Dalam linangan air mata doktor itu berkata – “Doa makcik dimakbulkan Allah”

Dari Penulis

Ada seorang doktor lelaki. Beliau seorang doktor pakar yang hebat. Kepakarannya sentiasa diperlukan ramai orang. Jadual doktor ini sentiasa sibuk. Daripada merawat pesakit, melakukan pembedahan, dia juga harus pergi ke serata tempat untuk memberi ceramah dan mengajar. Oleh sebab kesibukannya itu, pesakit yang ingin menemuinya harus membuat temu janji berbulan-bulan lebih awal.

Suatu hari, doktor ini menaiki penerbangan kecil menuju ke sebuah bandar untuk tugasnya memenuhi temu janji yang telah diatur. Semasa pesawat dinaikinya terbang di udara, tiba-tiba cuaca yang sebelum itu cerah bertukar mendung. Awan hitam berarak datang, diiringi panahan kilat sambar menyambar. Hujan ribut tiba-tiba melanda.

Cuaca berubah buruk. Pesawat terumbang ambing sehingga akhirnya mengalami kerosakan kecil pada bahagian enjin. Pesawat itu terpaksa membuat pendaratan cemas di sebuah lapangan terbang yang paling hampir.

Sebaik mereka mendarat, doktor itu mendapati ia sebuah lapangan terbang yang kecil. Hanya ada beberapa orang pekerja saja di situ. Doktor itu mahu segera sampai ke destinasinya. Namun, juruterbang memberitahu pesawat itu harus dibaiki terlebih dahulu. Tetapi, mereka harus menunggu kedatangan mekanik dari jauh ke lapangan terbang itu dan akan mengambil masa yang lama.

“Jika doktor mahu cepat, apa kata naik kereta. Jalan darat hanya mengambil masa tiga jam untuk sampai ke lokasi yang ingin doktor tuju,” beritahu juruterbang itu. Doktor itu setuju. Dia lantas mendapatkan sebuah teksi untuk membawanya ke bandar yang ingin ditujunya.

Belum lama perjalanan bermula, cuaca yang tadi elok tiba-tiba bertukar mendung sebelum hujan mencurah selebat-lebatnya, diselangi panahan kilat yang saling sabung menyabung.

Disebabkan jalan yang berair dan berlumpur, kereta tidak dapat bergerak dalam cuaca buruk begitu. Hari pula sudah terlalu lewat. Kebetulan tidak jauh dari situ ada sebuah rumah kecil.

Memandangkan mereka tidak dapat teruskan perjalanan dalam cuaca begitu, doktor itu bercadang untuk menumpang sementara di rumah tersebut untuk dia solat dan berehat seketika.

Hari sudah lewat semasa dia tiba ke rumah itu. Dia mengetuk pintu. Muncul seorang wanita tua membuka pintu rumah. Doktor itu menjelaskan apa yang berlaku dan meminta izin untuk menumpang seketika di rumah wanita tersebut.

Dengan ramah, wanita itu menjemput mereka masuk dan menunjukkan bilik kecil untuk mereka solat. Selesai solat, doktor itu menemui wanita itu untuk mengucapkan terima kasih. Ketika itu dia melihat di satu sudut ada seorang kanak-kanak yang terbaring. Dan wanita tua itu duduk di samping kanak-kanak itu sambil berdoa.

Lantas doktor itu bertanya, apa yang berlaku pada anak itu? Wanita tua itu menceritakan, budak itu adalah cucunya. Dia anak yatim piatu dan sedang sakit.

Sebagai seorang doktor, dia bertanya mengapa tidak dibawa cucunya yang sakit ke hospital?

Wanita tua itu memberitahu, dia sudah membawa cucunya ke hospital. Tetapi doktor tidak berupaya untuk mengubatinya. Menurut mereka, hanya ada seorang saja doktor pakar yang harus ditemui untuk menyembuhkan cucunya itu.

“Tapi, doktor itu terlalu jauh. Kami orang miskin, tiada wang untuk ke tempatnya, apatah lagi untuk membayar bil rawatan. Lagipun, mereka beritahu perlu membuat janji enam bulan lebih awal jika mahu menemui doktor pakar itu. Sejak itu, makcik tak henti berdoa memohon pertolongan dari Allah ,” ujar wanita itu sayu.

Doktor itu tersentak mendengar jawapan wanita tua itu. Lalu dia bertanya, siapa nama doktor itu?

“Namanya Dr.Ishaan. Mereka kata, dia doktor pakar yang mahir dan boleh merawat cucu makcik ini.” Serta-merta doktor itu menjadi sebak dan menitiskan air mata bila mendengar jawapan itu.

Wanita tua itu terpinga-pinga melihat reaksi doktor itu, lalu bertanya, mengapa dia menangis?

“Doa makcik dimakbulkan Allah!” jawab doktor itu.

Rupa-rupanya, dialah doktor yang dimaksudkan wanita tua itu. Dia mula faham hikmah di sebalik awam hitam mengelilingi pesawat dinaikinya hingga mendarat di tempat asing. Dan mengapa teksi terperangkap dalam cuaca buruk itu. Rupanya, Allah sedang memandu langkahnya untuk menjejaki rumah kecil ini.

Dan doktor itu merawat budak itu sehingga sembuh. Dia belajar bahawa doa yang dipohon pada Allah adalah sesuatu yang luar biasa dan di luar jangkauan apabila Dia memakbulkan doa hamba-hambaNya. Jangan sesekali meremehkan kuasa doa.

*Kisah di atas adalah berdasarkan pengalaman seorang doktor pakar neurologi di Pakistan.

_____

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Kecoh dakwaan Kuil Ular jadi tempat memohon hajat orang Islam, Malar dedah cerita sebenar

Isu berkaitan sebuah rumah ibadat yang dikenali sebagai Kuil Ular kembali menjadi perbualan di media sosial. Sebelum ini, Mastika mendapat...

More Articles Like This