malam wayang pacak adalah malam si teruna datang mengendeng-ngendeng si gadis (yang menonton dalam kumpulan dengan kawan-kawannya).
Mereka mengurat dan mengayat. Biasanya tiada yang marah sebab teruna dan dara ini berdating di hadapan ramai. Jangan terkejut, ada yang cinta mereka ini berakhir di jenjang pelamin, tetapi lebih banyak lagi yang habis begitu saja.
Okey, kembali kita kepada kisah wayang pacak : Jika ada wayang di tempat kami, pemuda-pemuda luar juga datang beramai-ramai. Sebahagian mereka datang dengan membawa motosikal besar supaya lebih mudah memikat anak dara kampung kami.
Apabila wayang bermula, pemuda-pemuda ini akan cuba mengayat-ayat anak dara tempat kami. Ramai yang berjaya, tetapi ramai juga yang menempah bala.
Perbuatan pemuda-pemuda luar ini sering kali menyebabkan pemuda-pemuda kampung kami berbulu biji mata. Ini menyebabkan ramai pemuda luar yang menyelanak ke tanah akibat dibelasah.
Haha… awal 1980-an adalah zaman saya mula meningkat remaja. ‘Hormon geli-geli’ secara semula jadinya telah mula berkisar-kisar di dalam badan dan saya juga menjadikan malam wayang pacak ini untuk menjeling serta mengekori anak-anak dara yang disukai. Sering kali juga kami yang sedang remaja ini menonton dengan kumpulan anak-anak dara yang hampir sebaya dan sedang tergedik-gedik.

Memang seronok tengok wayang pacak. Tetapi wayang ini ada masalahnya. Pertama, sedang kita sedap-sedap menonton, tiba tiba filem yang ditayang kan itu terputus atau tercabut gulungannya. Maka kelam kabutlah pekerjanya menyambung kembali filem tadi.
Kedua, hujan. Sedang kita asyik menonton, dengan si dia, tiba-tiba hujan turun. Aduuuhhhh… wayang terpaksa dibatalkan. Mahu tidak mahu, kami terpaksa balik dalam keadaan filem baru sekerat tonton. Dengan langkah longlai kami berjalan beramai-ramai pulang ke rumah.
Cinta tidak boleh putus asa. Ramai anak muda yang menggunakan peluang berjalan balik ini untuk terus menyambung cinta mereka hinggalah si gadis sampai ke halaman rumah.
Tetapi, pulang berjalan kaki ke rumah ini juga boleh bertukar menjadi tragedi. Saya pernah melihat di depan mata, seorang pemuda luar yang sedang berjalan mengekori anak dara kampung kami, dibelasah dengan pelepah kelapa. Setelah belakang badannya dipelupuh hampir 10 kali, dia dilanyak beramai ramai.
Setiap bulan, sekurang-kurangnya sekali wayang pacak diadakan di tempat kami. Tetapi apabila teknologi hiburan semakin berkembang dengan wujudnya pita video dan VCD, riwayat wayang pacak menuju hari-hari suramnya.
Dan, akhirnya sekitar penghujung 1980an, apabila kebanyakan penduduk sudah memiliki peti televisyen dan pemain video, anak-anak muda semakin ramai yang berhijrah manakala ayah serta ibu kami pula semakin dipanjat usia, riwayat wayang pacak sampai ke pusaranya.
Tidak kelihatan lagi poster ditampal di pokok. Tidak kelihatan lagi van berkeliling kampung membuat pengumuman. Tiada lagi deretan jiran-jiran berjalan menuju padang. Tiada juga anak dara yang comel dapat diekori dan diurat.
Malam wayang pacak hanya tinggal kenangan sahaja. Oleh kerana itu, apabila saya ke panggung untuk menonton wayang bersama isteri dan anak anak, kenangan ini sering saja bermain di ingatan.
Apabila melihat pemuda dan gadis-gadis penjual bertih jagung dan minuman ringan, ingatan kembali terbayang kepada si penjual rojak petis yang sudah bongkok, penjual apam balik yang sudah tua dan penjual sate yang sudah meninggal.
Sebenarnya, wayang pacak adalah sebuah wayang kehidupan sebenar sebuah kampung, yang meriah dan indah. Matinya wayang pacak bererti matilah juga sebuah keraian tempat seluruh warga kampung berniaga, bergurau, bercinta dan berhimpun dalam sebuah keluarga besar.
Keindahan wayang pacak ini takkan anda rasai di panggung-panggung wayang, walaupun kita dihidangkan dengan filem-filem superhebat, kesan visual serta bunyinya extraordinaire dan menggunakan pelbagai teknik moden.
Kalau anda ceritakan kisah ini kepada anak-anak, mereka takkan faham. Apatah lagi kepada anak-anak yang hidup di bandar dan menganggap semua yang berasal dari kampung itu adalah kuno serta ketinggalan zaman.

___
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

