INSIDEN pergaduhan melibatkan sekumpulan penyokong bola sepak di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bandar Tasik Selatan Laluan Ampang-Sri Petaling, Jumaat lalu tidak sewajarnya berlaku.
Justeru, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengecam tindakan yang dilakukan segelintir penyokong tersebut.
Memetik laporan BERNAMA, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menegaskan, menang atau kalah adalah adat pertandingan.
Sehubungan itu, beliau berkata, mana-mana individu tidak boleh sewenang-wenangnya menyebabkan kerosakan ke atas aset kerajaan dan harta benda awam.
“Jadi kalau mereka lihat …ini aset Prasarana (Prasarana Malaysia Berhad) tak payah jaga, sangat mengarut. Saya berharap tak ada lagi perkara seperti ini akan berlaku.
“Kemudahan Prasarana selalunya mereka panjangkan masa perkhidmatan untuk menyenangkan penyokong bola sepak, jadi kita kena balas dengan adab,” katanya.
Baca artikel lain: Prasarana buat laporan polis kes pergaduhan penyokong di stesen LRT
Semalam, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) telah membuat satu laporan polis berhubung insiden pergaduhan melibatkan sekumpulan penyokong bola sepak itu.
Insiden yang berlaku pada pukul 12 tengah malam itu telah mengakibatkan kerosakan pada kemudahan di stesen serta bahagian pintu dan cermin tingkap tren yang berada di platform berkenaan.
Namun begitu, tiada kecederaan dilaporkan.
Kejadian itu berjaya dileraikan oleh pasukan polis bantuan Prasarana yang membawa kumpulan penyokong terlibat keluar dari Stesen LRT Bandar Tasik Selatan bagi mengelakkan sebarang situasi yang lebih merbahaya.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan yang mengesahkan kejadian tersebut berkata, insiden pergaduhan berkenaan melibatkan antara 20 hingga 30 orang yang bertindak agresif dengan bertumbuk, membaling tong sampah, dan menendang pintu tren hingga menyebabkan kerosakan.
Beliau berkata setakat ini tiada tangkapan dibuat dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 147 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, Hannah menghormati kesungguhan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail yang sentiasa berusaha memajukan arena bola sepak tanah air ke satu tahap lebih gemilang.
“Saya tahu semua orang teruja dengan rancangan baharu pada 2025. Saya bekerja rapat dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
“Semua ini saya biarkan FAM uruskan. Untuk kerajaan kita bagi dana, kita bagi sokongan tetapi kita juga nak tengok prestasi dan ada KPI-nya lah,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

