Agama Islam bukan hanya tertakluk kepada cabang tauhid atau fekah semata-mata, tetapi ia juga bersangkut paut dengan moral dan kesihatan bagi menjaga umat Islam dari sebarang keburukan.
Keperluan menjaga kebersihan amat dititik beratkan kerana ia merupakan sebahagian dari iman. Terdapat beberapa hadis yang menyebut tentang peri pentingnya menjaga kebersihan diri antaranya ialah:
Pertama: Bersih salah satu cabang iman
Dari Abu Malik al-Harith bin ‘Ashim al-Asy’ari r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda,
“Bersuci itu sebahagian dari iman, ucapan Alhamdulillah (segala puji bagi Allah) itu memenuhi timbangan, ucapan Subhanallah (Maha Suci Allah) dan Alhamdulillah (Segala Puji bagi Allah), keduanya memenuhi antara langit dan bumi.
Solat adalah cahaya, sedekah adalah bukti nyata, kesabaran adalah sinar, al-Quran adalah hujah yang membelamu atau hujah yang menuntutmu. Setiap manusia berbuat seakan-akan ia menjual dirinya, ada yang memerdekakan dirinya sendiri, ada juga yang membinasakan dirinya sendiri (HR Muslim)
Kedua: Membersihkan mulut dan gigi dengan bersiwak sebelum solat
Dari Abu Hurairah r.a. Rasulullah s.a.w. bersabda,
“Seandainya tidak memberatkan umatku atau tidak memberatkan manusia, aku pasti memerintahkan mereka untuk bersiwak bersamaan dengan setiap kali solat” (HR Bukhari & Muslim)
Ketiga: Larangan membuang air di dua lokasi
Dari Abu Hurairah r.a. ia berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda,
“Jauhkanlah dirimu dari dua perbuatan terkutuk (terlaknat) iaitu suka buang air di jalan umum atau suka buang air di tempat orang berteduh” (HR Muslim)
Keempat: Wudu’ sucikan diri dan dosa
Rasulullah s.a.w. bersabda, “Barangsiapa yang berwuduk dan menyempurnakan wuduknya, maka keluarlah segala dosa-dosanya hingga dari bawah kuku-kukunya” (HR Muslim)
Kelima: Merawat dan menjaga rambut
Rasulullah s.a.w. bersabda, “Barang siapa yang memiliki rambut panjang, maka hendaklah ia memuliakan rambutnya (merapikan dan merawatnya dengan baik)” (HR Abu Daud)
Inilah antara lima hadis tentang keperluan menjaga kebersihan yang disebutkan oleh Baginda s.a.w. Ia bukan sahaja menjadikan umat Islam itu lebih indah dipandang, malah turut memberi keselesaan dan ketenangan pada diri dan orang di sekelilingnya, selain menjaga kesihatan rohani dan jasmani serta menjadi cermin keimanan seseorang kepada Allah. Wallahu a’lam
_________________________________________________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

