“Terdapat cerita atau mitos rakyat dahulu mengaitkan tentang telaga lama yang dipercayai berhantu & mengambil nyawa manusia” – Osman Ali, pengarah Telaga Suriram

Anna Mohamed
Anna Mohamed
Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

Dari Penulis

KEJADIAN mengenai kehilangan kanak-kanak sememangnya antara kes yang sering menjadi tumpuan masyarakat.

Biarpun kebanyakan kes dapat diselesaikan oleh pihak berkuasa, namun ada juga segelintir kes yang terus menjadi misteri. Oleh yang demikian, ia telah mencetuskan idea buat syarikat produksi Odissi Creative sdn. bhd. untuk menghasilkan sebuah filem berjudul Telaga Suriram.

Pengarahnya, Osman Ali berkata filem berkenaan diinspirasikan daripada secebis kisah yang berlaku suatu masa dahulu, di mana kes kanak-kanak yang mati terjatuh ke dalam telaga.

“Terdapat cerita atau mitos rakyat dahulu yang mengaitkan tentang kepercayaan telaga-telaga lama yang dipercayai berhantu dan mengambil nyawa manusia.

“Jadi, kami rasa adalah sangat menarik untuk menghasilkan sebuah naskhah yang menggabungkan elemen mistik yang penuh dramatik dengan kepercayaan lama yang di warisi turun-temurun,” jelasnya.

Telaga Suriram berkisar kepada kejadian seorang kanak-kanak bernama Suriram yang kehilangannya menjadi misteri penduduk kampung.
Menariknya, filem berkenaan turut menampilkan barisan pelakon-pelakon hebat seperti Maya Karin, Scha Alyahya, Farid Kamil, Ellie Suriaty dan pelakon kanak-kanak iaitu Puteri Rafasya.

Osman berkata, untuk karya terbaharu arahannya itu juga mempunyai kelainan berbanding filem-filem seram lain.

“Telaga Suriram bukan sekadar filem seram biasa yang hanya bergantung kepada elemen kejutan atau hantu sahaja. Saya ingin membawakan pendekatan kepada sikap segelintir masyarakat sekeliling yang masih lagi dibelenggu dan terikut-ikut dengan kepercayaan mitos yang menjadi sebahagian daripada budaya kita,” ujarnya.

Bercerita lebih lanjut mengenai proses pembikinan filem, Osman mengakui turut berdepan cabaran ketika penggambaran dilakukan.

Ujarnya, kebanyakan lokasi penggambaran adalah di kawasan kampung tradisional yang mempunyai kisah tersendiri untuk mendapatkan suasana seram yang lebih autentik.

“Lokasi yang kami pilih semuanya mempunyai kisah mistik tersendiri, jadi memang ada kejadian-kejadian seram yang berlaku seperti suara misteri.

“Selain itu, ada kru yang rasa diperhatikan dan ternampak kelibat pelik. Namun, kami anggap itu semua sebahagian daripada cabaran kerja,” ujarnya.

Sementara itu, Yus Yusop selaku penerbit memberitahu bahawa idea untuk menghasilkan filem Telaga Suriram bermula kerana minatnya terhadap cerita-cerita rakyat yang kaya dengan unsur sejarah dan elemen mistik.

Ujarnya, berdasarkan perbincangan dengan pengarah, pihaknya merasakan cerita sedemikian sangat sesuai untuk diangkat ke layar perak.

“Filem ini dihasilkan pada tahun 2022 dan menjalani proses yang sangat teliti dari peringkat skrip hingga pasca produksi. Itu yang menyebabkan masa selama tiga tahun terpaksa diambil untuk siap secara keseluruhannya.

“Namun begitu, saya percaya penantian untuk ia ditayangkan di layar perak sangat berbaloi dengan hasil yang cukup membanggakan,” ujarnya.

Selain mengharapkan sambutan hangat penonton, Yus juga berharap agar filem ini bukan sahaja dapat menarik perhatian peminat filem seram, tetapi mereka yang menghargai seni dan budaya masyarakat di negara ini.

Telaga Suriram merupakan filem ke-17 arahan Osman Ali ini dan terbitan sulung syarikat Odissi Creative Sdn. Bhd. dengan kerjasama produksi milik Osman Ali, Nuansa Films yang akan ditayangkan di pawagam mulai 1 Mei 2025.

Telaga Suriram menjalani sesi penggambaran selama 45 hari bermula penghujung Januari 2022 yang berlangsung di Perlis, Kedah dan Perak.

SINOPSIS
Telaga Suriram mengisahkan tentang kejadian di sebuah kampung terpencil. Insiden kehilangan seorang anak kecil bernama Suriram menjadi misteri, pelbagai cerita orang kampung tentang korban saka dan anasir mistik menjadi bualan hangat.

Rohaya (Maya Karin) dan Sopiyan terus berusaha mencari kehilangan anak mereka. Seorang gadis bisu yang menjadi pengasuh Suriram bernama Maimon (Nabila Huda) menjadi suspek utama pembunuh Suriram. Zakir (Farid Kamil), seorang bakal pemimpin muda yang memperjuangkan keadilan buat Suriram membantu seorang Pegawai Penyiasat bernama Karmila (Scha AlYahya) bersama-sama dalam
menyiasat dan memperjuangkan keadilan terhadap kematian Suriram.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Keanggunan songket maroon burgundy, sentuhan eksklusif Man Kajang di majlis resepsi anak Che Ta, Ammar Effendy & isteri

DUNIA fesyen tanah air sekali lagi terpukau dengan keindahan busana pengantin yang digayakan oleh pasangan yang menjadi tumpuan ramai,...

More Articles Like This