SELEPAS 11 tahun berpengalaman mengacara majlis-majlis korporat dan perkahwinan bertaraf VIP, pengacara Raja Rashtam kini mahu memperluaskan bidangnya ke pentas penyiaran televisyen.
Raja Rashtam, 31, berkata, dengan pengalaman yang cukup luas itu memberi keyakinan kepadanya untuk mencuba nasib sebagai pengacara televisyen bagi memperluaskan kepakarannya.

“Ya, saya mahu cuba menjadi pengacara televisyen. Hasrat ini bukan sahaja menunjukkan keberanian saya untuk keluar dari zon selesa, tetapi juga keazaman untuk terus berkembang dan memberi inspirasi kepada orang ramai.
“Semestinya bukan di program lawak atau hiburan kerana bukan kepakaran saya, tetapi saya mahu mengacarakan program berbentuk bual bicara yang serius, sebagai contoh seperti Malaysia Hari Ini dan Wanita Hari Ini,” katanya ketika ditemui pada majlis hari jadinya yang ke-31 tahun, baru-baru ini.
Tambah Raja, walaupun ramai pendatang baharu, tetapi dia tahu dirinya mampu menggalas tanggungjawab baru apatah lagi dia seorang yang sangat menitikberatkan soal membuat kajian terlebih dahulu dan teratur dalam menguruskan kerja seni.
Mengidolakan pengacara popular Allahyarham Datuk Mahadzir Lokman, Raja turut berharap menerusi pengacaraan televisyen dia dapat memberi ilmu kepada penonton.
“Saya suka mengupas isu atau topik yang memerlukan saya membuat kajian, kemudian ada panel-panel yang mengulas juga.
“Secara tidak langsung saya dapat memberi ilmu kepada penonton. Alangkah seronoknya jika peluang itu (mengacara TV) benar-benar dapat dicapai,” tuturnya.
Sementara itu, majlis hari lahir Raja begitu meriah kerana ia bukan sekadar menyambut hari jadi, tetapi juga meraikan pencapaian luar biasanya dalam bidang pengacaraan sepanjang 2024.

Menurut Raja, dia tidak sangka rezeki yang datang sepanjang 2024 lebih empat kali ganda berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Dan kerana itu, dia mahu meraikan pencapaian tersebut bersama klien, rakan-rakan serta keluarga rapat.

“Alhamdulillah dengan rezeki yang diberi. Semua kejayaan ini tidak akan berlaku tanpa sokongan klien, rakan-rakan, keluarga dan juga pekerja saya.
“Sebab itu setiap kali hari jadi saya, mereka juga perlu diraikan. Tetapi untuk sampai ke tahap ini pun bukan mudah. Saya mula menapak pada usia 20 tahun dan ketika itu saya mencari identiti sendiri dalam bidang pengacaraan.
“Cabaran demi cabaran ditempuh, termasuk menukar pakaian di masjid dan surau serta menaiki bas dengan berpakaian rasmi untuk ke majlis. Pengorbanan tersebut akhirnya berbaloi apabila berjaya mendapatkan tempat apatah lagi di kalangan VIP dalam masa tujuh tahun,” ungkapnya.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

