Sebuah cinta yang sunyi dan mendebarkan, namun kita rasakan begitu agung

Dari Penulis

Seorang sahabat saya bercerita tentang malunya dia apabila berjumpa surat cintanya dahulu. Maksud saya, surat cinta ketika dia berusia belasan tahun. Ceritanya begini, ketika pulang berhari raya beberapa tahun lalu dan menyelongkar laci serta kotak-kotak di bawah katil untuk mencari album gambar-gambar lama, tiba-tiba dia terjumpa sebuah beg plastik.

Di dalam beg plastik itu pula terdapat berpuluh-puluh keping surat cinta. Surat cinta itu terbahagi kepada dua. Pertama, surat cinta yang dikirimkan oleh buah hatinya. Kedua, surat yang ditulisnya tetapi dipulangkan semula oleh buah hatinya itu apabila cinta mereka hancur berkecai.

Lalu dia pun membelek-belek surat cinta itu. Surat pertama, bersampul putih dikelilingi garisan pendek biru dan merah berselang-seli. Aduh, tangannya bergetar apabila membuka envelope itu.

Di dalamnya terdapat lembaran kertas berwarna biru, ada gambar bunga ros di bawahnya. Wangi pula baunya, sebab ditaruh bedak. Surat itu untuk berkenalan dan lebih kurang begini bunyinya…

“Saudari N, semoga saudari sihat sihat hendaknya. Saya pun begitu juga. Tujuan sebenar saya menulis surat ini adalah untuk berkenalan dengan saudari. Saya sebenarnya sudah lama ingin berkenalan dengan saudari, tetapi saya malu untuk berterus terang. Lagipun, saya bimbang kawan-kawan sekolah mentertawakan saya. Maklumlah, saya ini tidaklah kacak, sedangkan saudari cantik dan ramai peminat.

“Untuk pengetahuan saudari, nama saya BB. Tarikh lahir saya ialah pada 13 Jun 1967. Saya mempunyai sembilan adik-beradik, saya anak yang ketujuh. Saya bercita-cita hendak menjadi seorang ahli bomba. Warna kegemaran saya ialah biru, sebab itu surat ini pun saya gunakan kertas berwarna biru. Saya harap saudari sudi menerima saya sebagai sahabat.

“Pecah kaca, pecah gelas. Sudah baca, harap balas. Yang benar… BB (insan kerdil)”

Kata kawan saya itu, apabila membaca surat tersebut, dia terus ketawa sampai sakit perut. Dalam masa yang sama, dia terbayang wajah buah hatinya itu, yang senyumannya manis, wajahnya malu-malu, rambut berombak lembut, kulit putih bersih dan apabila matanya melirik, dia rasa hendak tumbang. Itulah gadis pertama yang betul-betul mencuri hatinya selepas dia bersunat dan sudah tumbuh bulu ketiak.

Surat pendek yang ditulis ketika berusia 15 tahun dan menggunakan ball pen dakwat biru itu ditatapnya lebih lama. Perasaannya berputar, ingatan kembali pada zaman remajanya lebih 40 tahun lalu.

Gadis bernama N itu sering dilihatnya duduk di tepi tingkap kelas ketika dia ke kantin. Sering juga dia bertembung dengan N sewaktu masing-masing hendak masuk ke kelas, dan pulang dari sekolah.

Apabila bertentang mata dengan N, dia dapat merasakan ada getaran cinta yang turut terpancar dari mata N. Semasa N menunduk, kemudian mengalih pandang sambil tersenyum malu, sahabat saya ini jadi tidak keruan. Dia tahu maknanya. Ya, N juga berperasaan sama sepertinya.

Malam, dia termimpikan N. Siang, dia sanggup menolong cikgu mengangkat buku atau membantu kawan-kawannya yang menjadi pengawas, asalkan dapat lalu di kelas N dan berbalas pandang dengan gadis itu.

Tetapi, sahabat saya ini pemalu. Lama dia menyimpan perasaan itu dan tidak tahu bagaimana hendak meluahkan rasa cintanya, kecuali melalui surat tersebut yang dikirim menggunakan seorang rakan sekelas sebagai posmen.

Apakah cintanya dibalas? Begini surat balasan dari N, seperti yang ditunjukkannya kepada saya.

“Ke hadapan saudara BB, terima kasih di atas surat yang saudara kirimkan. Jika saudara ikhlas ingin berkawan dengan saya, saya sedia menerimanya.

“Saya juga ikhlas menerima saudara sebagai sahabat. Untuk pengetahuan saudara, saya mempunyai enam orang adik-beradik. Empat perempuan, dua lelaki. Saya adalah anak yang ketiga. Saya bercita-cita ingin menjadi doktor supaya saya dapat membantu kedua ibu bapa saya yang sudah tua dan miskin. Tarikh lahir saya ialah pada 7 September 1968. 

“Salam perkenalan juga dari saya. Semoga persahabatan ini tidak melalaikan kita terhadap pelajaran. Yang ikhlas, N.”

Apabila menerima surat itu, kata sahabat saya tadi, dia rasa macam hendak meloncat ke atas bumbung sekolah. Kalau boleh, dia hendak panjat tiang bendera dan menjerit, “N… Aku Cinta Padamuuuuu!!!”

Hari itu kalau tidak makan satu hari pun tidak mengapa sebab perutnya terasa kenyang sentiasa. Jiwanya kembang kuncup meletup-letup kerana terlalu bahagia. Sahabat saya itu, dapat merasakan, inilah makna cinta pertama.

Selepas itu, mereka saling berutus surat. Posmennya ialah rakan sekelas tadi yang juga rakan sekampung dengan N. Surat demi surat diutus, dan setiap kali menerima warkah balasan dari N, dia akan membacanya berulang-ulang kali. Setiap patah perkataan ditafsirnya untuk mencari makna yang tersirat dan tersorok.

Surat itu dicium-cium sebab kertasnya wangi. Dia berharap N menjadi miliknya yang abadi suatu hari nanti. Dia benar-benar mencintai N.

Sebelum tidur, sahabat saya itu membaca lagi surat tersebut dan cuba mentafsir isi hati N. Cuma masalahnya, disebabkan sahabat saya ini seorang yang merendah diri, dia sering saja mentafsirkan surat itu dengan waswas, iaitu N mungkin akan bertemu lelaki yang lebih tampan darinya. Mungkin suatu hari nanti N akan meninggalkannya. Mungkin N belum benar-benar mencintainya.

Semua ini diluahkan oleh sahabat saya tadi melalui surat, kerana dia tidak berani hendak bercakap dengan N. Setiap kali berselisih, dia hanya melemparkan senyuman dan berbalas pandang. Itu sahaja. Dia takut hendak berbual. Dia hanya berani berkata-kata melalui surat sahaja.

Masa berlalu, hari beredar, cinta yang sunyi dan berhubung melalui pandangan mata serta balasan senyuman itu tiba-tiba menjadi tawar. Kuntuman-kuntuman bunga yang dahulunya mekar dan mengharum, dilihatnya semakin layu dan pudar.

Sahabat saya itu mendapati N tidak lagi memandangnya dengan senyuman manis. Salamnya tidak bersahut. Suratnya juga tidak berbalas. Akhirnya, sahabat saya itu mendapat tahu, N kini rapat dengan seorang pelajar yang dua tahun lebih senior darinya, lebih tampan dan mempunyai personaliti yang menarik. Lebih pedih lagi, pelajar itu adalah sahabatnya juga dan tahu akan hubungannya dengan N!

Sahabat saya ini kecewa. Sekali lagi dia tidak lalu makan, semua yang ditelan terasa tawar. Hatinya punah-ranah. Jiwanya kosong. Dia berasa seperti semua isi alam sedang mentertawakannya.

Akhirnya, cinta yang sunyi itu berakhir bagaikan angin lalu. Di penghujung musim persekolahan, dia menghantar sepucuk surat terakhir bagi memutuskan hubungan. N membalasnya dengan memberitahu dia bertindak demikian selepas diberitahu bahawa sahabat saya itu suka mempermainkan perempuan (yang sebenarnya tidak begitu) dan seterusnya memulangkan semua surat yang pernah dikirimnya dahulu, termasuklah surat ingin berkenalan tadi.

Menurut kawan saya ini, apabila menatap kembali surat-surat cintanya dahulu, dia bagaikan dapat merasai semula indahnya cinta pertamanya itu. Dia terbayang kembali wajah N, terasa semula betapa pedih laranya putus cinta. Beberapa tahun dia merana kerana tidak dapat menerima kenyataan hati N sudah ditakluki oleh lelaki lain.

Setelah habis bercerita, sahabat saya itu tiba-tiba ketawa besar. Mahu tidak, rupa-rupanya surat-surat itu telah dibaca oleh adik dan anak-anak saudaranya. Malah, mereka mentertawakannya sambil memetik barisan-barisan ayat serta perkataan yang tertulis dalam surat-surat cintanya. Hari raya itu, dia menjadi bahan lawak.

“Malu bro… malu. Tahap malu giler. Tapi aku bersyukur, sekarang aku dapat isteri yang sangat baik dan cantik,” kata kawan saya itu.

Bagaimana dengan N? Kata sahabat saya itu, dia tak tahu. Dia sudah melupakan N dan tidak pernah berusaha untuk mengambil tahu tentang bekas buah hatinya itu. Kata sahabat saya itu, nanti dia akan bakar semua surat-surat tadi.

 “Aku akui, cinta pertama adalah yang paling indah. Tapi cinta terakhir dengan isteri aku adalah ikhlas dan mahu kekal hingga ke akhirat,” sambungnya yang kini mempunyai empat orang anak dan berjawatan besar di sebuah syarikat telekomunikasi.

Kisah cinta kawan saya itu mengingatkan saya akan kisah cinta yang pernah saya alami. Semuanya lebih kurang sama. Saya juga menulis surat ingin berkenalan, tarikh lahir, cita-cita, warna kegemaran, hobi, kemudian, ‘pecah kaca, pecah gelas, sudah baca, harap balas.’

Saya menaruh bedak pada surat cinta yang dikirim kepada buah hati dan saya juga membaca surat yang diterima itu berulang kali, mentafsir setiap patah perkataan, membawanya tidur, kemudian menyimpannya dalam bekas khas. Malah saya juga tidak berani hendak berbual dengan buah hati dan malu hendak berterus terang, sampailah tiba-tiba cinta itu putus dan saya menonggeng macam ayam berak kapur.

Begitulah cinta pada 1980-an, semuanya bisu dan sunyi. Hanya hati saja yang berbicara. Cuma pandangan mata saja yang cuba mentafsir, sedangkan lidah kelu tidak terungkapkan kata-kata akibat rasa malu yang teramat sangat.

Cinta pada zaman itu dan zaman-zaman sebelumnya, adalah cinta yang sunyi kerana kami tidak mempunyai telefon rumah. Telefon bimbit belum wujud lagi. Whatsapp, Facebook, Instagram atau apa saja media sosial mahupun e-mel jauh sekali kerana pada zaman itu ibu bapa kami tiada komputer. Malah perkataan Internet pun masih belum dicipta lagi. Kami hanya berhubung melalui hati dan pandangan mata sahaja.

Tetapi, cinta pada zaman itu adalah cinta yang sangat hebat. Apabila kita malu untuk berbicara, maka perasaan cinta sentiasa hangat dan menggelegak. Harumnya mewangi seluruh jagat raya. Setiap detik menjadi begitu getir dan kacau. Sepucuk surat yang diterima, walaupun hanya separuh muka surat, ia dirasakan begitu panjang kerana penuh dengan perasaan yang tersirat dan tersorok di dalam patah-patah perkataan itu.

Menunggu balasan surat dari buah hati pula adalah saat yang paling mendebarkan. Apakah si dia menerima cinta kita? Adakah si dia juga rindukan kita? Atau si dia sudah hambar?

Cinta yang sunyi dan mendebarkan itu kita rasakan begitu agung. Agung kerana hanya kita berdua sahaja yang memahaminya. Agung juga kerana kesunyian dan getir debaran itulah saja yang mengikat cinta kita… hinggalah ia tiba-tiba putus.

Cinta pada zaman 1980-an amat berbeza dengan cinta pada zaman milenium ini. Cinta pada zaman IT ini adalah cinta yang begitu ‘bising.’ Semuanya cepat, pantas,  berterus terang dan ‘mesra.’

Sahabat saya itu menceritakan, anak gadisnya asyik berkepit dengan handphone, berbual dan berWhatsapp dengan kekasihnya. Malam handphone, pagi handphone, tengah hari handphone, kalau boleh hendak diikatnya handphone itu ke kepala anak gadisnya itu. Sudahlah begitu, bersambung pula cinta di media sosial.

Anak lelaki pula terlebih ‘peramah’ sebab ramai betul buah hatinya. Handphone digunakan untuk bercinta dengan beberapa orang gadis sekali gus.

Melalui alat komunikasi canggih inilah anak-anak kita menyambung cinta mereka melalui temu janji di taman, shopping complex, panggung wayang restoran dan sebagainya. Pada zaman ini, tiada lagi cinta yang sunyi dan mendebarkan, kecuali cinta yang peramah, pantas, di hujung jari, diselesaikan dengan cepat dan mudah berhubungan secara fizikal.

Cinta zaman IT ini tentu saja berbeza dengan cinta seorang wanita yang saya temui tidak lama dulu. Menurut wanita berusia 60-an itu, dia berkahwin dengan suaminya kerana pilihan keluarga. Dia tidak suka suaminya itu. Tambahan pula ketika itu dirinya cantik dan berkenan dengan seorang pemuda lain.

Apabila sudah dinikahkan, dia menjauhkan diri. Suaminya tidur di katil, dia tidur di bawah. Suami cuba mendekatinya di lantai, dia bingkas naik ke atas katil. Apabila suami cuba menyentuh, dia membebel, “B**i… B**i… B**i!!!!”

Kemudian dia menepis dan menendang suaminya itu, sambil mulut terus menyebut, B**i… B**i… B**iiiiii!!!”

Tetapi akhirnya kerak nasi cair juga bila disiram dengan air. Ketika saya temuinya, wanita itu sudah mempunyai enam anak dan beberapa orang cucu. Hubungan dengan suaminya begitu mesra dan romantis sekali. Malah dia bersyukur kepada Tuhan kerana dijodohkan dengan suaminya itu.

Ah… cinta yang malu-malu dan sunyi, sememangnya agung. Cinta yang jauh itu sememangnya putih dan tulus. Tetapi cinta zaman IT yang mesra dan peramah pula ternyata mudah dan murah serta merisaukan ibu bapa. Oleh kerana itulah, pada zaman ini kita sering melihat anak-anak muda menjual cinta seperti menjual kacang putih, tidak malu berasmara di depan awam, gadis-gadis lari mengikut kekasih dan hamil sebelum waktunya.

______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Bila nasihat tidak dihiraukan… Ayah sanggup tanam patung di kubur demi anak

“Aku cuma nak anak aku balik…” Itu luahan seorang ayah yang akhirnya menyesal seumur hidup selepas memilih jalan salah demi...

More Articles Like This