PENYANYI dan penulis lagu berbakat, Adam dan Kat Roshan, buat julung kali bekerjasama menerusi lagu terbaru mereka berjudul Hey U, sebuah kisah penuh emosi yang menggambarkan realiti dalam hubungan cinta yang penuh konflik dan ketidak pastian.
Menurut Adam, Hey U berkisarkan tentang seorang wanita yang begitu mencintai pasangannya, manakala si lelaki pula berusaha mengubah sikap buruknya yang sering curang. Namun, akhirnya, perubahan yang dijanjikan tidak pernah menjadi kenyataan.
“Lagu ini adalah kisah cinta segi tiga yang tipikal tetapi sangat ‘relatable’. Ramai yang pernah mengalami situasi yang serupa,” katanya.
Sementara itu, Kat menambah bahawa lagu ini turut mengupas tarikan dan ketahanan dalam hubungan yang penuh ketidak tentuan.
“Saya menyampaikan lirik yang mencerminkan kekecewaan dan sindiran seorang wanita yang menyedari kecurangan pasangannya tetapi
masih belum mampu melepaskannya,” jelasnya.
Pengalaman Menjayakan Video Muzik (MV) di Paris
Proses penggambaran video muzik Hey U dibuat di beberapa lokasi indah di Paris, Perancis dalam masa yang singkat. Adam menyifatkan pengalaman itu sebagai sesuatu yang menyeronokkan tetapi mencabar kerana mereka perlu bergerak dari satu tempat ke tempat lain dengan pantas.
Bagi Kat pula, suasana di Paris begitu mempesonakan sehingga mereka berusaha untuk merakamkan sebanyak mungkin pemandangan yang indah.
“Kami hanya mempunyai satu setengah hari untuk merakam video muzik ini, jadi semuanya terasa spontan. Namun, saya sempat mengalami sedikit masalah kesihatan akibat makanan, tetapi saya berjaya menghabiskan penggambaran,” katanya.

Kolaborasi dan Harapan Terhadap Lagu Ini
Lagu ini merupakan hasil kerjasama dengan beberapa individu kreatif, termasuk Asyraf Nasir sebagai penulis lirik bersama serta Radityo dan Jayson Teoh sebagai penerbit.
Video muzik pula diarahkan oleh Tobias Nash, yang sebelum ini pernah bekerjasama dengan Kat dalam MV lagu ‘I’m A Rebel’.
Adam berharap lagu ini dapat diterima baik pendengar serta kena dengan pengalaman mereka sendiri.
“Saya mahu lagu ini membuatkan orang tersenyum. Ia ringan, menyeronokkan, dan boleh dikaitkan dengan banyak kisah cinta di luar sana,” ujarnya.
Kat pula turut berharap lagu ini mendapat sambutan baik sekali gus menampilkan sisi dirinya yang lebih santai kepada peminat.
“Saya yakin ramai yang boleh kaitkan dengan mesej dalam lagu ini. Harapan saya adalah agar ia dapat menyentuh hati pendengar dan
memberikan impak positif,” katanya.
Hey U kini boleh didengarkan di semua platform penstriman muzik utama.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

