Seorang gadis kecil menyanyi, suara halusnya mengasyikkan walaupun nadanya lari sedikit. Tapi tidak mengapa, suaranya tetap menarik perhatian penonton yang hadir untuk menyaksikan persembahan itu.
Penonton tetap ghairah mendengar bait-bait lirik lagu Turki dialunkan di dalam intonasi bahasa Jerman. Dewan kuliah, Universiti Teknikal Berlin, Jerman, dihiasi dengan belon, kalungan bunga dibuat mewakili warna rasmi negara Jerman iaitu hitam, merah dan emas menghiasi dinding dan pentas persembahan.
Begitu juga lambang negara Turki, bulan sabit dihias dalam gabungan warna merah dan putih penuh dengan kalungan bunga. Penonton tidak berhenti-henti mengibarkan bendera kecil Jerman dan Turki.
Akademik persatuan kebudayaan adalah sebahagian Gerakan Gulen, menjadi tuan rumah bagi persediaan awal acara ‘Cultural Olympics’. Ramai tetamu yang hadir untuk menyaksikan pertandingan dari peserta yang berbakat besar. Tepuk sorak pun bergema memenuhi dewan kuliah apabila koir dari sekolah Tudesb German-Turkish melantunkan suara.
Lagu Turki, My Little Green Cactus’ menghiburkan. Persembahan diteruskan dengan deklamasi puisi bertajuk ‘Anne” yang membawa maksud emak di dalam bahasa Turki. Seketika nama penulis puisi itu, Fethullah Gulen tertera di layar putih.
Semua yang hadir sudah cukup maklum siapa gerangannya lelaki bernama Fethullah Gulen itu. Malah berjuta umat Islam di seluruh dunia memuja Gulen yang dilahirkan di sebuah perkampungan kecil Kroucuk, Erzurum, Turki pada tahun 1941.
Dia juga adalah salah seorang penceramah yang paling berpengaruh di dalam dunia Islam. Dan, selayaknyalah dia mendapat gelaran itu kerana hamburan kata-katanya mampu mengubah apa saja. Pengikutnya berada di seluruh dunia dengan satu misi iaitu berkhidmat untuk Islam.
Apabila dia berkata membina sekolah lebih baik daripada membina masjid maka pengikutnya di seluruh dunia pun membina sekolah dengan pembiayaan sendiri. Jadi, tidak hairanlah jika Pergerakan Gulen mempunyai lebih 1000 buah sekolah di 140 negara seluruh dunia selain memiliki bank, syarikat media, hospital, syarikat insurans dan universiti. Semua itu bukan dibiayai oleh kewangan pergerakan tersebut tetapi orang perseorangan yang menjadi pengikut setia Gulen.
Dari persembahan itu boleh disimpulkan bahawa Jerman dan Turki ada persefahaman, bermain muzik, menari dan saling bertepuk tangan bersama-sama. Itu bermakna berbeza agama bukan bermakna bermusuh. “Kami adalah pergerakan yang pertama di dalam sejarah peradaban manusia iaitu menumpukan sepenuh perhatian kepada kebajikan,” ulas Mustafa Yesil, Biro aduan Gulen di Istanbul.
Pengaruh Nursi
Siapalah agaknya lelaki yang bernama Gulen itu? Ada wartawan yang menggambarkannya sebagai lelaki yang berwajah sedih dengan penampilan yang cukup ringkas dan sederhana. Namun di sebalik wajah yang sudah dijamah seribu kedut itu punya misi yang tidak terucap dengan kata-kata. Walaupun perjalanan hidupnya tidak dilatari dengan pendidikan yang tinggi namun kecintaannya pada ilmu tinggi melangit.
Pendidikan awalnya bermula di sekolah rendah kampung namun dunia persekolahannya terhenti apabila ayahnya mengambil keputusan untuk membawa Gulen dan keluarganya berpindah. Selepas itu tidak ada lagi pendidikan secara formal yang diterima oleh Gulen.
Ayahnya, Ramiz Gulen adalah imam. Selepas menamatkan persekolahan sekolah rendah secara formal tanpa kerelaannya, Gulen menumpukan perhatiannya kepada pendidikan Islam secara tidak formal. Ketika berusia 14 tahun, buat pertama kalinya Gulen diberi kepercayaan untuk menyampaikan khutbah. Dan, bermulalah kerjayanya sebagai pendakwah, penceramah, pendidik, pemikir dan penulis.
Gulen meneruskan kesinambungan ilmu yang diasaskan oleh ayahnya. Namun dia memikirkan untuk pergi lebih jauh lagi, bukan sekadar menyebarkan ilmu di masjid tetapi ke seluruh pelosok dunia. Dia merasakan ilmu yang ditimba dari ayahnya masih belum cukup lagi bagi menerokai dunia moden. Dalam pencarian itu akhirnya dia bertemu dengan Bediuzzaman Said-i Nursi, pendakwah Kurdis.
Ketika bersama Said-i Nursi, Gulen amat terpengaruh dengan konsep Nur Movement. Ajaran yang dibawakan oleh Said-i Nursi berakar dari tarekat Naqshabandiyah ortodoks dan konservatif. Mesej yang dibawakan adalah Muslim tidak perlu menolak pemodenan tapi pada masa yang sama tetap berpegang kepada ayat-ayat Allah sebagi sumber inspirasi.
Ternyata ideologi yang dibawakan oleh Nursi amat berkesan di hati Gulen dan menjadikannya sebagai pegangan. Cuma beza antara Gulen dan Said-i Nursi adalah keperibadian Gulen yang amat menebal semangat nasionalisnya. Dia juga lebih berorientasikan barat dan lebih mengambil berat pasaran ekonomi serta polisi ekonomi neo-liberal.
Ketika bertugas sebagai imam di masjid di Izmir, Gulen mengamalkan sepenuhnya idea Nursi. Idea itu terus berkembang kerana Izmir adalah sebuah bandar tidak mementingkan latar belakang politik seseorang.
Peluang itu tidak disia-siakan, dakwahnya bukan sekadar berlangsung di masjid tapi mula menular ke dalam masyarakat massa. Gulen memikirkan sesuatu yang lebih jauh lagi bahawa agama bukan hanya tertakluk di sekitar masjid saja. Ia harus dikembangkan merangkumi seluruh aspek kehidupan.
Demi memikirkan usaha dakwah yang lebih global, Gulen meletakkan jawatan sebagai iman pada 1981. Dari situlah dia bergerak bebas sebagai pendakwah dan menyampaikan khutbah di masjid popular di sekitar bandar besar. Pada 1994, Gulen terlibat secara langsung di dalam penubuhan Yayasan Wartawan dan Penulis. Kemudian dia dilantik sebagai Presiden Kehormat yayasan tersebut. Bersambung…
_________________________________________________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

