PENYANYI popular Indonesia, Krisdayanti bakal mengubat rindu peminat apabila muncul dengan sebuah konsert khas Konsert Cinta Nostalgia Krisdayanti yang akan berlangsung Jun ini.
Krisdayanti atau mesra disapa sebagai KD antara penyanyi dari seberang yang kekal menjadi buah hati peminat di negara ini sejak mula mencuri perhatian dengan kelunakan suaranya mengalunkan lagu Menghitung Hari lebih tiga dekad lalu.
Konsert Cinta Nostalgia Krisdayanti yang dibawakan oleh JBProduction itu bakal menemui peminat pada 22 Jun depan, jam 9 malam di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Ketua Pegawai Kewangan Jaguh Baru Sdn Bhd, Isa A Rani berkata, konsert berkenaan akan menampilkan pengarah muzik terkenal Indonesia iaitu Erwin Gutawa.

“Kami sangat berbangga untuk mempersembahkan Diva dari Indonesia Kris Dayanti yang terus mekar dan menjadi buah hati peminat di negara ini sejak sekian lama.
“Konsert ini juga pasti dinantikan ramai setelah lama Krisdayanti tidak muncul dalam skala persembahan konsert di negara ini.
“Konsert ini juga sebagai kesinambungan dan reportoire yang sangat dekat di hati penonton kedua-dua buah negara ,” katanya.
Pemilihan KD juga kerana reputasi serta kredibiliti penyanyi itu yang bukan saja mempunyai vokal tersendiri, malah bijak berinteraksi serta mesra dengan penonton.
Malam yang bakal dipenuhi dengan momen dan rasa cinta itu akan mengubat rindu peminat selepas KD kali terakhir muncul dengan konsertnya di Malaysia pada 2017 menerusi Konsert Romansa Krisdayanti.

Bagi KD, Konsert Cinta Nostalgia Krisdayanti sangat istimewa untuk dirinya terus menjalinkan rasa cinta dan kasih sayang yang berputik sejak sekian lama dengan peminat di Malaysia khasnya yang tidak pernah jemu menyokong kerjaya seni bintang juara program realiti Asia Bagus 1992 itu.

Dia akui cukup bertuah kerana terus kukuh dalam koordinat seni di negara ini dan terus diingati meskipun ramai penyanyi baru dari Indonesia menempa nama di negara ini.
“Saya akan membawa penonton mendengar dan kembali mengingati lagu-lagu yang penuh nostalgia cinta diiringi pemuzik di bawah pengarah Erwin Gutawa.
“Saya akui bertuah kerana terus disayangi dan diterima baik dan saya berharap terus mendapat sokongan anda semua hadir pada malam Konsert Cinta Nostalgia Krisdayanti nanti.
“Saya juga berharap bukan saja peminat daripada Malaysia hadir, malah peminat Indonesia yang berada di negara ini turut sama-sama memberi sokongan,” katanya.

Mempunyai deretan lagu hits yang sentiasa menjadi siulan peminat, malam Konsert Cinta Nostalgia Krisdayanti pastinya bakal menjadi kisah cinta agung dan kenangan terindah antara KD dan para peminatnya.
Penampilan KD baru-baru ini di pentas akhir program realiti Gegar Vaganza 11 juga ternyata mencuri perhatian peminat di Malaysia dengan dirinya yang sentiasa anggun meskipun bakal memasuki usia lima siri pada Mac ini.
Butiran tiket dan tempahan boleh dibuat melalui UberTickets. Tiket boleh didapati di https://cintanostalgia.ubertickets.asia/ bermula 23 Februari ini.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

