Siri 2: Umat Islam jangan “lebih sudu dari kuah” ketika Krismas

Dari Penulis

Dalam konteks masyarakat kita di Malaysia yang punyai pelbagai kaum dan agama, tidak dinafikan memang wujud hubungan harmoni antara mereka dalam apa juga keadaan termasuklah perayaan.

Justeru itu kita sebagai umat Islam perlu bijak menanggani situasi tersebut supaya tindakan kita tidak menyimpang dari syariat dan akidah Islam. Dan dalam masa yang sama tidak juga mendatangkan rasa permusuhan kepada bukan Islam.

Contoh mudah, sekiranya kita menetap atau bekerja dalam komuniti bukan Islam, kita boleh menghadiri majlis atau hadir ke rumah mereka sekadar menjalinkan hubungan silaturahim, namun pastikan kita tidak terlibat dengan upacara dan amalan perayaan mereka terutama yang bersangkut paut dengan akidah.    

Artikel berkaitan: Siri 1: Sambut Krismas, bolehkah itu dianggap satu dakwah

Begitu juga dengan ucapan selamat. Cukup hanya sekadar memberi ungkapan umum selamat hari raya atau mungkin kita boleh kata selamat bergembira, sekadar menunjukkan rasa kasih sayang atau mengambil berat. Namun dalam hati kita tetap untuk tidak meraikan atau menerima agama mereka.

Mungkin kerana ketika perayaan kita, mereka ada memberi ucapan, maka itu kita ingin timbal balik ucapan tersebut sekadar menunjuk kemesraan pada agama mereka, dan itu masih dalam ruang lingkup yang dibenarkan.

Situasi umat Islam yang lebih sudu dari kuah ini semakin ketara saat ini terutama melibatkan pemakaian seperti pakaian santa claus. Bagi mereka, tidak mengapa jika berpakaian seperti ini dengan tujuan yang baik untuk menunjukkan Islam meraikan perayaan mereka.

Dalam hal ini kita kena benar-benar jelas bagaimana pendekatan Baginda s.a.w. dalam berdakwah. Baginda s.a.w. berdakwah dengan membawa akhlak mulia sehinggakan ramai sahabat menerima Islam, bukan dengan mengikut cara dan tindakan bukan Islam untuk menarik mereka kepada Islam. Itu sama sekali tindakan yang tidak tepat.

Bukan bermakna kita perlu masuk ke disko untuk dakwah, atau perlu menghisap rokok dahulu barulah kita boleh mengajak orang untuk berhenti merokok. Takut nanti kita pula yang hanyut.

Dakwah mempunyai banyak cara dan pendekatan yang perlu dilihat dalam konteks yang luas bukan melihat hanya dalam kotak. Pertuturan dan perbuatan yang mulia lebih utama dalam berdakwah.

Apatah lagi sekiranya kita membawa perkara yang makruf sudah pasti ramai yang suka contohnya membantu golongan yang susah, itu juga merupakan pendekatan dakwah sebagaimana yang dilakukan oleh Baginda s.a.w.   

Ketika di Mekah, setiap kali Baginda s.a.w. menuju ke Kaabah, sudah pasti dipertengahan jalan Baginda s.a.w. akan diganggu dengan tindakan-tindakan yang keras dan buruk oleh seorang lelaki Yahudi.

Namun satu hari ketika menuju ke Kaabah, lelaki yang selalu mengganggunya tidak ada. Baginda menjadi hairan lalu ditanyalah kepada orang ramai. Rupanya lelaki tersebut menderita sakit dan terlantar di rumah.

Segera Baginda s.a.w. melawatnya sehingga lelaki itu merasa malu. Inilah bukti betapa akhlak yang mulia menjadi pendekatan dakwah yang berkesan bukannya perlu mengikut cara dan amalan bukan Islam.

Firman Allah dalam surah an-Nahl: 125

“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah (bijaksana) dan mauizah (pelajaran atau nasihat yang baik) dan bantahlah mereka dengan cara yang baik (hasanah)”

Dalam surah ini, Allah menyeru agar dapat berdakwah dengan penuh hikmah, maui’zah dan hasanah. Hikmah adalah bertindak dengan bijaksana berdasarkan pada situasi yang tepat. Manakala mauizah adalah dengan memberi nasihat yang baik serta jika ada kesalahan cubalah tegah dengan cara yang sangat baik.  

Dalam satu kisah seorang pemuda bertemu Baginda s.a.w. dan meminta izin untuk melakukan zina. Baginda tidak marah pemuda tersebut bahkan memandangnya dengan penuh kasih sayang dan bertanya dengan lemah lembut,

“Sukakah kamu bila itu terjadi pada ibumu?” Tanya Baginda.

“Tidak, demi Allah” jawab pemuda itu.

“Sukakah kamu bila itu terjadi pada saudara perempuan mu?” Tanya Baginda lagi.

“Tidak, demi Allah” jawab lagi pemuda.

“Sukakah kamu itu terjadi pada isteri atau anak perempuanmu?” pemuda itu jawab lagi,

“Tidak, demi Allah.” Baginda seterusnya berkata,

“Demikianlah halnya dengan semua perempuan, mereka itu berkedudukan sebagai ibu, saudara perempuan, isteri atau anak perempuan.”

Kemudian Baginda meletakkan telapak tangannya di dada pemuda itu lalu mendoakannya.  

Untuk berdakwah juga tidak perlu kepada paksaan seperti meletakkan syarat untuk mereka menerima Islam, seperti sekiranya aku berjaya melakukan sekian-sekian maka engkau perlu masuk Islam.

Dalam hal ini kita tidak mahu orang masuk Islam melalui paksaan, biar ia menerimanya dengan seikhlas dan seadanya semata-mata kerana Allah. Dan inilah juga yang dilakukan oleh Baginda s.a.w. dan para sahabat terutama ketika pembukaan kota Mekah.

Biarlah mereka yang memeluk Islam adalah mereka yang berkualiti keimanannya kerana kita tidak mahu hanya ramai Islam tetapi sekadar pada nama sahaja. Ini secara langsung akan merugikan umat Islam itu sendiri juga kerana memberi gambaran buruk terhadap Islam. Biarlah orang tidak mengata, nama sahaja Islam tetapi akhlak, perangai dan tindakan langsung tidak bercirikan Islam.

Dakwah secara ekstrem tidak akan menemui noktah yang baik kerana Islam terdiri dengan maqasid syariah. Dalam konsep ini matlamat tidak menghalalkan cara. Walaupun matlamat dan tujuannya baik namun jika caranya salah tetap tidak diterima.

Walaubagaimanapun jika penyampaian dakwah itu secara ekstrem ia dibenarkan, seperti bercakap dengan nada yang keras atau tegas. Tetapi untuk berdakwah secara ekstrem sehingga mengabaikan hukum dan batas yang disyariatkan Islam, itu sama sekali ditolak. Wallahu a’lam

_______________________________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

FacebookTwitterWhatsAppTelegramLinkedInCopy LinkShare


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Syarahan Perdana Tokoh Maal Hijrah 1448H Beri Fokus Kepada Mesej Keamanan & Peradaban Kontemporari

PERISTIWA Maal Hijrah tidak seharusnya dibiarkan berlalu sekadar penceritaan lipatan sejarah dan sambutan tahunan semata-mata, sebaliknya ia perlu diangkat...

More Articles Like This