Saya berasal dari Sarawak, anak bongsu lelaki tunggal dan mempunyai seorang kakak. Ayah tinggalkan keluarga kami sejak saya berumur setahun lagi.
Sejak kecil naluri lembut sudah wujud dalam diri saya. Naluri ini datang sendiri. Bukan saya ada-adakan. Dalam berkawan pun saya suka bergaul dengan rakan perempuan sehingga membuatkan saya mempunyai sifat lembut. Saya kurang suka bergaul dengan lelaki kerana mereka kasar.
Apabila masuk tingkatan empat, saya tinggal di asrama. Di sini saya mula kenal ramai rakan lelaki yang sama spesies seperti saya. Bila bergaul dengan mereka yang mempunyai naluri yang sama, macam-macam perkara saya belajar. Saya mula diperkenalkan dengan pil perancang, hormon dan sebagainya.
Waktu hujung minggu apabila boleh keluar dari asrama, kami pergi berjalan. Di luar, saya dan rakan-rakan mula perangkan rambut, bersolek, cukur kening dan macam-macam lagi.
Habis sekolah menengah, saya melanjutkan pelajaran di sebuah kolej kejururawatan di Kuching, Sarawak. Saya semakin berani dan mula simpan rambut panjang dan berhias seperti seorang wanita.
Tamat pengajian, saya diterima bekerja di sebuah hospital di Kuala Lumpur sebagai pembantu perubatan. Di ibu kota inilah kehidupan saya semakin teruk. Saya jauh dari keluarga. Tiada sesiapa memantau aktiviti saya.

Bila malam, saya aktif di kelab dengan bergaya sebagai seorang perempuan. Saya pakai bra, skirt, gincu, maskara dan macam-macam lagi. Apa yang perempuan pakai, semula melekat di tubuh saya. Penampilan saya mula mengalahkan perempuan selain makin kerap mengambil pelbagai jenis hormon supaya buah dada juga tumbuh.
Saya sanggup buat semua ini sebab naluri untuk jadi perempuan membuak-buak. Hendak pula sebelum berubah penampilan, saya selalu diejek rakan-rakan lelaki kerana tidak cantik.
Apabila sering ke kelab, makin ramailah golongan mak nyah yang saya jumpa. Saya mula bergaul dengan mereka dan belajar bermacam-macam perkara tentang dunia songsang ini. Pada masa sama juga, wujud perasan untuk menyayangi dan disayangi oleh lelaki. Maklumlah, naluri saya hanya pada kaum Adam.
Untuk menarik minat lelaki, saya perlu lebih cantik mengalahkan perempuan. Jadi saya sanggup buat apa sahaja untuk itu. Selain makan hormon, saya sanggup ikut rakan-rakan jumpa bomoh, buat benda syirik semata-mata untuk jadi cantik.
Seorang rakan memperkenalkan saya dengan seorang bomoh di Chow Kit, Kuala Lumpur. Saya ditawarkan memakai susuk, tapi saya menolak. Saya hanya ambil tangkal dan minyak yang didakwanya boleh membuatkan saya berseri, nampak cantik dan seterusnya menarik minat jantan-jantan poyo.
Biarpun begitu, saya belum puas. Saya pergi pula ke Danok, Thailand, berjumpa sami. Saya mandi bunga dan mengikut beberapa ritual. Semua itu saya lakukan semata-mata untuk lebih cantik. Biar golongan kami diiktiraf sama seperti kaum Hawa.
Soal bayaran tak jadi masalah. Selain duit gaji, saya juga ada pendapatan tambahan hasil menjual produk kecantikan. Saya jalankan perniagaan ini apabila ramai rakan mak nyah merupakan pengasas produk kecantikan. Mereka banyak membantu saya.
Akhirnya, penampilan saya boleh dikata 100 peratus seperti perempuan. Bercakap dengan suara kepit. Jalan pun terlenggok- lenggok. Saya sudah tidak malu balik ke kampung berpakaian perempuan walaupun mak sangat marah. Bila mak berleter minta berubah, saya pekakkan telinga. Masuk telinga kiri, keluar telinga kanan.

Sebab selalu dileteri, saya mula jarang pulang ke kampung. Saya cuba mengelak jumpa mak sebab malas nak dengar leterannya. Boleh dikatakan saya lupa segala-galanya. Saya lupa mak. Saya langsung tak ingat Tuhan.
Saya dalam dunia saya sendiri. Ketika ini, saya dikenali dengan nama Yana. Saya terus hidup berfoya-foya bergelumang dosa dalam dunia songsang ini hampir lima tahun.
*****
Suatu hari, salah seorang rakan mak nyah saya yang juga pengasas produk kecantikan mahu berubah. Dia berubah drastik secara mengejut, berjumpa dengan ustaz-ustaz dan mula mendekatkan diri dengan agama.
Bila tengok kesungguhan rakan saya itu, entah mengapa saya mula tertarik. Terdetik dalam hati saya mahu cuba juga sepertinya. Saya mula ikut dia berdampingan dengan ustaz-ustaz tersebut. Mereka menerima kedatangan kami dengan mesra. Mereka tidak mencerca sebaliknya banyak memberi kata-kata nasihat.
Apabila bergaul dengan golongan ustaz ini, ia bagai menjentik kesedaran dalam hati saya. Rupa-rupanya saya telah menyimpang jauh. Terlalu jauh tersesat dalam tujuan hidup ini. Hati saya bagai diketuk dan saya seakan tersedar, saya sebenarnya seorang lelaki.
Pulang ke rumah, saya bermuhasabah. Saya mula terfikir apa tujuan hidup saya ini. Saya pandang cermin, tanya pada diri apa nak jadi dengan saya? Sampai bila saya mahu hidup begini?
Pun begitu, saya tidak berubah secara drastik seperti rakan saya itu. Saya buat perlahan-lahan. Saya cuba tinggalkan satu persatu perkara yang melingkari kehidupan songsang saya selama ini.
Daripada tak solat, saya cuba sembahyang walaupun sehari hanya satu waktu. Kalau ada masa lapang, saya cuba gagahkan kaki mengikut majlis-majlis agama.
Suatu hari, rakan mak nyah yang berubah itu mengajak saya untuk menunaikan umrah. Mudah saja saya bersetuju. Malah, kami turut membawa ahli keluarga kami mengerjakan ibadah umrah dengan harapan, sekembalinya dari Tanah Suci kami akan lebih kuat untuk berubah.
Saya akui, hendak berubah daripada dunia songsang ini bukannya mudah. Godaan syaitan dan nafsu terlalu kuat. Pulang dari umrah, saya masih dengan perangai lama. Saya masih ke kelab malam untuk berhibur. Cuma, ia semakin kurang. Kalau dulu seminggu tiga empat kali, kini hanya sekali seminggu.
Mungkin Allah masih menyayangi saya. Dia jentik hati saya membuatkan saya cepat tersedar. Saya terfikir, kalau terus begini tidak mustahil saya akan tergelincir semula. Saya akan kembali ke lembah hitam tersebut.
Tambahan pula saya teringat pertemuan dengan seorang pemuda Arab semasa di Mekah. Mungkin Allah hadirkan pemuda ini untuk sedarkan saya. Pemuda ini bekerja menjual aiskrim. Orangnya kecil sahaja, usianya sekitar 20 tahun.
Suatu hari dia datang bertemu saya. Dia mengaku selalu nampak saya lalu di depan kedainya selain tertarik dengan penampilan saya seperti perempuan dengan berambut panjang. Dalam pertemuan itu, macam-macam kami bualkan sehinggalah dia melontarkan kata-kata nasihat.
“Bila awak nak berubah?” soalnya.
“Saya tak nampak jalan,” jawab saya.
“Awak perlu tukar persekitaran awak,” nasihatnya meminta saya lari daripada rakan-rakan sekarang jika mahu berubah.
Katanya, jika saya terus bergaul dalam komuniti songsang tersebut, saya akan sukar untuk berubah. Saya akan terus hanyut. Malah dia juga berpesan untuk mencari Allah, saya perlu mengenal diri saya dahulu.

Teringat kata-kata pemuda itu membuatkan saya bulatkan tekad. Saya perlu tinggalkan kawan-kawan dalam dunia ini. Saya perlu lari jauh daripada mereka. Bukan sebab saya benci, tapi sebab diri dan iman saya terlalu lemah. Saya takut saya gagal berubah.
Lalu, saya mula potong rambut yang panjang mengurai. Daripada perang, saya hitamkan semula. Saya biarkan kumis dan janggut mula tumbuh. Saya tidak bercukur lagi.
Kemudian saya buat satu keputusan besar. Saya buat permohonan untuk tukar tempat kerja. Permohonan diterima dan saya dihantar bertugas ke Jelebu, Negeri Sembilan. Ini salah satu cara saya lari daripada kesibukan kota dan rakan-rakan yang melalaikan.
Lari daripada dunia yang sudah lama membuai saya dengan keseronokan dunia sangat sukar dan mencabar. Semasa di Jelebu, emosi saya amat terganggu. Saya keseorangan dan rasa sunyi apabila hilang rakan-rakan sekelip mata. Keluarga pula masih kecewa sebab saya belum berubah sepenuhnya. Itu semua mengganggu emosi saya.
Disebabkan tekanan emosi, kerja saya terganggu, perniagaan saya mula terjejas dan lingkup. Saya hilang segala-galanya. Pun begitu dalam keadaan jatuh, masih ada beberapa rakan ustaz yang mengambil berat dan selalu bertanya khabar. Mereka minta saya kuatkan semangat. Banyak nasihat yang mereka berikan.
“Jagalah solat di awal waktu, nanti Allah akan jaga kamu. Kamu tak akan keseorangan,” itulah antara pesanan dan nasihat yang tidak putus-putus daripada mereka.
Saya mula buat seperti yang disuruh. Saya mula jaga solat. Saya tak tinggalkannya. Sebulan, dua bulan, tiga bulan, tak ada perubahan. Masuk bulan ketujuh, saya mula terasa lain.
Entah mengapa saya mula yakin pada diri sendiri. Saya bersemangat untuk bangun semula. Saya yakin Allah sentiasa bersama saya. Semua yang berlaku dahulu sekadar ujian dari Allah untuk menguji hamba yang Dia sayang.
Dengan semangat perlahan-lahan saya bangkit. Saya mula mengikut ustaz-ustaz keluar berdakwah untuk mengisi masa terluang. Sejak itulah saya berjaya berubah dan kembali ke pangkal jalan.
Daripada pengalaman ini, dapat saya kongsikan beberapa perkara. Jika golongan mak nyah seperti saya hendak berubah, janganlah terlalu drastik. Buat perlahan-lahan. Bukan apa, saya tengok sendiri bagaimana rakan mak nyah yang berubah terlalu drastik akhirnya kembali semula ke lembah songsang tersebut.
Kedua, jaga solat. Apabila kita menjaga solat, sentiasa solat di awal waktu, Allah akan menjaga kita. Ketiganya, apabila mahu berubah, carilah guru agama yang betul untuk membimbing. Jangan berubah tanpa guru kerana risau akan terpesong.
Selain itu, saya minta masyarakat jangan terlalu mendiskriminasi golongan ini. Cubalah bergaul dengan mereka, tunjukkan contoh yang baik selain sedikit demi bawa mereka kembali ke pangkal jalan.
NOTA : Kisah di atas dikongsikan oleh bekas mak nyah yang hanya mahu dikenali sebagai Harry Zulkifli kepada Mastika. Dahulu, Harry pernah bergelar mak nyah. Menyarung pakaian wanita membaluti tubuhnya. Namun, akhirnya Harry telah meninggalkan dunia songsang tersebut, kembali kepada fitrah sebagai lelaki. Alhamdulillah…
______
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram
FacebookTwitterWhatsAppTelegramLinkedInCopy LinkShare

