Ini kisah Siti, tiba-tiba jadi bidan bantu ibu hamil lahirkan anak dalam kereta

Dari Penulis

Hari Jumaat, Siti Fairus asyik berfikir-fikir tempat yang ingin dituju untuk mengisi perut pada waktu rehat nanti.

“Pergi makan area Bangi lah,” getus hatinya apabila memikirkan waktu rehat lebih panjang hari itu kerana kaum Adam bersolat Jumaat.

Rencana itu diteruskannya. Tanpa mengajak rakan-rakan, Siti seorang diri bergegas turun dari pejabat, menghidupkan enjin kereta lalu meluncur laju meninggalkan tempat kerjanya di Putrajaya menuju ke Bandar Baru Bangi, Selangor.

Sedang memandu kurang satu kilometer selepas membayar tol, Siti terkejut apabila beberapa buah kereta di hadapannya membelok ke kiri secara mengejut, cuba mengelak dari melanggar sebuah kereta yang berhenti di tengah jalan.

Siti juga memperlahankan pemanduannya. Dari jauh matanya merenung ke arah kereta yang berhenti di hadapannya tadi. Kelihatan, pintu sebelah pemandu terbuka dengan sebelah kaki pemandunya terjulur keluar.

 “Ishh, kenapa pula tu?” Siti tertanya-tanya dengan perasaan ingin tahu yang membuak-buak. Bentuk kaki yang terkeluar itu seperti kaki seorang perempuan.

Memikirkan pemandu itu mungkin dalam kecemasan, Siti berhentikan keretanya. Dia keluar dan cepat-cepat berlari ke arah kereta yang berhenti di tengah jalan itu untuk mengetahui apa yang berlaku.

Sebaik menjengah ke dalam kereta itu, kelihatan seorang wanita muda duduk mengereng sambil mengerang kesakitan.

“Engkau kenapa ni dik?” tanya Siti apabila melihat wanita muda itu seperti sedang sakit.

“Tolong saya kak. Tolong!” rayu pemandu wanita tersebut. Tubuh wanita muda itu menggigil-gigil sambil tangannya menggamit-gamit seperti mengharapkan pertolongan daripada Siti.

“Ya Allah, dik… Engkau ni nak bersalin!” ujar Siti apabila melihat perut wanita muda itu yang membulat selain kerusi dan lantai keretanya sudah basah dengan air ketuban.

Siti mula cemas. Cepat-cepat dia menghubungi ambulans. Tapi jawapan yang didengar membuatkan dia semakin cemas.  Ambulans hanya boleh tiba ke lokasi itu dalam jangka masa 45 minit.            

Siti mula buntu. Kalau dibiarkan, nyawa ibu muda tersebut dalam bahaya. Mungkin ibu dan anak, kedua-duanya boleh maut. Pengguna jalan raya yang lain pula tiada seorang pun mahu berhenti menghulur bantuan. Hanya Siti seorang di situ.

Mujurlah dalam kekalutan itu, tiba-tiba sebuah kereta mewah berhenti di tepi jalan. Dari tempat duduk belakang, keluar seorang wanita berpurdah.

“Tolong! Tolong! Dia ni dah nak bersalin!” ujar Siti meminta bantuan daripada wanita tadi.

“Ni dah nak bersalin sangat. Kita pindahkan dia ke kerusi belakang. Kita kena jadi bidan!” ujar wanita berpurdah tersebut.

Siti bersetuju. Apa pun terjadi, mereka perlu menyelamatkan ibu muda tersebut. Lalu mereka berdua memapah ibu muda itu untuk dipindahkan ke kerusi belakang.

Sebaik dibaringkan, Siti dan wanita berpurdah tadi terpaksa menjadi bidan terjun. Pengalaman bersalin tiga orang anak sendiri Siti jadikan rujukan. Dalam keadaan panas terik matahari yang terasa bahangnya, mereka berdua sedaya upaya membantu ibu muda tersebut.

Syukur, lima belas minit bertungkus lumus, ibu muda tersebut selamat melahirkan seorang bayi lelaki. Siti menarik nafas lega. Tapi, tugasnya belum habis. Tali pusat anak itu belum dipotong. Ibu muda itu mesti segera dikejarkan ke hospital.

Wanita berpurdah tadi kemudiannya mencadangkan ibu muda tersebut dihantar ke sebuah hospital swasta berdekatan.  Baru Siti teringat di situ ada sebuah hospital tidak jauh dari tempat kejadian.

Tanpa berlengah, Siti memandu kereta ibu muda tadi membawanya ke hospital. Sebaik tiba, tugas seterusnya diserahkan kepada jururawat. Siti pula terus setia menunggu, menanti nasib ibu dan anak tersebut.

Sejam kemudian, seorang jururawat muncul sambil tersenyum.

“Alhamdulillah. Ibu dan anak selamat,” beritahu jururawat.

Sebaik mendengar berita tersebut, kepala Siti terasa berat. Bumi terasa bagai bergoyang dan berputar ligat. Keadaan sekeliling dilihat seakan berpusing macam gasing. Dari terang, mata Siti menjadi kabur dan gelap. Akhirnya, Siti pengsan! 

Sedar-sedar saja Siti sudah berada di atas katil hospital. Dia pengsan kerana terlalu cemas dan kepenatan.

“Mana budak tu? Saya nak tengok baby tu,” tanya Siti pada suaminya yang datang setelah dimaklumkan pihak hospital.

“Dah, jangan fikir pasal orang lagi. Fikir diri tu dulu. Esok aja tengok. Mak dengan baby tu okey,” beritahu suaminya.

Siti akur dengan nasihat suami. Fikir Siti mungkin juga ibu muda tersebut hendak berehat selepas penat bergelut melahirkan anaknya dalam kereta.

Keesokan harinya, Siti datang semula ke hospital. Siti mahu melawat bayi dan ibu muda tersebut.

“Mana bilik budak yang saya tolong semalam?” tanya Siti.

“Puan, ada masalah. Ibu budak tu dah lari dari hospital malam tadi. Dia tinggalkan baby dia,” beritahu jururawat bertugas.

“Sebab apa jadi macam tu? Baby tu kat mana sekarang?” tanya Siti yang terkejut.

Jururawat tersebut hanya geleng kepala sambil membalas, “Baby tu dah dipindahkan ke hospital Serdang.”

Kata jururawat lagi, bayi itu diletakkan di bawah perhatian pihak polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Siti juga dikehendaki ke hospital tersebut kerana pihak polis mahu mengambil keterangannya bagi membantu siasatan.  

Tanpa berlengah, Siti bergegas ke hospital. Siti asyik tertanya-tanya mengapa ibu tersebut sanggup meninggalkan anaknya? Apa yang berlaku? Di hospital, Siti bertemu dengan seorang pegawai polis yang mengendalikan kes terbabit.

“Puan, ni ada satu nota ibu bayi ni tinggalkan untuk Puan,” ujar pegawai penyiasat sambil menghulurkan sehelai kertas.

Kertas tadi ditatapnya. Perlahan-lahan Siti membaca isi surat tersebut.

“Saya minta maaf terpaksa buat keputusan tinggal anak dekat hospital sebab saya memang tak mampu nak tanggung dia. Dia adalah anak yang tak sah taraf. Saya bagi nama anak ni Muhd Nafal. Tolong jangan cari saya. Saya tak nak ada kaitan dengan anak ini. Sila bagi anak ini pada orang yang selamatkan saya.” – Begitu bunyi isi surat itu.

Habis membacanya, Siti termangu. Perasaan sebak, sedih bercampur gaul. Air mata Siti tanpa sedar tumpah tanpa dapat ditahan lagi. Siti menangis kerana kasihankan bayi itu.

Bayi itu belum pun mengenal erti hitam putih kehidupan. Mengapa dia diperlakukan begitu? Lahir ke dunia tanpa ada ibu yang mahu mengaku itu zuriatnya. Tak dapat Siti bayangkan bagaimana nasib bayi itu membesar tanpa kasih sayang ayah dan ibu.

Sedang Siti melayan perasaan, sekali lagi Siti diberitahu berita sedih. Hasil siasatan polis, ibu muda tersebut sebenarnya dalam perjalanan untuk melahirkan bayinya di sebuah hospital swasta sebelum dijual pada satu sindiket.

“Tapi Allah tidak mengizinkan. Ibu muda itu terkandas di tengah jalan. Saya juga teringat yang budak tu sebenarnya pelajar sebuah kolej swasta. Dalam keretanya ada kad pelajar,” beritahu Siti Fairus tentang kejadian yang berlaku pada tahun 2015 itu. Dia menceritakan pengalamannya itu sewaktu ditemubual Mastika beberapa tahun lalu.

Sebenarnya itu bukan kejadian pertama yang ditangani Siti Fairus. Ada kejadian serupa pernah dihadapinya lebih kurang 7 tahun sebelum itu.

Suatu malam, Siti berada di dalam kereta sambil menunggu anaknya tamat dari tuisyen, berdekatan sebuah stesen minyak di Bangi. Sedang leka membelek telefon, Siti dikejutkan apabila cermin keretanya diketuk bertalu-talu.

Kelihatan seorang lelaki India sedang mengatakan sesuatu ke arah Siti dari luar tingkap kereta. Lagaknya sungguh cemas. Tapi Siti tak dapat mendengar apa yang dikatakan lelaki India itu kerana cermin keretanya tertutup rapat.

Mulanya, Siti takut hendak membuka tingkap. Manalah tahu mungkin taktik perompak, apatah lagi dia hanya bersendirian di dalam kereta. Namun, apabila melihat lelaki itu merayu-rayu dengan wajah cemas, Siti turunkan sedikit cermin tingkap.

“Tolong kak, isteri saya mahu beranak. Tolong!” rayu lelaki tersebut panik.

Siti pandang lelaki India tadi. Nampak riak wajahnya betul-betul cemas dan memang memerlukan bantuan.

“Tolong… itu bini saya mau beranak,” rayunya lagi.

“Dekat mana?” Siti bertanya.

“Itu, dalam tandas!” jawab lelaki itu sambil menunjukkan arah tandas di stesen minyak tersebut.

Siti keluar dari kereta dan segera masuk ke tandas di situ. Sebaik masuk, memang benar ada seorang wanita India sedang mengerang kesakitan. Yang buat Siti terkejut, badan wanita itu memang gemuk. Dianggarkan berat wanita itu lebih 100 kilogram.

Aduh, macam mana hendak tolong ni? Siti tidak mampu hendak mengangkat dan memapah wanita itu. Lalu Siti segera mengarahkan suami wanita itu agar menghantar bininya yang hendak bersalin ke hospital.

Tapi, timbul masalah lain. Rupa-rupanya pasangan itu hanya menaiki motor sahaja. Jika begitu, bagaimana hendak membawa bininya yang sudah terlalu sakit hendak bersalin dengan motor?

Melihat keadaan itu, Siti tiada pilihan. Dia perlu membantu pasangan tersebut. Dibantu suami wanita itu, Siti membawanya masuk ke dalam keretanya. Baru saja duduk di bahagian belakang, wanita itu sudang mengerang dan meneran kerana sudah sampai masa hendak bersalin. Tidak jadi Siti memandu kereta. Sebaliknya, mahu tak mahu, dia terpaksa jadi bidan terjun di situ juga.

Lebih kurang 15 minit bertungkus-lumus dibantu suami wanita itu, akhirnya wanita tersebut selamat melahirkan bayi lelaki. Segera Siti menghantar mereka ke Hospital Serdang.

Disebabkan terharu dengan pertolongan tersebut, lelaki India itu meminta Siti memberi nama untuk anak sulung mereka itu sebagai tanda terima kasih.

“Mulanya saya tolak. Mana saya tahu nama anak orang India. Macam kita orang Islam, setiap nama tu ada maksud. India ni saya tak tahu maksud,” cerita Siti.

Namun, lelaki itu tetap mahu Siti memberikan nama anaknya. Akhirnya, Siti akur.  

“Puas fikir, saya mendapat satu ilham. Saya ni peminat seorang hero filem Tamil. Lalu saya namakan bayi tersebut Rajinikanth. Pasangan itu pun terima nama tu,” ujar Siti sambil ketawa geli hati.

“Sekarang bayi tu sudah besar. Malah, hubungan saya dengan keluarga India ini juga masih baik sampai sekarang.

“Kadangkala saya pelik dan hairan mengapa Allah pilih saya untuk bantu orang-orang bersalin. Sebenarnya, sudah empat kali saya membantu wanita yang kebetulan tiba-tiba hendak bersalin tanpa sempat ke hospital. Hanya dua kisah di atas saja yang saya ceritakan kerana kejadian itu memang kuat dalam ingatan saya,” ujar Siti lagi.

Mulia hati Siti, sanggup membantu orang yang tidak dikenali. Mungkin kerana keberanian Siti membuat dia ‘terpilih’ untuk membantu mereka yang ketika itu cemas mahu melahirkan.

Siti Fairus.

Tidak tahulah apakah selepas pertemuan Mastika dengan Siti dahulu, mungkin ada lagi ibu hamil yang telah atau bakal ‘dibidankan’ oleh Siti. Siapa tahu, bukan? Namun, apa yang dilakukan oleh Siti merupakan antara sifat terpuji sesama manusia.

          

_____

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

FacebookTwitterWhatsAppTelegramLinkedInCopy LinkShare


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Kecoh dakwaan Kuil Ular jadi tempat memohon hajat orang Islam, Malar dedah cerita sebenar

Isu berkaitan sebuah rumah ibadat yang dikenali sebagai Kuil Ular kembali menjadi perbualan di media sosial. Sebelum ini, Mastika mendapat...

More Articles Like This