KKM tak pandang enteng lebih 6,000 doktor letak jawatan, Dzulkefly tak nafi situasi, pastikan isu ditangani

Afiq Mohd. Shah
Afiq Mohd. Shah
Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

Dari Penulis

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) tidak memandang enteng isu mengenai lebih 6,000 doktor dalam perkhidmatan awam yang telah meletakkan jawatan sepanjang lima tahun lalu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dalam hantaran di Facebook memaklumkan, jumlah lebih 6,000 doktor meletakkan jawatan itu adalah termasuk 3,200 pegawai perubatan (MO) kontrak yang meletak jawatan untuk beralih ke jawatan tetap.

Menurut beliau, ia merupakan sebahagian daripada prosedur yang telah ditetapkan.

Selain itu, Dzulkefly berkata, sesetengah doktor juga telah beralih ke bidang akademik dan dalam berbuat demikian, mereka masih menyumbang kepada pengukuhan sektor kesihatan awam.

Bagaimanapun, katanya, ketirisan bakat kekal menjadi cabaran yang signifikan dalam semua industri termasuk sektor kesihatan.

“Saya mendengar segala luahan dan pandangan daripada (pakar perunding nefrologi) Dr Rafidah (Abdullah) dan rakan-rakan doktor yang lain. Saya akui dan sedari sepenuhnya bahawa KKM kekurangan kakitangan.

“Dalam itu, sesetengah warga KKM juga terpaksa menanggung bebanan tugas lebih daripada rakan-rakan yang lain. Saya pastinya tidak pernah dan tidak akan menafikan situasi ini.

“Namun, walau dengan segala kekangan yang wujud hari ini, saya akan pastikan bahawa semua isu yang dihadapi oleh warga KKM di lapangan akan ditangani dalam penggal kedua saya sebagai Menteri Kesihatan,” katanya dalam hantaran tersebut.

Beliau berkata demikian sebagai membalas pertanyaan Dr Rafidah yang ingin tahu perancangan dan strategi KKM dalam mengatasi situasi isu peletakan jawatan oleh para doktor.

Baca artikel lain: KKM rancang perkenal undang-undang ‘Good Samaritan’

Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, walaupun mengakui bahawa KKM tidak menghalang MO dan pakar perubatan daripada berhijrah ke sektor swasta, namun pihaknya telah melaksana beberapa strategi untuk mengekalkan mereka dalam sektor awam.

Dalam jangka sederhana, beliau memaklumkan, beberapa perubahan akan disaksikan menerusi inisiatif Rakan KKM Partnership dengan prospek ganjaran yang lebih baik dan fasiliti kesihatan yang dinaik taraf.

Dzulkefly menjelaskan, langkah jangka pendek pula termasuk kenaikan dan pelarasan gaji; jadual kerja lebih anjal dan membenarkan amalan lokum.

“KKM terus komited untuk meningkatkan keseimbangan antara pekerjaan dan kehidupan serta kebajikan profesional perubatan seluruhnya,” katanya.

Mengenai kekurangan kakitangan di Hospital Seri Manjung, Perak, Dzulkefly berkata Bahagian Sumber Manusia (BSM) akan mengagihkan lebih banyak MO ke jabatan yang kritikal.

“Terdapat peningkatan pengagihan MO ke semua fasiliti KKM setiap tahun, dan sebuah kohort baharu MO baru sahaja diagihkan pada minggu lepas. Oleh itu, Hospital Seri Manjung juga akan segera menerima tambahan kakitangan perubatan.

“Cabaran ini juga bukan terhad kepada Hospital Seri Manjung sahaja, namun dihadapi di seluruh negara. Oleh itu, KKM akan berusaha sedaya upaya untuk menangani keperluan mendesak ini,” katanya dan menambah beliau kekal komited untuk merealisasikan penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan.

Dzulkefly dalam jawapan bertulis Dewan Negara, baru-baru ini menyebut, seramai 6,417 orang pegawai perubatan lantikan tetap dan kontrak meletakkan jawatan sejak 2019 hingga 2023.

Katanya, seramai 1,046 pakar perubatan turut meninggalkan perkhidmatan awam dalam tempoh sama manakala 63 pakar perubatan lain pula memilih untuk bersara pilihan.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

PRN Johor: SPR keluarkan 24,677 kertas undi pos

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) telah mengeluarkan sebanyak 24,677 kertas undi pos kepada individu yang berhak untuk mengundi secara pos. Setiausaha...

More Articles Like This