Kira-kira 150 pelajar tahfiz dan golongan asnaf dirai dalam satu majlis iftar dan sumbangan hari raya anjuran Yayasan Pekema (Persatuan Pengimpot dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia) di Masjid Raja Haji Fi Sabilillah, baru-baru ini.
Presiden Pekema, Datuk Mohamed Nazari Noordin berkata, program terbabit merupakan acara tahunan dan ia adalah sebahagian daripada aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) Yayasan PEKEMA.

“Majlis Seribu Keberkatan dan Kerahmatan Iftar Yayasan PEKEMA yang dianjurkan ini khusus untuk membolehkan kami menyantuni anak-anak asnaf dan tahfiz yang dikasihi sekalian.
“PEKEMA telah mengambil pendekatan secara berterusan dengan menganjurkan program Ramadan seumpama ini pada setiap tahun.
“Usaha seperti ini adalah penting bagi mengeratkan silaturrahim dan mengukuhkan ukhuwah sesama kita sesuai dengan tuntutan Islam,” katanya pada majlis tersebut.

Datuk Nazari turut berharap agar sumbangan yang diberikan dapat membantu meringankan beban dan membawa kegembiraan kepada anak-anak ini dalam menyambut Ramadan dan Syawal yang bakal tiba.
Pada majlis itu, seramai 150 pelajar tahfiz dan asnaf daripada empat pertubuhan telah menerima sumbangan duit raya sebanyak RM100 serta beg sekolah.
Mereka terdiri daripada pelajar asnaf dari SK Cyberjaya, Maahad Tahfiz Al-Husni, Maahad Tahfiz Miftahul Ulum (Banat), dan Madrasah Quran Darussalam (MQDS) Banat.
Dalam majlis yang sama, Yayasan PEKEMA turut menyerahkan sumbangan bernilai RM10,000 kepada wakil Masjid Raja Haji Fi Sabilillah sebagai usaha menyokong dan memperkukuh peranan masjid dalam komuniti.

