Apabila disebut tentang lipas, umumnya ia dianggap sebagai serangga perosak, pengotor dan tidak disukai hampir semua orang. Mudah kata, ia bukan haiwan yang menyeronokkan, malah menimbulkan banyak kebencian.
Bayangkan jika ada minuman atau makanan dihasilkan daripada haiwan in? Sanggupkah anda menelannya?
Suatu ketika dahulu, sekumpulan saintis dari Institute for Stem Cell Biology and Regenerative Medicine (inStem) di Bengaluru, India, telah melakukan kajian yang menunjukkan bahawa lipas secara dasarnya mampu menghasilkan protein berupa susu yang boleh dimanfaatkan sebagai suplemen bernutrien tinggi pada masa akan datang.
Hasil kajian itu telah diterbitkan dalam IUCrJ, Journal of the International Union of Crystallography, sekitar bulan Julai 2016. Malah, mereka merancang menghasilkan produk berdasarkan kajian itu yang akan dijual sebagai makanan harian tambahan.
Kajian yang dijalankan oleh pakar-pakar dari institut itu mendedahkan bahawa susu lipas sebenarnya jauh lebih berkhasiat berbanding susu lembu. Malah, kebaikannya dikatakan lebih empat kali ganda berbanding susu lembu.
Subramanian Ramaswamy yang mengetuai projek itu menjelaskan bahawa tidak semua lipas dapat menghasilkan susu. Adapun, hanya lipas dari spesies Diploptera punctata yang mana ia bukan sahaja mampu melahirkan anak, tetapi juga dapat menghasilkan sejenis susu.

Menarik tentang Diploptera punctata atau juga dikenali dengan nama Pacific Beetle Cockroach ini, ia merupakan satu-satunya spesies lipas di mana anak yang dilahirkan berupa seperti mamalia. Malah, ia tidak bertelur seperti kebanyakan spesies lipas lain. Populasi lipas jenis ini banyak terdapat di Pulau Asia dan Pasifik.
Melihat kebolehan itu, para saintis dari pelbagai negara termasuk Amerika Syarikat, Jepun, Perancis dan India yang terlibat dalam penyelidikan tersebut memutuskan untuk meneliti kandungan susu lipas dengan lebih dekat. Hasilnya, mereka menjumpai sesuatu yang menarik.
Ternyata di dalam cairan putih itu terkandung sejumlah kristal protein yang digunakan sebagai sumber pertumbuhan dan perkembangan larvanya. Lebih istimewa, cecair tersebut turut mengandungi gizi empat kali lebih baik dan mempunyai tiga kali tenaga setara dengan susu lembu.

Jelas Ramaswamy, kristal protein itu umpama makanan lengkap di mana ia mengandungi protein, lemak dan gula. Jika anda melihat urutan protein, cairan itu mempunyai semua asid amino penting. Kerana itu, ia dipercayai boleh menjadi kunci kepada pertumbuhan manusia pada masa akan datang.
Tambah salah seorang pakar yang terbabit dalam penyelidikan itu kepada Times of India, Sanchari Banerjee, kristal protein itu terdapat di bahagian usus Diploptera punctata. Usus lipas jenis ini didapati memiliki kebolehan menghasilkan hablur istimewa atau juga disebut sebagai kristal protein. Kristal itu sangat stabil dan boleh menjadi tambahan protein yang hebat. Ia juga mengandungi tenaga dan karbohidrat lebih tinggi daripada susu lembu.
Selain kaya dengan gizi yang seimbang, susu lipas turut diperakui boleh membantu melancarkan proses pencernaan kerana mengandungi bahan-bahan semula jadi. Dengan kata lain, jika anda sedang mencari atau memerlukan makanan yang tinggi kalori, susu lipas ialah sumber makanan yang lengkap dan terbaik.
Menurut pakar, sumber protein itu tidak akan mendatangkan sebarang kesan sekiranya diambil oleh mereka yang sedang dalam proses diet atau cuba menurunkan berat badan.
Ini kerana, makanan yang kita ambil setiap hari mengandungi jumlah kalori yang lebih daripada mencukupi. Namun, jika jumlah kalori yang diperlukan setiap hari tidak mencukupi, susu lipas berprotein tinggi ini boleh dijadikan alternatif yang cepat dan mudah.
Hasil kajian itu, para ilmuwan telah merangka strategi untuk menghasilkan susu lipas bermutu bagi keperluan kesihatan badan manusia. Akan tetapi, secara teknikal, ia bukanlah satu perkara mudah untuk dilakukan.
Antara kekangan utama dihadapi oleh pakar adalah bagaimana untuk mendapatkan susu lipas dalam kuantiti yang banyak. Tambah pula, cara ‘memerah’ untuk mengeluarkan susu lipas bukanlah pilihan terbaik.
Hasil perbincangan, para penyelidik memutuskan untuk menggunakan pendekatan dengan menyusun urutan gen-gen yang bertanggungjawab dalam menghasilkan kristal protein susu. Tujuannya adalah bagi mendapatkan yis sebelum ia diproses untuk menghasilkan kristal susu dalam kuantiti yang jauh lebih banyak.

_____
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

