KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan produk gula-gula jenama Apple S mengandungi racun berjadual yang tidak berdaftar dengan kementerian.
KKM dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya menerusi Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) mendapati produk terbabit mengandungi sibutramine iaitu sejenis ubat yang digunakan untuk mengawal selera makan.
Sibutramine adalah sebatian kimia yang bertindak di otak sebagai penyekat rasa lapar atau selera makan yang digunakan di dalam kebanyakan produk bagi tujuan menguruskan badan dan ubat terbabit tersenarai dalam bahan terlarang yang tidak lagi berdaftar dengan KKM.
“Antara kesan sampingan sibutramine yang dilaporkan adalah gangguan fungsi sistem jantung seperti menyebabkan degupan jantung menjadi lebih laju (tachycardia) walaupun dalam keadaan rehat.
“Selain daripada kesan sampingan yang serius, terdapat juga kesan sampingan yang ringan seperti mulut kering, rasa mual, sembelit, sukar tidur, pening, senggugut dan sebagainya,” kata kenyataan itu.
KKM berkata, produk terbabit didapati tidak mematuhi keperluan pelabelan mengikut Peraturan-Peraturan Makanan 1985, antaranya tiada nama sebenar produk dalam Bahasa Malaysia serta tiada maklumat mengenai pengilang, pembungkus, pengedar, atau pemilik hak pengilangan dan pengimport.
Oleh itu, produk berkenaan tidak dibenarkan untuk diiklankan atau dijual mengikut Peraturan 9 Peraturan-Peraturan Makanan 1985.
Semua peniaga termasuk peniaga dalam talian yang masih mempunyai stok produk terbabit diarah untuk menghentikan serta-merta penjualan dan menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah terdekat untuk tujuan penyitaan.
Di samping itu, semua media pengiklanan termasuk platform e-dagang dan media sosial hendaklah menghentikan penyiaran iklan makanan berkenaan,
Orang ramai yang sedang menggunakan produk terbabit perlu menghentikan penggunaannya serta-merta dan mendapatkan nasihat serta rawatan daripada ahli profesional kesihatan.
Orang ramai dingatkan untuk sentiasa menggunakan kebijaksanaan dan berhati-hati dalam membeli produk makanan yang mungkin diaduk dengan bahan terlarang.
Sekiranya mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh hubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau hubungi KKM melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

