Semangat Anwar-Prabowo perangi rasuah mampu majukan negara

Dari Penulis

BULAN lalu Indonesia digegarkan dengan skandal rasuah terbesar dalam sejarah negara itu apabila sembilan pengurusan tertinggi PT Pertamina ditahan oleh Komisi Pemberantasan Korupsi (KPK).

Jumlah kerugian negara dalam kes yang berlaku antara tahun 2018 hingga 2023  itu cukup besar iaitu Rupiah 193.7 trilion (RM53 bilion) sehingga Peguam Negara Indonesia Sanitiar Burhanuddin mahu mencadangkan hukuman mati kepada kesemua individu terlibat jika mereka didapati bersalah.

Sememangnya memerangi rasuah menjadi keutamaan kepada pemerintah baru Indonesia yang diterajui oleh Prabowo Subiato dan pada 3 Januari lalu, Menteri Koordinator Bidang Politik dan Keamanan, Budi Gunawan, mengumumkan bahawa pemerintah negara itu berjaya memulihkan 6.7 trilion rupiah (RM1.7 bilion) dana negara melalui pendedahan kes-kes rasuah.

Menurut Gunawan, pencapaian ini dicatatkan dalam tempoh tiga bulan pentadbiran Kabinet Merah Putih di bawah pimpinan Prabowo.

“Kejayaan ini menunjukkan komitmen tegas kerajaan dalam memerangi rasuah dan memastikan aset negara dikembalikan untuk kepentingan rakyat,” kata Gunawan dalam kenyataan rasmi, hari ini

Semalam, Prabowo yang berusia73 tahun dan mengangkat sumpah sebagai Presiden Indonesia pada 20 Oktober tahun lalu, menegaskan, beliau sama sekali tidak akan berkompromi dengan amalan rasuah kerana ia hanya membawa kehancuran kepada negara dan tidak ada negara yang kaya jika ada gejala tersebut.

‘’Saya tidak akan undur menghadapi mereka. Mereka perlu faham saya bersedia mati untuk bangsa dan rakyat negara ini. Saya tidak takut mafia mana sekalipun, saya tidak takut,’’ tegasnya.

Semangat memerangi rasuah Prabowo tidak ada bezanya dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia pada 24 November 2022. 

Di mana-mana sahaja Anwar terus mempertegaskan soal memerangi rasuah dan salah guna kuasa kerana kata beliau, ‘’Kita perlu membersihkan kekusutan rasuah sistemik.’’ 

Dalam satu wawancara dengan wartawan terkenal British-Amerika Mehdi Hasan baru-baru ini bahawa Anwar berkata, kerajaannya kekal teguh dalam usaha membanteras rasuah, dengan siasatan diteruskan terhadap individu yang dituduh menyalahgunakan jawatan awam untuk kepentingan peribadi.

“Jika anda menggunakan jawatan untuk mengumpul berbilion-bilion dolar, saya tidak boleh menghentikan siasatan hanya kerana anda berada dalam pembangkang atau kerajaan,” katanya.

Bagaimanapun Indonesia akan lebih ke depan dalam memerangi jenayah rasuah apabila Prabowo bercadang membina penjara khusus untuk pesalah rasuah di pulau terpencil dan terdapat desakan supaya Undang-Undang Perampasan Aset dilaksanakan segera.

Penyelaras Masyarakat Anti-Rasuah Indonesia, Boyamin Saiman berkata, memenjarakan perasuah sahaja tidak akan mampu menghalang perbuatan itu.

 Justeru beliau mencadangkan pesalah rasuah harus dimiskinkan supaya mewujudkan perasaan takut kepada sesiapa yang berhasrat melakukan  jenayah tersebut.

Mewujudkan penjara khas dan memiskinkan perasuah adalah langkah yang perlu dicontohi oleh Malaysia kerana ia akan mampu mengurangkan gejala itu serta memberi peringatan kepada mana-mana individu terutamanya mereka yang bergelar pemimpin supaya tidak melakukan perbuatan berkenaan.

 Dalam memerangi rasuah apa juga langkah tegas yang boleh menghapuskan gejala itu harus dilaksanakan oleh kerajaan termasuklah cadangan memiskinkan perasuah dengan merampas segala aset mereka dan bukannya sekadar membekukan akaun sahaja.

Tetapi tindakan mestilah benar-benar adil, jika seseorang itu didapati tidak bersalah atau siasatan ke atas mereka sudah selesai maka akaun yang dibekukan harus dilepaskan dan aset yang disita harus dikembalikan.

Semangat memerangi rasuah oleh Prabowo yang berusia 73 tahun dan Anwar yang berusia 77 tahun amat penting untuk kedua-dua negara mencapai status negara maju supaya jenayah itu tidak menjadi hambatan kepada misi berkenaan.

Mengikut Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2021, Indonesia mendapat skor 37 dan menempatkan negara itu di peringkat 99 dari 180 negara. Kedudukan itu masih jauh ketinggalan berbanding Malaysia yang memperolehi skor 50 dan  berada di peringkat 57.

Namun ketegasan Prabowo dijangka boleh mengubah kedudukan menjadi lebih baik daripada Malaysia memandangkan beliau bersedia bertindak ke atas sesiapa sahaja dan tidak akan bekerjasama dengan mana-mana individu terlibat rasuah.

Semangat itu turut dimiliki oleh Anwar yang berkali-kali menyatakan, beliau akan memerangi rasuah habis-habisan, biarpun kerjasama dengan UMNO yang pernah dianggap parti rasuah oleh Pakatan Harapan mencetuskan kontroversi dan perdebatan.

Tetapi semua itu sudah menjadi sejarah, lagipun dalam politik segalanya berkemungkinan. Apa yang penting sekarang ia memerangi rasuah habis-habisan supaya ia tidak menjadi barah kepada negara ini. 

Dalam soal ini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang sejak kebelakangan ini menunjukkan pencapaian luar biasa perlu meneruskan prestasi itu.

Anwar pun sudah menyatakan SPRM bebas dan SPRM pula menegaskan, semua tindakan mereka adalah mengikut undang-undang, tidak bermotif politik dan mendapat arahan sesiapa.

 Sudah pastilah keadaan ini akan membolehkan usaha membanteras rasuah akan lebih berkesan kerana Perdana Menteri sudah berjanji tidak akan mempertahankan mana-mana pemimpin sama ada kerajaan mahupun pembangkang jika mereka terlibat rasuah.

Kesimpulannya, Anwar dan Prabowo menjadikan gerakan menghapuskan rasuah sebagai agenda utama demi masa depan negara masing-masing, siapa yang akan ‘menang’ dulu …sama-samalah kita tunggu.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

PRN Johor: Kempen makin panas, billboard calon PH dirosakkan pihak tertentu – Nie Ching

KEHANGATAN Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semakin terasa apabila beberapa insiden sabotaj terhadap kempen calon Pakatan Harapan (PH) dilaporkan...

More Articles Like This