Siri 1: Gara-gara bikin filem anti Islam, ini yang berlaku…

Dari Penulis

Apakah anda masih ingat lagi filem Fitna yang dibikin pada tahun 2008 di Belanda? Filem yang berdurasi selama 16 minit 48 saat ini telah mencetuskan kontroversi yang sangat hebat, sehingga mendatangkan kecaman dunia Islam terhadap pembikinnya. Ia amat menyentuh sensitiviti kerana benar-benar menyinggung perasaan umat Islam.

Di beberapa buah negara, pelbagai demonstrasi digerakkan sebagai reaksi bagi membantah penayangan filem ini. Bahkan di Malaysia juga tidak kurang hebatnya, filem ini diharamkan penayanggannya dan beberapa NGO turut mengutuk serta mengecamnya sebagai tindakan kurang ajar oleh manusia yang tidak bertamadun.

Majlis Fatwa Kebangsaan dalam satu kenyataan yang dibuat oleh pengerusinya ketika itu, Prof. Datuk Dr. Abdul Shukor Husin memutuskan Fitna sebagai satu sendaan terhadap Islam, dan menyeru supaya memboikot barangan Belanda. Katanya lagi, tindakan tidak menghormati sensitiviti umat Islam akan merenggangkan lagi hubungan antara Islam dan dunia Barat.

Pembikinan filem ini merupakan satu lagi propaganda yang dihasilkan oleh golongan anti Islam, dalam kempen mereka bagi memburukkan agama Islam. Ia dianggap sebagai menghina dan memperolokkan ayat-ayat al-Quran melalui babak-babak yang dipaparkan. Bahkan lebih dari itu, ia turut cuba menimbulkan sentimen jahat, permusuhan dan kebencian yang melampau terhadap Islam serta umatnya.

Bagi sesiapa yang tidak pernah menontonnya lagi, filem ini mempunyai lapan babak. Babak yang pertama dimulakan dengan bacaan ayat al-Quran dari surah al-Anfaal: 60 diikuti klip video kapal terbang yang merempuh bangunan World Trade Center New York dengan orang ramai lari bertempiaran, disusuli klip video letupan keretapi.

Seterusnya dipertontonkan pula petikan sekerat ucapan ulama yang berbunyi,

Apa yang membuatkan Allah gembira? Allah gembira bila orang kafir dibunuh. Menghapuskan orang-orang kafir dan musyrik, musuh Allah dan musuh-musuh agama. Allah mengira mereka dan membunuh mereka yang terakhir dan tidak meninggalkan walau satu pun.”

Dalam babak kedua turut dimulakan dengan bacaan ayat al-Quran surah an-Nisa: 56 diikuti sedutan ucapan ulama yang membenarkan jihad memerangi orang Yahudi. Seterusnya seorang anak kecil perempuan berumur tiga setengah tahun beragama Islam, telah ditanya tentang Yahudi. Jawabnya Yahudi adalah sekumpulan beruk dan khinzir. Ditanya dari mana ia tahu, maka jawabnya dari Allah di dalam al-Quran.

Ini merupakan secebis dari beberapa babak dalam sedutan filem tersebut. Banyak lagi babak-babak yang dipaparkan sebagai menunjukkan orang Islam adalah bersifat ganas, bencikan kedamaian, tiada toleransi, bersikap pengganas serta keinginan yang mendalam menghapuskan orang-orang bukan Islam.

Secara jelasnya, mereka cuba mengelirukan penonton dengan memetik ayat-ayat al-Quran yang sepatutnya ditafsirkan panjang lebar, tetapi sebaliknya cuba mewajarkan ayat-ayat tersebut dengan paparan klip-klip video yang jelas bertentangan dengan ayat-ayat tersebut.

Putar belit yang dimainkan ini tidak lain dan tidak bukan, adalah bagi menghasut masyarakat dunia untuk membenci Islam, dan menghentikan masyarakat dunia dari menerima ajaran Islam. Mungkin kerana melihatkan semakin ramai umat manusia yang mula memeluk agama Islam. Ia jelas melalui paparan dalam babak enam yang menunjukkan statistik pertambahan umat Islam di Belanda dan Eropah sejak dahulu hingga kini.

Disebalik yang tersurat pasti ada yang tersirat tanpa kita ketahui. Inilah yang berlaku bagi menunjukkan bahawa Allah itu Maha Adil lagi Maha Mengetahui. Mungkin kita melihat dari satu sudut, filem yang diterbitkan ini akan menimbulkan salah faham bukan Islam hingga membenci agama Islam.

Namun tiada siapa menyangka, penerbitan filem Fitna bagi menunjukkan sisi gelap agama Islam serta umatnya, melalui pembohongan yang dicipta untuk menimbulkan persepsi buruk terhadap Islam, telah membawa satu rahmat yang besar kepada umat Islam sendiri.

Sepertimana yang berlaku dalam peristiwa 11 September 2001, walaupun Islam dituduh sebagai dalang yang bertanggungjawab menyerang bangunan berkembar World Trade Center Amerika, tetapi yang tersirat disebaliknya, ramai pula yang mendalami agama Islam dan menerima ajaran ini.

Bukankah ia telah dijelaskan Allah dalam surah al-Baqarah ayat 216,

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.

Bersumber sepotong ayat dari surah al-Furqan ini, jelas setiap perkara buruk yang berlaku belum tentu mendatangkan kesan yang buruk juga. Hakikatnya Allah lebih mengetahui. Inilah perjalanan hidup yang berlaku kepada Arnoud Van Doorn, iaitu mantan ahli politik Belanda yang turut terlibat dalam pembikinan filem tersebut.

Sebagai ahli pasukan anti muslim, dia bukanlah baru dalam arena politik Belanda. Namanya gah sebagai seorang yang begitu membencikan Islam. Sementalah lagi berjuang dalam parti PVV iaitu Party for Freedom, yang sentiasa menggunakan sentimen anti Islam untuk meraih undi serta populariti. Bersambung…

________________________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Fahami perbezaan hadis daif, palsu dalam beramal di era digital

Oleh Mohd Shahrizal Faizal Mahasiswa Tahun 3 di Jabatan Al-Quran dan Al-Hadith, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. PERKEMBANGAN media sosial pada...

More Articles Like This