SERAMAI 544,151 individu menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di seluruh negara sehingga September lalu dengan peruntukan yang telah dibelanjakan sebanyak RM1.95 bilion.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri memaklumkan, peruntukan kepada JKM akan ditambah kepada RM2.98 bilion mengambil kira kenaikan beberapa kadar bantuan bermula tahun hadapan.
Menurut beliau, ia merupakan kenaikan sebanyak 14.74 peratus berbanding peruntukan yang diterima pada tahun ini.
“Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui JKM menyediakan bantuan kewangan kebajikan untuk membantu kelangsungan hidup dan meringankan beban kumpulan sasar yang layak dan memerlukan.
“Bantuan ini bersifat sementara waktu sehingga mereka keluar daripada kemiskinan dan hidup berdikari.
“Berdasarkan rekod JKM, bagi tempoh 2022 hingga Ogos 2024, sebanyak 394,655 permohonan bantuan telah diterima.
“Daripada jumlah tersebut sebanyak 229,297 permohonan telah mendapat kelulusan bantuan JKM manakala 161,899 permohonan tidak melepasi syarat pertimbangan mendapatkan bantuan dan selebihnya 3,459 permohonan masih dalam proses siasatan dan pertimbangan kelulusan bantuan JKM,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen bagi menjawab pertanyaan Dr Halimah Ali (PN-Kapar) berhubung jumlah pemohon bantuan yang diluluskan JKM bagi tahun 2022 sehingga kini dan jumlah permohonan yang ditolak mengikut tahun.
Menjawab persoalan Halimah sama ada JKM bersedia meningkatkan kadar bantuan bulanan bagi pemohon yang layak, Nancy menjelaskan, kerajaan telah menaikkan kadar bantuan serta syarat kelayakan pendapatan yang akan berkuatkuasa mulai Januari depan semasa pembentangan Belanjawan 2025.
Baca artikel lain: Kesedaran mengenai keganasan terhadap wanita meningkat – Nancy
Beliau berkata, sebanyak lima skim bantuan terlibat iaitu Bantuan Kanak-Kanak (BKK) kepada RM250 seorang kanak-kanak dengan kadar maksimum RM1,000 sebulan bagi satu keluarga.
Selain itu, Nancy berkata, Bantuan Warga Emas (BWE) turut dinaikkan kepada RM600 sebulan; Bantuan Am Persekutuan kepada RM500 sebulan; syarat kelayakan pendapatan isi rumah untuk Bantuan Penjagaan Orang Kurang Upaya (OKU) Terlantar atau Pesakit Kronik Terlantar dan Elaun Pekerja OKU juga meningkat masing-masing kepada RM5,000 dan RM1,700 sebulan.
“Pada masa ini, Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) 2022 RM1,198 dan Perkapita RM322 yang dibentangkan dalam Belanjawan 2024 masih digunapakai sebagai syarat asas kelayakan permohonan bantuan JKM.
“Walaupun begitu, PGK bukanlah syarat kelayakan tunggal untuk mendapatkan bantuan kewangan kebajikan menerusi JKM.
“Beberapa aspek lain turut diambil kira dalam menentu dan membuat penilaian kelayakan seseorang itu berdasarkan siasatan kes yang dijalankan oleh pegawai JKM melalui pendekatan kerja sosial,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

