PENGGUNAAN elektrik oleh sektor pusat data dijangka melonjak dengan ketara kepada 31 peratus atau bersamaan dengan 73,274 Gigawatt-hour (GWh) menjelang tahun 2035.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, jumlah tersebut dijangka meningkat daripada tujuh peratus atau bersamaan 10,544 GWh pada tahun ini.
Menurut Fadillah, ia berdasarkan unjuran Jawatankuasa Perancangan dan Pelaksanaan Pembekalan Elektrik dan Tarif (JPPPET) Bilangan 1/2026.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, kerajaan melalui Suruhanjaya Tenaga (ST) sentiasa memantau rapi arah aliran peningkatan permintaan bekalan elektrik negra khususnya di Semenanjung.
“Perkembangan pesat industri kecerdasan buatan (AI) dan pusat data ini telah menyebabkan peningkatan permintaan puncak sistem pembekalan elektrik negara.
“Permintaan puncak di Semenanjung diunjurkan meningkat dengan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sebanyak 5.1 peratus bagi tempoh 2026 hingga 2035 iaitu melonjak daripada 21.3 GW pada tahun 2026 kepada 33.5 GW menjelang tahun 2035,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman web Parlimen.
Beliau menjawab soalan Chong Zhemin (PH-Kampar) yang meminta menyatakan tahap kesiapsiagaan bekalan elektrik negara bagi memenuhi peningkatan permintaan daripada pusat data dan industri kecerdasan buatan.
Mengulas lanjut, Fadillah berkata, kerajaan bersama ST sedang melaksanakan beberapa langkah bagi memastikan keterjaminan bekalan elektrik yang stabil dan berdaya harap.
Kata beliau, langkah itu termasuk mengenal pasti dan melanjutkan operasi loji jana kuasa termal sedia ada sebagai langkah penyelesaian jangka pendek.
Selain itu, Fadillah berkata, ST turut melaksanakan bidaan terbuka bagi menambah kapasiti penjanaan berasaskan gas seterusnya memperkukuhkan beban asas penjanaan di Semenanjung.
“Melalui mekanisme Corporate Renewable Energy Supply Scheme (CRESS), pusat data mempunyai pilihan untuk membeli tenaga boleh baharu (TBB) secara terus daripada pemaju swasta melalui sistem aksis pihak ketiga.
“Pembangunan solar berskala besar melalui program LSS5 dan LSS5+ yang menyasarkan kapasiti berjumlah 4GW projek TBB ke dalam sistem pembekalan elektrik di Semenanjung,” jelasnya.
Dalam pada itu, Fadillah memaklumkan, kerajaan juga menggalakkan pusat data untuk menjana tenaga elektrik sendiri berdasarkan keperluan permintaan elektrik masing-masing dan tidak bergantung sepenuhnya kepada grid.
Melalui langkah itu, katanya, pusat data dapat mengurangkan kebergantungan kepada sistem grid seterusnya memastikan kestabilan sistem grid yang berterusan.
Pada masa sama, beliau menjelaskan, kerajaan melalui Pasukan Petugas Pusat Data (DCTF) sentiasa mengamalkan pendekatan saringan yang ketat terhadap permohonan pusat data yang baharu dan juga penambahan kapasiti pusat data sedia ada.
“Penyelarasan strategik ini dilaksanakan secara sistematik bagi menyokong pembangunan ekosistem pusat data negara secara lebih mampan, berdaya saing, strategik dan mesra pelabur.
“Kelulusan bagi permohonan pusat data baharu hanya akan diberikan sekiranya sepadan dengan perancangan kapasiti grid setempat tanpa sekali-kali berkompromi terhadap keselamatan dan keterjaminan bekalan elektrik kepada rakyat,” katanya.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

