Teroka bandar terbesar Pakistan di Karachi dengan penerbangan AirAsia X bermula RM859 dan nikmati keajaiban seni bina dan pemandangan menakjubkan daripada kubu purba dan muzium yang menggabungkan pengaruh seni bina Rajasthan dan Zaman Pembaharuan, pemandangan di sepanjang persisiran Laut Arab dengan keindahan terumbu karang di Pulau Charna atau melawat Pantai Penyu untuk melihat penyu hijau yang terancam sehinggalah bazar Karachi bagi pencinta tekstil.
Penerbangan empat kali seminggu dengan AirAsia X (AAX) ini bakal bermula 30 Mei 2025 dan menandakan satu lagi pencapaian penting dalam pengembangan rangakain antarabangsa syarikat penerbangan ini. Dengan jumlah keseluruhan 22 laluan, AAX terus komited untuk menawarkan perjalanan jarak sederhana dengan tambang berpatutan.
Benyamin Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X berkata AAX satu-satunya syarikat penerbangan tambang rendah di Malaysia yang menawarkan perkhidmatan secara terus ke Karachi di mana laluan baharu ini akan meningkatkan kesalinghubungan antara kedua-dua negara.
“Seiring dengan momentum pertumbuhan kami pada tahun 2024, kami berbesar hati untuk memulakan pengembaraan baharu AAX di Karachi, sekali gus memperkukuh lagi kehadiran kami di pasaran Asia Selatan.
“Karachi adalah sebuah bandar yang dinamik dan kaya dengan sejarah dan ekonomi moden yang berkembang pesat. Kami berbangga menjadi satu-satunya syarikat penerbangan tambang rendah yang menghubungkan metropolis ini ke rangkaian luas kami melangkaui Malaysia.
“Laluan ini juga akan membuka ratusan pilihan sambungan penerbangan yang lancar ke pasaran utama seperti Australia, China, Thailand dan banyak lagi melalui perkhidmatan Fly-Thru.

“Kedua-dua negara ini menawarkan pelbagai tarikan dan pengalaman perjalanan menarik, sama ada untuk urusan perniagaan, percutian atau ibadah, dan bakal menikmati manfaat besar dalam sektor pelancongan dan perjalanan.
“AAX menjangkakan lebih 100,000 penumpang akan menggunakan laluan ini setiap tahun, sejajar dengan komitmen kami untuk menyokong inisiatif kerajaan Malaysia dalam menyambut 30 juta pelancong sempena kempen Melawat Malaysia 2026. Kami berharap dapat memberi sumbangan kepada pertumbuhan dan kemakmuran kedua-dua negara,” katanya menerusi sebuah kenyataan.
Ia secara tidak langsung membolehkan pelancong Malaysia serta warganegara Pakistan di Malaysia untuk membuat perjalanan dengan tambang berpatutan. Selain itu, ia memainkan peranan penting dalam menghubungkan pelancong dari Pakistan ke Malaysia dan seluruh ASEAN, membuka peluang besar dalam sektor perdagangan, pelancongan dan ekonomi di rantau ini.
Bagi meraikan pengumuman ini, AAX menawarkan tambang promosi dari Kuala Lumpur ke Karachi bermula daripada RM859 termasuk semua* sehala dan dari Karachi ke Kuala Lumpur bermula daripada PKR58,999 termasuk semua* sehala. Tambang promosi ini boleh ditempah melalui aplikasi AirAsia MOVE dan airasia.com mulai sekarang hingga 20 April 2025, untuk tempoh perjalanan antara 30 Mei 2025 hingga 27 Mac 2026.

