Dicintai dan mencintai, itu salah satu lumrah perasaan yang hadir dalam diri manusia. Malah, fasa pengalaman bercinta merupakan salah satu kenangan manis yang pernah hadir dalam kamus hidup kita.
Tetapi, percayakah anda ada juga segelintir orang yang tidak suka diri mereka disayangi atau dicintai. Golongan ini cukup sensitif dan amat takut jika disebut tentang cinta.
Ia bukan gurauan, dan golongan ini pula bukan sengaja berasa sedemikian. Sebenarnya, ia salah satu situasi yang dikategorikan sebagai penyakit psikologi.
Berdasarkan rekod penyelidikan klinikal, fobia bercinta diklasifikasikan sebagai salah satu cabang penyakit psikologi. Secara saintifik, ia digelar sebagai ‘Philophobia’.

Mengikut kajian, kes gangguan mental ini sering kali terjadi pada golongan wanita. Meskipun turut berlaku ke atas golongan lelaki, namun peratusan jumlahnya lebih rendah jika dibandingkan dengan wanita.
Timbul persoalan, apakah punca yang menyebabkan pesakit Philophobia amat takut untuk bercinta? Mengapakah sampai begitu sekali mereka sukar untuk menyayangi seseorang?
Menurut kamus dewan, fobia bermaksud ketakutan yang amat sangat terhadap sesuatu. Tidak mustahil, kesukaran mereka untuk menerima seseorang istimewa dalam hidup mungkin disebabkan kisah sejarah lampau mereka.
Seperti mana laporan kajian sebelum ini, punca yang kerap terjadinya gangguan emosi ialah disebabkan keruntuhan institusi rumah tangga atau digelar sebagai ‘broken home’.
Sebagai contoh, masalah perceraian, kurang perhatian daripada ibu bapa serta perkara-perkara negatif lain dianggap sebagai penyumbang terjadinya gangguan psikologi ini. Jika terjadinya hal ini, individu yang berisiko tentulah si anak.

Lapor sebuah portal kesihatan, Healthline, gejala Philophobia dianggap mempunyai persamaan dengan disinhibited social engagement disorder (DSED) – sejenis gangguan psikologi yang terjadi pada kanak-kanak di bawah usia 18 tahun.
Terdapat beberapa tanda jika seseorang itu sedang mengalami Philophobia. Ia boleh terjadi dalam pelbagai keadaan. Pertama, ketakutan melampau ternyata mengakibatkan kesukaran sesetengah pesakit untuk berubah menjadi lebih baik. Jika keadaan ini berterusan, kehidupan seharian mereka akan menjadi bertambah lebih teruk dan tidak normal.
Kedua, individu yang mengalami Philophobia selalunya mempunyai pola pemikiran yang bertentangan. Apa sahaja perbincangan melibatkan soal cinta atau seangkatannya akan ditentang keras oleh mereka. Bagi mereka bercinta dianggap sebagai satu kesalahan paling besar, menyakitkan, menyedihkan dan boleh menjejaskan kehidupan seharian.
Ketiga, gangguan psikologi ini boleh menyebabkan seseorang individu khususnya wanita mengalami perasaan gugup setiap kali berjumpa lelaki. Secara tidak langsung, ia akan diiringi rasa kebimbangan melampau, takut, suhu badan menaik, gementar dan jantung berdegup laju.
Keempat, ketidakterbukaan pesakit Philophobia tentang cinta menyebabkan mereka sangat cerewet dalam soal memilih pasangan. Jika mereka bercinta sekalipun hubungan yang terjalin pastinya akan berakhir dengan perpisahan. Sedari atau tidak, keadaan ini kerana si pesakit menghadapi krisis kepercayaan terhadap pasangan mereka.
Menurut Pengarah Eksekutif dari Maryland House Detox, Scott Dehorty, jika ia tidak diubati pesakit Philophobia mungkin akan mengalami faktor ketakutan yang berulang-ulang. Secara tidak langsung, ia mengakibatkan kerenggangan hubungan dengan individu lain di sekeliling mereka.
Dalam beberapa kes lain, ujar beliau, fobia terhadap cinta juga boleh meningkatkan risiko antisosial, kemurungan, penyalahgunaan dadah atau membunuh diri.
Bagaimanapun, Dehorty tidak menolak kemungkinan Philophobia boleh diubati. Antara kaedah rawatan yang boleh diaplikasikan ialah menjalani terapi, pengambilan ubat-ubatan yang disyorkan dan mengamalkan gaya hidup sihat.

____
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

