SURUHANJAYA Persaingan Malaysia (MyCC) sedang aktif menyiasat 13 kes menyentuh dakwaan kartel tipuan bida yang melibatkan 561 perusahaan dengan tender-tender yang mencecah nilai RM2.3 billion.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (MyCC), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, siasatan itu hasil daripada gerakan strategi khusus untuk meningkatkan penguatkuasaan terhadap salah satu cabang aktiviti kartel sejak sekian lama iaitu pakatan tipuan bida bermula pada 2024.
Tegas beliau, ikhtiar mengekang aktiviti tipuan bida itu penting bagi memastikan ia tidak menggagalkan usaha kerajaan dalam memberikan keutamaan kepada kaedah tender dalam tadbir urus perolehan sejajar untuk memperkukuhkan tatakelola sistem penyampaian perkhidmatan awam.
“Tindakan yang telah diambil oleh Kerajaan ke atas syarikat yang melaksanakan amalan antipersaingan mencerminkan komitmen Kerajaan untuk mewujudkan ekosistem persaingan yang sihat dalam pasaran.
“ini sekali gus akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara dan meningkatkan kualiti, mewujudkan pilihan dan harga barangan yang munasabah serta perkhidmatan yang kompetitif demi kepentingan pengguna,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen yang meminta menteri menyatakan jumlah siasatan yang telah membawa kepada pendakwaan dan sabitan kesalahan yang berjaya bagi garis masa 2014-2024 di Dewan Rakyat, hari ini.
Sementara itu, Armizan berkata, sejak berkuasanya Akta Persaingan 2010 (Akta 712) bermula 1 Januari 2012, MyCC sebagai sebuah badan bebas dan separa kehakiman di Malaysia telah menjalankan penyiasatan terhadap 339 perusahaan yang terlibat dalam pelbagai industri.
Antaranya, jelas beliau meliputi industri pengangkutan, pengilangan, makanan, perkhidmatan, pendidikan, insurans, pertanian dan perolehan awam.
Beliau berkata, hasil daripada penyiasatan itu, MyCC telah mengeluarkan keputusan dapatan pelanggaran di bawah Seksyen 40 Akta tersebut yang melibatkan 14 kes meliputi 259 perusahaan.
“Sebanyak 257 perusahaan didapati terlibat dalam aktiviti kartel dan 2 perusahaan didapati menyalahgunakan kedudukan monopoli.
“Kesemua keputusan tersebut telah menghasilkan penalti kewangan sebanyak RM571.5 juta. Kes terbesar MyCC adalah berkaitan pakatan kartel oleh lima pengeluar makanan ayam yang melibatkan penalti kewangan sebanyak RM415.5 juta,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

