Kadar pencen pesara bawah SSPA dimuktamad dalam masa terdekat

Dari Penulis

KERAJAAN dijangka memuktamadkan kadar pencen di bawah Skim Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) bagi golongan pesara dalam masa terdekat, kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Beliau berkata, buat masa ini perkara itu sedang diperhalusi daripada pelbagai aspek dan ia akan dibawa ke mesyuarat Kabinet Jumaat depan.

“Kita tengah perhalusi, minggu hadapan kita akan bawa balik ke Kabinet dan kita akan putuskan,” katanya dan menyatakan bahawa kemungkinan akan ada berita baik yang diumumkan kelak.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Profesional Putrajaya Berhad (KOPROJAYA) ke-9, di Putrajaya, hari ini.

Dilaporkan kira-kira 900,000 pesara kerajaan masih menunggu penjelasan rasmi mengenai kadar pencen mereka, iaitu sama ada ia akan diselaraskan mengikut skim gaji baharu atau tidak.

Pada 31 Oktober lalu, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata pesara kerajaan juga akan menerima manfaat daripada SSPA, apabila pencen yang diterima itu diselaraskan.

Beliau berkata, pelarasan itu akan menambah peratusan pencen diterima pesara menerusi persetujuan oleh kerajaan, sekali gus membolehkan kumpulan itu menikmati kenaikan seperti diperoleh penjawat awam yang masih berkhidmat.

Baca artikel lain: SSPA bermula, masanya penjawat awam tingkat produktiviti, tidak culas

Sementara itu, ditanya sama ada kerajaan akan memberi peluang kedua (seperti perlanjutan tempoh tandatangan) kepada mereka yang tidak menandatangani opsyen SSPA, Shamsul Azri berkata ketika ini kerajaan fokus kepada pelaksanaan fasa pertama SSPA itu.

“Sekarang ini kita fokus kepada yang tanda tangan dulu dan kita lihat kepada hasilnya, kita akan tengok kemudian. Kita selesaikan dahulu pasal pelaksanaan fasa pertama ini,” katanya.

Dilaporkan hanya 0.13 peratus atau 1,400 orang daripada 1.5 juta penjawat awam tidak menandatangani opsyen SSPA yang tamat pada 30 November.

Dalam perkembangan lain, beliau turut berpuas hati dengan gerak kerja penjawat awam yang dimobilisasikan ke kawasan terjejas banjir menerusi Skuad Ihsan MADANI.

Shamsul Azri berkata, lebih 1,000 penjawat awam daripada pelbagai kementerian digerakkan untuk menjalankan kerja pemulihan pasca banjir di beberapa negeri yang terjejas.

“Sangat positif (kerjasama dan gerak kerja penjawat awam). Kita buat banyak kerja amal seperti cuci masjid, sekolah dan klinik. Kita juga ada pasukan kejuruteraan daripada Jabatan Kerja Raya khas untuk periksa pendawaian dan semua hal teknikal di bangunan kerajaan,” katanya ketika ditanya mengenai perkembangan Skuad Ihsan MADANI.

Skuad Ihsan MADANI adalah cetusan idea beliau untuk penjawat awam diaturgerakkan bagi membantu meringankan beban mangsa yang terjejas akibat banjir.

–BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

64 projek pembangunan semula sekolah daif siap sejak 2025

SEBANYAK 64 projek pembangunan semula sekolah daif telah berjaya disiapkan di seluruh negara sejak tahun 2025 hingga suku kedua...

More Articles Like This