Wanita berambut panjang, asap biru, lembaga hitam, nenek tua… Ada makhluk lain di pejabat anda?

Dari Penulis

Pernahkah anda mengalami kejadian misteri di pejabat? Sepanjang bekerja, pernahkah anda terfikir bahawa mungkin bukan anda dan kawan-kawan anda sahaja yang berada di dalam pejabat itu? Maksud saya, mungkin makhluk lain yang tidak dapat dilihat mata kasar. Pernahkah anda melihat ‘makhluk’ itu?

Saya mula berkhidmat dengan majalah Mastika pada pertengahan 1996. Ketika itu pejabat Mastika dan majalah-majalah lain keluaran Kumpulan Utusan seperti Wanita, URTV dan Al Islam terletak di Jalan Lima off Jalan Chan Sow Lin, Sungei Besi, Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, pada pertengahan tahun 1997 kami berpindah ke pejabat baru yang merupakan sebuah bangunan dua tingkat di Taman Shamelin Perkasa, Cheras. Tidak lama selepas menduduki pejabat baru itu, satu demi satu kejadian-kejadian misteri berlaku.

Suatu hari, kakitangan majalah Massa bekerja lebih masa untuk menyiapkan tugasan masing-masing. Sekitar pukul 9.30 malam, dua orang wartawan wanita yang hendak ke surau di tingkat atas, terbau aroma kopi yang begitu kuat. Aroma itu datangnya dari arah pantri yang terletak di sebelah surau, di tingkat atas.

Kedua-dua wartawan itu saling berpandangan. Tidak mungkin ada kakitangan yang membuat kopi kerana pantri itu bukan saja gelap gelita, malah tiada seorang pun pekerja yang berada di tingkat atas itu!

Seorang wanita pencuci pejabat yang sering menjadi orang pertama masuk ke pejabat kami, juga pernah mengalami kejadian hampir serupa. Sekitar pukul 7.00 pagi itu dia terdengar orang mengacau kopi di bahagian majalah Wanita dan suara seseorang di kawasan majalah Hai. Misteri, sebab ketika itu tiada sesiapa di kedua-dua tempat berkenaan.

Pada awal pagi hari yang lain, seorang wartawan Saji melihat ada `wanita’ berpakaian putih dan berambut panjang sedang berdiri di tepi mesin pengetap kad kedatangan (punch card). Wanita itu berdiri membelakangkannya. Tanpa berlengah, wartawan itu terus berlari keluar!

Siapa wanita ini? Suatu pagi, seorang pereka grafik pelatih ternampak wanita berambut panjang ini duduk bersendirian di dalam bilik mesyuarat. Dia memerhatikan dengan teliti kerana wanita berambut panjang itu bukan kakitangan kami.

Sedang pereka grafik ini memerhati, tiba-tiba wanita berambut panjang itu mengangkat muka dan memandangnya. Lalu terpampanglah wajahnya yang hodoh dengan daging yang sudah busuk serta relai!

Kejadian misteri tidak berakhir di situ. Pada pukul 3.00 pagi hari yang lain, seorang pereka grafik majalah Massa lari lintang pukang selepas melihat segumpalan asap biru berpusar-pusar berhampiran tangga bulat di tengah bangunan. Asap itu berkisar dalam bentuk bulatan, laju dan terus naik ke tingkat atas, kemudian menghilang.

Dahulu, di satu sudut pejabat kami, terdapat tempat untuk pekerja beriadah dengan bermain dart. Biasanya mereka bermain pada waktu rehat tengah hari dan petang selepas habis bekerja.

Suatu malam, beberapa orang pekerja yang sedang menjalankan tugas mereka berhampiran ruang riadah itu terkejut besar apabila melihat bilah-bilah dart melayang sendiri menuju ke arah papan markah yang digantung di dinding!  

Bekas Pengarang majalah Hai, Norimy Aimy pernah melihat sehelai kertas tiba-tiba jatuh dari bumbung, manakala wartawan majalah Wanita melihat kerusi rakannya bergerak-gerak sendiri seperti ada seseorang sedang duduk di atasnya.

Surau kami juga jadi sasarannya. Seorang pembaca pruf demam tiga hari selepas melihat satu lembaga hitam dan besar hendak menerkamnya ketika sedang mengambil wuduk.

Barangkali, pengalaman yang dilalui bekas eksekutif grafik Ungku Mohd. Yusof Ungku Ismail adalah antara yang paling menggerunkan. Sekitar pukul 2.00 pagi, ketika sedang menyudahkan kerjanya, ekor mata Yusof melihat ada seorang perempuan sedang duduk di atas kerusi beberapa meter darinya.

Sudahlah muncul tiba-tiba, perempuan itu pula berpakaian serba putih. Rambutnya menggerbang panjang melepasi pinggang.

Yusof cuba untuk tidak mengendahkannya dan meneruskan kerja. Beberapa ketika kemudian dia menjeling semula. Ekor matanya melihat perempuan itu masih ada di kerusi berkenaan.

“Jangan kacaulah, aku nak kerja!” jerkah Yusof, marah bercampur takut.

Sejurus dia berkata demikian, wanita berpakaian putih itu perlahan-lahan bangun dan berdiri memandangnya. Tunggu apa lagi, Yusof terus menutup komputernya dan… cabuuut!

KETIKA di peringkat awal operasi, terdapat beberapa jawatan penting belum diisi lagi. Antaranya ialah jawatan Pengurus Kewangan dan Pentadbiran. Ini menyebabkan bilik berkenaan dibiarkan kosong.

Apabila tidak dihuni dengan manusia, bilik itu dihuni oleh `makhluk’ lain. Kerap kali juga sahabat-sahabat kami melihat jelmaan seorang wanita muncul di dalam bilik itu.  Ia berdiri menghadap dinding dan membelakangkan orang yang melihatnya, kemudian ghaib bagaikan kabus.

Ingatkah anda pada majalah Rias? Ia diterbitkan pada penghujung 1990an dan berkonsepkan fesyen. Dahulu, di tempat majalah tersebut sering dilihat jelmaan seorang wanita. Wajah, pakaian dan penampilannya persis wanita Cina. Pengawal keselamatan dan kakitangan yang bekerja pada waktu malam sudah biasa melihat jelmaan wanita ini dan terdengar bunyi lagu-lagu Cina berkumandang di dalam bangunan.  

Dari mana datangnya lagu Cina itu? Tiada siapa yang tahu kerana tiada radio mahupun televisyen dibuka pada malam-malam begitu. Oleh kerana jelmaan itu dilihat berpakaian seperti wanita Cina, kami menggelarnya Amoi. Ada yang mengatakan, ia jelmaan mendiang seorang wanita Cina yang membunuh diri di bangunan tersebut.

Seorang bomoh muda pernah memberitahu, ada banyak hantu di pejabat kami. Dia kemudian menangkap `hantu-hantu’ itu dan menyumbatnya ke dalam botol, untuk dibuang ke tempat yang tidak kami ketahui.

SELEPAS 10 tahun beroperasi di Taman Shamelin, pada Julai 2007 kami berpindah ke pejabat baru di Kompleks Sri Utusan, Bandar Baru Bangi, Selangor. Lega, kami tidak perlu lagi berkongsi pejabat dengan Amoi dan wanita hodoh berjubah putih.

Selamatkah kami?

Tidak! Sejak awal kami menjejakkan kaki di sana lagi, ada kakitangan yang melihat kelibat seseorang berlegar-legar di bahagian belakang pejabat yang menempatkan stor, pantri dan tandas.

Pernah berlaku wartawan majalah Mangga melihat lintasan `seorang wanita’ berjalan ke arah tandas, kemudian hilang. Ketika itu sekitar pukul 2.00 pagi dan tiada sesiapa di pejabat kecuali wartawan-wartawan majalah tersebut.

Ada yang mengatakan ia adalah jelmaan nenek tua dan anak cucunya. Siapa pula mereka ini?

Diceritakan bahawa dahulu sekumpulan makhluk halus pernah menghuni kawasan hutan tapak Kompleks Sri Utusan. Bagaimanapun, semua makhluk ini telah pun dipindahkan oleh para pengamal perubatan Islam ke tempat lain, kecuali keluarga nenek tersebut.

Menurut pengamal perubatan Islam itu, nenek tersebut enggan berpindah kerana dia sekeluarga sudah tinggal lama di kawasan berkenaan. Pun begitu, nenek itu berjanji dia tidak akan mengganggu para pekerja yang bertugas di Kompleks Sri Utusan.

Kelibat nenek tua itu khabarnya pernah dilihat di sekitar tangga, di luar pintu masuk bahagian belakang pejabat kami. Dikatakan di situlah tempat tinggal nenek tersebut bersama keluarganya sejak beratus-ratus tahun lalu.

Selain nenek tadi, sebuah bilik kecil di pejabat kami juga dikatakan dihuni seorang tua yang tidak kelihatan pada mata kasar. Ia duduk berteleku memandang lantai, tidak bergerak-gerak.

Baru-baru ini, dua orang kakitangan bahagian promosi bekerja pada waktu malam. Sekitar pukul 9.00, mereka terdengar pintu bahagian pentadbiran yang telah pun dikunci, diketuk-ketuk dari dalam. Tidak mungkin ada pekerja yang belum pulang kerana semua lampu di bilik tersebut telah pun dipadamkan.

Kedua-dua pekerja berkenaan segera mematikan lampu di laluan berhadapan pintu tersebut. Tetapi apa yang berlaku makin menakutkan. Bukan setakat diketuk bertalu-talu, pintu itu kemudian digoncang-goncang dengan kuat!

Tambah menyeramkan, pada malam yang sama, dua orang jurugambar mengalami kejadian serupa, apabila pintu bilik mekap di studio gambar kami berulang kali dibuka serta ditutup dengan kuat dari dalam. Sebelum keadaan menjadi lebih parah, mereka cepat-cepat menutup lampu dan meninggalkan pejabat.

Sebenarnya, banyak lagi kejadian misteri yang pernah terjadi. Semua itu bukan rahsia lagi kerana kami tahu, setiap pejabat ada kisah misterinya yang tersendiri. Bagaimana dengan pejabat anda?

___

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Dulu mewah di Malaysia, kini rendam rumput kering dalam air… Nasib Dara, Amoi dan Kelat mengundang sebak

Ada sesuatu yang meruntun hati apabila melihat seekor gajah berdiri di tepi kolam, perlahan-lahan merendam rumput kering ke dalam...

More Articles Like This