Lebih kurang 20 tahun lalu, berlaku kemalangan ngeri di Segamat, Johor, melibatkan seorang pemuda. Kemalangan pada lewat petang itu berlaku ketika pemuda terbabit sedang menunggang motosikalnya untuk pergi ke bandar Segamat. Bagaimanapun, sampai di satu selekoh motosikalnya bertembung dengan sebuah lori yang sedang laju menuruni bukit.
DDAAMMM!!
Pertembungan berlaku secara berdepan. Dia mati di situ juga. Cebisan daging bertaburan di jalan raya. Muka pemuda itu hancur, anggota badan berkecai selepas terseret di atas jalan raya.
Seorang kenalan saya, Azip memberitahu, mulai malam itu muncul jelmaan menakutkan di kawasan kemalangan tersebut pada lewat malam. Azip sendiri mengalaminya.
Kata Azip, kebetulan malam kedua selepas kemalangan itu dia pergi ke bandar Segamat untuk makan dengan kawan-kawan. Mereka pergi dengan motosikal sendiri. Lewat malam baru balik.
Dalam perjalanan pulang, Azip mengisi tangki minyak yang hampir kering. Akibatnya, dia tertinggal agak jauh dari kawan-kawannya. Tapi Azip tidak risau sebab dia berdua dengan seorang kawan.
Turun saja bukit memasuki kawasan perkampungannya, Azip nampak ada balam-balam seseorang sedang berdiri di tepi jalan. Dia mula tertanya-tanya, apa pula yang dibuat orang itu pada tengah-tengah malam begini?
Jarak semakin dekat dan bila bayangan tubuh itu tersuluh oleh lampu motosikal, Azip terkejut besar. Yang berdiri itu adalah seorang lelaki. Mukanya hancur, pakaiannya yang berwarna kuning dipenuhi darah.
Kawan yang membonceng motosikalnya turut melihat jelmaan itu. Untuk pengetahuan anda, pakaian jelmaan itu sama dengan yang dipakai oleh si mati semasa kemalangan tersebut berlaku!
Khabarnya, beberapa orang penduduk juga pernah ternampak jelmaan itu. Malah ada yang mendengar suara jeritan orang dalam kesakitan. Gangguan itu beransur hilang beberapa minggu kemudian.

KEJADIAN hampir sama dikatakan berlaku di Labis, melibatkan seorang gadis berbangsa Cina. Bukan setakat suara jeritan, dikatakan jelmaan gadis berkenaan dilihat merayau-rayau di sekitar kawasan kemalangan.
Seorang sahabat yang bertugas di sebuah syarikat media pula pernah bercerita kepada saya tentang jelmaan seorang lelaki separuh umur berdiri di tepi jalan sambil memegang tangan anaknya.
Apa yang aneh ialah dua beranak itu akan menyeberangi jalan sebaik kenderaan melintas di hadapan. Tubuh jelmaan itu bagaimanapun lenyap apabila dilanggar, kemudian muncul di seberang jalan yang satu lagi.
Siapa dua beranak itu? Dikatakan mereka terbunuh akibat dilanggar kenderaan semasa melintasi jalan tersebut, tidak lama sebelum itu. Kejadian ini berlaku di pinggir Kuala Lumpur. Tetapi maaflah, lokasi tepatnya tidak dapat diberikan, bimbang anda takut melalui jalan tersebut.

Sebenarnya, kisah-kisah sebegini diceritakan terjadi di seluruh negara. Hanya ia disebarkan kepada umum atau tidak, itu sahaja. Malah ada yang melihat jelmaan mayat di dalam kenderaan yang terlibat kemalangan atau berdiri di tepi jalan.
HANTU! Ya, pasti jelmaan-jelmaan yang dilihat tadi dianggap sebagai hantu, kan? Tapi tidak seperti kita, pengkaji paranormal barat memulakan hipotesis mereka dengan premis, `HANTU ITU TIDAK WUJUD.’ Ujian dan kajian dilakukan dengan menggunakan peralatan serta teori-teori sains.
Untuk pengetahuan anda, hantu dalam bidang ini dipanggil `Entiti.’ Bagi memudahkan pemahaman, kita ulas kes-kes di atas tadi berdasarkan satu teori saja dahulu. Antaranya, jelmaan-jelmaan dalam kes kematian mengejut seperti kemalangan dan pembunuhan, dikelompokkan sebagai entiti yang muncul akibat kekeliruan.
Maksudnya, kematian itu menyebabkan si mati berasa keliru. Sukar untuk dia menerima hakikat dirinya sudah pun mati. Jika anda pernah menonton filem Ghost lakonan Patrick Swayze dan Demi Moore, anda akan faham apa yang dinyatakan ini.
Menurut sains fizik pula, tenaga boleh dipindah dan diubah. Manusia bukan saja terdiri daripada jasad dan roh, tetapi juga emosi dan memori. Emosi dan memori ini mempunyai tenaganya yang tersendiri.
Apabila seseorang itu mati, tenaga emosi serta memorinya terbebas dari jasad. Bagaimanapun, kedua-dua tenaga itu berasa keliru dan tidak dapat menerima hakikat kematian jasadnya.
Tenaga emosi dan memori yang amat kuat inilah yang kemudian berubah menjadi satu entiti baru dalam bentuk-bentuk tertentu, termasuk jelmaan si mati. Dalam sesetengah kes, ia mengeluarkan bunyi serta suara seperti jeritan dan tangisan.
Contoh mudah, kes Highland Towers. Dikatakan sehingga kini – pada waktu-waktu tertentu – penduduk sekitar akan terdengar suara tangisan dan ratapan mangsa yang meninggal dalam tragedi tersebut.
Begitu jugalah yang berlaku selepas Tsunami di Acheh dan Pulau Phuket pada Disember 2004. Banyak jelmaan mangsa yang dilihat merayau-rayau dan pulang ke rumah, sedangkan hakikatnya mereka telah pun meninggal dunia.

______
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

