Beberapa tahun lalu, akhbar Utusan pernah menyiarkan kisah aneh bagaimana seorang gadis mangsa bunuh di Alor Setar, Kedah telah muncul dalam mimpi ahli keluarganya dan memberitahu siapa penjenayah yang telah menzaliminya. Bukan dia saja, dua orang lagi adiknya turut dibunuh si penjenayah tersebut.
Mimpi aneh di Alor Setar itu mengingatkan saya kepada beberapa kisah yang hampir sama. Lebih kurang 10 tahun lalu, seorang sahabat dalam bidang media menceritakan kepada saya sebuah kisah pelik. Menurut sahabat yang bernama Zarina itu, pada pertengahan tahun 2000-an, abang iparnya telah dimasukkan ke wad akibat kanser.
Sekitar pukul 5.00 pagi, dia terjaga apabila telefon bimbitnya tiba-tiba berdering. Anehnya, apabila diangkat tiada suara di hujung talian. Juga tiada sebarang nombor tertera pada skrin telefon bimbitnya.
Pada waktu yang hampir sama, rumah kakak Zarina dikunjungi `seorang lelaki.’ Tetamu itu memberi salam, bunyi tapak kakinya begitu jelas di hadapan pintu. Kakak Zarina segera membuka pintu, namun tiada sesiapa di luar.
Pintu ditutup, namun kemudian kedengaran lagi suara orang berjalan dan memberi salam. Seperti tadi, apabila pintu dibuka, kosong. Kakak Zarina kembali ke katil. Tetapi belum sempat melelapkan mata, dia mendapat panggilan telefon dari hospital memberitahu suaminya baru saja meninggal dunia.
Timbul pertanyaan di fikiran Zarina, siapakah yang menghubungi telefon bimbitnya pada pagi tersebut? Juga, siapakah yang mengunjungi kakaknya sejurus sebelum abang iparnya itu meninggal dunia?

Kejadian yang sedikit berbeza berlaku di Kampung Gobek, Tambun Tulang, Arau, Perlis, pada Mei 1998. Kisah ini diceritakan kepada saya oleh seorang suri rumah bernama Faridah Shaari.
Sekitar pukul 3.00 petang, kata Faridah, dia tidur di lantai ruang tamu rumahnya. Tiba-tiba Faridah terjaga kerana berasa tubuhnya dipeluk dengan erat dari arah belakang oleh sepasang tangan yang sangat sejuk. Memikirkan itu mungkin anaknya, Amir Azwani, 8 tahun, Faridah membiarkan saja.
Tapi dia berasa pelik, mengapa tangan, badan dan kaki Amir begitu sejuk? Bagaikan anaknya itu mandi terlalu lama, atau baru saja memegang ais. Faridah pantas berpaling ke belakang. Kosong, Amir tiada.
Amir bukan saja tiada di belakangnya, malah tidak pulang hingga ke malam. Operasi mencari dijalankan dan mayatnya hanya dijumpai sekitar pukul 6.00 pagi esoknya di dalam sebatang sungai. Amir dipercayai lemas setelah terjatuh ketika menyeberangi jambatan, sekitar pukul 3.00 petang hari sebelumnya, iaitu pada waktu Faridah berasa tubuhnya dipeluk dari arah belakang!
Faridah juga memberitahu saya, seminggu sebelum itu beberapa kali dia bermimpi Amir mati lemas di dalam sungai. Misteri apakah ini? Adakah `roh’ seseorang boleh meninggalkan jasadnya pada saat dia sedang bergelut dengan maut?

Ini pula kisah yang berlaku di Melaka. Pada awal Julai 2001, seorang wanita bernama Habibah Hamidon yang tinggal di Merlimau, Melaka, telah mengalami `mimpi’ yang sangat ganjil.
Habibah memberitahu saya, malam itu antara jaga dan lena, dia terdengar perbualan sekumpulan lelaki. Salah seorang daripada lelaki itu berkata, “Tak lama lagi akan jadi satu hal besar kat tempat kita ni.”
Seorang lain pantas membalas, “Pedulikanlah, dia bukan orang kita. Tak ada kena mengena pun dengan kita.”
Hamidah pantas membuka mata dan menoleh sekeliling. Tetapi yang ada hanyalah suaminya yang sedang tidur lena di sebelahnya. Mimpi apakah yang dialaminya tadi?
Persoalan itu terjawab beberapa hari kemudian, apabila berlaku satu kejadian bunuh yang sangat kejam dan menggemparkan negara. Seorang pelajar berusia 16 tahun telah diperkosa dan dijerut lehernya hingga mati oleh seorang remaja lelaki, di dalam belukar tidak jauh dari rumah Habibah. Ketika itu gadis berkenaan dalam perjalanan pulang dari sekolah.

