
ISU Himpunan Solidariti Untuk Najib Tun Razak di Putrajaya, esok ternyata bukan sahaja menyebabkan ‘huru-hara’ dalam UMNO tetapi juga semakin memburukkan lagi imej parti itu dalam kalangan orang Melayu.
Pengumuman Setiausaha Agung UMNO, Dr.Asyraf Wajdi Dusuki bahawa UMNO membuat keputusan untuk tidak menyertai perhimpunan berkenaan dikatakan membangkitkan kemarahan dan perasaan tidak puas hati dalam kalangan sesetengah pemimpin serta ahli UMNO.
Walaupun Asyraf Wajdi yang dianggap orang kanan Presiden UMNO, Dr.Ahmad Zahid Hamidi memberi hujah bahawa keputusan itu dibuat bagi menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong agar menghormati kuasa prerogatif baginda dalam isu rayuan Najib namun ia seolah-olah tidak diterima oleh sesetengah ahli UMNO.
Berikutan itu ada pemimpin UMNO yang secara terbuka menyatakan mereka tetap akan menghadiri perhimpunan berkenaan dan langkah itu bukannya tidak menghormati titah Yang di-Pertuan Agong tetapi sekadar mahu memberi sokongan kepada Najib yang mempunyai banyak jasa kepada bangsa serta negara.
Keadaan menjadi lebih buruk kepada kepimpinan UMNO apabila ada pemimpin parti itu berhujah bahawa Yang di-Pertuan Agong hanya menyatakan soal prerogatif baginda dan sama sekali tidak menyentuh soal perhimpunan berkenaan.
Bekas Ketua UMNO Bahagian Cheras, Syed Ali Al-Habshee berkata, parti Melayu itu tiada alasan relevan untuk membatalkan perhimpunan solidariti tersebut kerana ia tidak terkait secara langsung dengan titah Istana Negara.
“Kita mengambil maklum dan menjunjung kasih titah Istana Negara pada Jumaat lalu yang memaklumkan kuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum bagi apa-apa kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan, dan Putrajaya adalah prerogatif Yang di-Pertuan Agong.
‘’ Pada pandangan saya, titah daripada Istana Negara itu bagaimanapun tidak menyatakan sebarang tegahan atau larangan bersabit ‘Solidariti Bersama Najib Razak Menuntut Keadilan’ di Istana Kehakiman, Putrajaya pada 6 Januari ini,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook semalam.
Suasana dalam UMNO berikutan kenyataan Asyraf Wajdi menjadi semakin bercelaru apabila Ketua Pemuda UMNO, Dr.Muhammad Akmal Salleh berkata, beliau akan hadir di Istana Kehakiman sebagai menyatakan sokongan moral kepada Najib.
Katanya, Pemuda UMNO menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong dan sebagai ahli parti beliau akur dan menghormati kenyataan UMNO.
‘’ Tetapi sebagai seorang individu, seperti kebiasaan sebelum ini saya pun pergi memberikan sokongan moral kepada Najib di Kompleks Mahkamah Jalan Duta. Maka pada 6 Januari saya akan hadir atas kapasiti individu. Parti minta tidak berhimpun tetapi parti tidak menghalang untuk tidak pergi menyatakan sokongan moral,’’ katanya lapor Awani.
Selain itu beberapa pemimpin dan bahagian UMNO juga dikatakan tetap akan turun ke Putrajaya memberi sokongan kepada Najib.
Satu sumber memberitahu penulis, tindakan UMNO membatalkan hasrat menghadiri perhimpunan berkenaan menyebabkan imej parti itu semakin parah kerana dilihat tidak mempunyai pendirian tegas dalam berhadapan sesuatu isu khususnya apabila melibatkan Najib.
‘’Ramai pemimpin UMNO berhujah, kenapa tidak boleh berhimpun sedangkan kenyataan Istana Negara tidak sebutpun larangan berhimpun. Sepatutnya UMNO memberikan hujah yang tegas berhubung perkara berkenaan,’’ kata sumber tersebut.
Sumber itu berkata, biarpun ada beberapa pemimpin kanan UMNO bersetuju dengan pendirian parti dan ada juga yang mengkritik ketegasan Pas meneruskan himpunan berkenaan namun ia tetap tidak memberi imej baik kepada UMNO.
‘’Benar UMNO kata, mereka akur titah Agong tetapi orang melihat tindakan UMNO lebih mahu menjaga hati komponen dalam kerajaan khususnya DAP yang semua sentimen terhadap Najib,’’ kata sumber itu.
Pandangan itu sama seperti mana dinyatakan oleh Syed Ali yang mendakwa wujud anggapan bahawa pemimpin UMNO ‘takut’ kepada suara DAP, dan tidak bersungguh-sungguh memperjuangkan nasib bekas Presiden UMNO itu yang kini berada di penjara.
Selain itu difahamkan ada juga pemimpin UMNO membidas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang menegaskan, proses pengampunan Najib bukan modal politik yang boleh dipermain semua pihak, dan tindakan menjadikan ia taruhan bagi meraih populariti adalah sangat tidak bermoral.
“Bersolidariti secara bermusim itu sangat memualkan. Apa lagi setelah mengenang segala nista yang pernah mereka lemparkan terhadap mantan Presiden UMNO tersebut,” kata Mohamed Khaled dalam kenyataan semalam.
Pemimpin UMNO itu menegaskan, sepatutnya Mohamed Khaled perlu sedar bahawa PKR dan DAP juga dulu pernah melemparkan ‘pelbagai kata nista’ kepada Najib tetapi apabila semata-mata mahu menjadi kerajaan, UMNO sanggup bekerjasama dengan kedua-dua parti berkenaan walaupun kalah dalam pilihan raya.
‘’Sekurang-kurangnya Pas menunjukkan ketegasan dan keberanian untuk terus menyokong Najib, mereka bukannya melanggar titah Yang di-Pertuan Agong tetapi mahu memastikan Najib mendapat keadilan sebenar melalui proses undang-undang,’’ katanya.
Ketegasan Pas untuk meneruskan perhimpunan berkenaan dikatakan menaikkan imej parti itu dalam kalangan orang Melayu, kata satu sumber kepada penulis.
‘’Pendirian Pas jelas seperti mana kata Takiyuddin Hassan bahawa kehadiran ke himpunan solidariti untuk Najib tidak menyanggah mahupun mengurangi makna dan tujuan titah Yang di- Pertuan Agong mahupun mana-mana peruntukan Perlembagaan atau mengganggu proses dan penjalanan Lembaga Pengampunan,’’ kata sumber itu.
Atas sebab itulah, ramai yang tertanya-tanya kenapa UMNO begitu cepat meminjam kata-kata Syed Ali ‘’melakukan U-turn’ dalam isu perhimpunan tersebut. Apatah lagi kenyataan media Asyraf Wajdi dilihat ‘kabur’ kerana tidak menyebut sama ada ahli UMNO dilarang atau tidak menyertainya.
Namun ‘kekaburan’ bukanlah perkara baru dalam UMNO kerana sejak berada dalam kerajaan sudah banyak kali bak kata seorang pemimpin parti itu, UMNO sering sahaja berada dalam dilema ‘diluah mati bapa, ditelan mati emak’ sebab ada ‘banyak hati perlu dijaga’.
Tetapi apa yang pasti, ada sumber memberitahu sejak selepas PRU-15 dan walaupun kini berada dalam kerajaan, tahap sokongan orang Melayu kepada UMNO ‘semakin membimbangkan’ dan keputusan ‘U-turun’ dalam himpunan solidariti bagaikan,’’seseorang yang kembali tersembam ketika mahu bangkit semula.’’

