Benarlah firman Allah! “berpuasa itu lebih baik”

Dari Penulis

Setiap perintah Allah yang disyariatkan pasti mengandungi hikmah dan kebaikan, begitu juga dengan semua larangan Nya, pasti ada kemudaratan dan bahaya bagi hamba Nya. Begitu juga dengan kefarduan berpuasa yang diperintahkan oleh Allah terhadap hamba Nya, pasti ada manfaatnya yang tersendiri.

Kewajipan berpuasa tidak hanya bertujuan untuk merawat jiwa manusia dalam ketaatan dan kepatuhan kepada Allah, tetapi juga sebagai terapi tahunan untuk manusia. Ini dinyatakan sendiri oleh Allah S.W.T. melalui firman Nya,

“Berpuasa itu lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui” (al-Baqarah: 184)

Memandangkan begitu besar sekali pengaruh puasa terhadap kesejahteraan dan kesihatan manusia, beberapa agama lain juga turut menyarankan penganutnya berpuasa sama ada secara sukarela atau berpantang mengambil makanan tertentu.

Hakikat puasa sebagai terapi merawat penyakit bukanlah suatu perkara yang baru, malah telah diperakui sebagai satu kaedah rawatan merawat penyakit sejak beribu-ribu tahun lalu oleh Rasulullah s.a.w. melalui sabdanya,

“Puasa adalah senjata untuk mempertahankan diri” (HR Imam Ahmad)

Di dalam agama lain juga ada menyarankan kepada penganutnya agar berpuasa tetapi bukan dengan menahan lapar dan dahaga dengan tidak makan, tetapi hanya makan dan minum dalam jumlah yang sedikit dari biasa atau berpantang mengambil makanan tertentu.

Namun itu masih tidak relevan untuk dinamakan puasa dalam erti kata yang sebenar, kerana puasa yang berhikmah adalah puasa dengan tidak makan dan minum bermula dari awal pagi sehingga ke Maghrib.

Melalui hasil kajian yang telah dijalankan mendapati, apabila tubuh manusia tidak menerima sebarang makanan atau minuman selama tempoh 14 jam, iaitu bermula dari awal pagi sehingga ke Maghrib, ia tidak sedikit pun memberi sebarang kesan yang memudaratkan terhadap sistem tubuh badan manusia.

Ini kerana, dalam tempoh 3 dan 4 jam yang pertama, tubuh badan akan mendapat bekalan tenaga melalui glukosa yang diperolehi ketika bersahur. Dan untuk jam-jam yang berikutnya, makanan dan minuman berlebihan yang disimpan dalam bentuk glikogen pada hati dan otot manusia akan menjadi sumber tenaga kepada tubuh manusia.

Berdasarkan fakta ini, ternyata puasa tidak akan memberi kesan yang memudaratkan dan menjejaskan fisiologi tubuh badan manusia. 

Manfaat kesihatan

Kebaikan dan kelebihan puasa banyak dinyatakan di dalam al-Quran dan hadis-hadis Nabi s.a.w. dan kenyataan ini telah dibuktikan melalui kajian sains yang banyak menemui kebaikan puasa terhadap kesihatan manusia.

Hasil kajian mendapati, puasa mampu mencegah dan menyembuhkan pelbagai jenis penyakit, dapat mengurangkan paras glukosa yang terdapat pada darah, dan menjadikan tekanan darah lebih stabil. Selain itu ia mengawal masalah diabetes, dapat mengurangkan paras kolestrol, mengurangkan risiko penyakit jantung dan melambatkan pembentukan sel-sel penyakit barah.

Sihatkan sistem pencernaan

Ketika berpuasa, penggunaan tenaga dalam badan pada sistem pencernaan akan dialihkan kepada sistem yang lebih penting seperti sistem imun dan metabolisma tubuh badan. Ini secara tidak langsung dapat memberikan kerehatan kepada sistem pencernaan dan membolehkan tenaga digunakan untuk memperbaiki sistem tubuh lain, terutamanya sistem imun dalam melawan penyakit.

Tambahan pula, semasa berpuasa, berlaku penurunan suhu badan disebabkan metabolisma badan yang rendah dan tahap aktiviti yang menurun. Hormon tumbesaran juga dibebaskan semasa berpuasa dan ini membantu proses penyembuhan lebih efektif 

Kuatkan sistem imun tubuh

Kajian yang dijalankan juga mengesan perubahan dalam pengeluaran hormon tumbesaran manusia (human growth hormone) oleh kelenjar pituari dalam tubuh orang yang berpuasa. Ini memberikan kesan yang positif dalam menguatkan sistem imun tubuh manusia. Apa yang boleh diandaikan, puasa adalah merupakan satu kaedah terapi untuk melambatkan penularan penyakit kronik.

Detoksifikasi 

Proses detoksifikasi adalah proses normal dalam badan bertujuan membuang, menyingkirkan dan meneutralkan bahan-bahan toksik yang tidak diperlukan oleh tubuh manusia melalui usus besar, hati, buah pinggang, paru-paru, limpa dan juga kulit.

Proses ini dipercepatkan lagi semasa puasa kerana tiada makanan yang masuk dalam badan dan badan beralih kepada sumber tenaga daripada simpanan lemak. Apabila lemak digunakan sebagai sumber tenaga, proses autolisis menyebabkan berlakunya pelepasan bahan kimia toksik yang turut tersimpan ke dalam saluran darah dan seterusnya disingkirkan melalui air kencing, peluh, dan najis.

Panjangkan jangka hayat sel

Puasa juga dapat membantu proses rejuvenasi dan memanjangkan jangka hayat sel dan sistem tubuh badan manusia. Keadaan ini berlaku disebabkan oleh proses metabolisma yang rendah dan penghasilan protein yang lebih efektif serta sistem imun yang lebih berkesan menyebabkan pertambahan penghasilan hormon dalam badan semasa berpuasa.

Ini menjadikan seseorang yang mengamalkan puasa akan kekal bertenaga walaupun mengalami pertambahan usia. Ini terbukti melalui kajian terhadap tikus-tikus makmal yang mendapati dengan mengurangkan 50 hingga 70 peratus makanan dan pengambilan kalori dapat membantu memanjangkan jangka hayat serta melambatkan proses penuaan terhadap sistem tubuh tikus-tikus tersebut.

Selain itu puasa juga dapat memberi kesan positif dari sudut psikologi. Ini kerana puasa dapat memberikan masa untuk sel-sel otak berehat dan pada masa sama, bertindak membersihkan sel-sel darah daripada toksik.

Sebaliknya apabila kita makan, banyak sumber tenaga dalam darah dan saraf dihantar ke usus untuk proses penghadaman. Sekiranya tenaga ini tidak diperlukan di usus, ia akan dihantar ke otak untuk proses berfikir.

Apabila badan bebas daripada bahan-bahan toksik, darah yang mengalir ke otak akan menjadi lebih bersih dan menjadikan kemampuan berfikir lebih tinggi, emosi lebih stabil, badan menjadi cergas dan kita lebih bersikap terbuka.

Terapi tenangkan jiwa

Jika kita melihat Ramadan adalah sebagai bulan pendidikan untuk mentarbiah fikrah, jasadiah serta ruhiyah, dengan memastikan niat yang betul, melaksanakan ibadah puasa dan pada masa sama menggandakan ibadat sunat lain seperti qiamullail, berzikir, bertadarus al-Quran dan menjauhi segala perbuatan yang boleh menjejaskannya, maka puasa kita itu dapat menjadi terapi untuk menenangkan jiwa.

Justeru masyarakat tidak perlu bimbang terhadap kesan puasa kepada sistem fisiologi manusia kerana terbukti amalan menahan diri daripada lapar dan dahaga pada siang hari bermula dari waktu imsak hingga Maghrib memberi lebih banyak manfaat daripada kemudaratan. Wallahu a’lam 

_____________________________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

FacebookTwitterWhatsAppTelegramLinkedInCopy LinkShare


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Syarahan Perdana Tokoh Maal Hijrah 1448H Beri Fokus Kepada Mesej Keamanan & Peradaban Kontemporari

PERISTIWA Maal Hijrah tidak seharusnya dibiarkan berlalu sekadar penceritaan lipatan sejarah dan sambutan tahunan semata-mata, sebaliknya ia perlu diangkat...

More Articles Like This