PENASIHAT DAP, Lim Guan Eng memberi jaminan bahawa semua ahli parti itu akan terus bersatu di bawah kepemimpinan Anthony Loke Siew Fook yang dipilih semula sebagai Setiausaha Agung.
Dalam hantaran di Facebook, Guan Eng turut mengucapkan tahniah kepada Gobind Singh Deo yang mengambil alih jawatannya sebagai Pengerusi DAP.
“Tahniah kepada Anthony Loke kerana dilantik semula sebagai Setiausaha Agung dan kepada Gobind Singh Deo kerana dilantik sebagai Pengerusi Kebangsaan yang baharu.
“Semoga kedua-duanya berjaya dan yakinlah kita akan bersatu di bawah Loke. Mari kita terus maju bersama untuk menjadikan DAP lebih kuat,” katanya dalam hantaran tersebut.
Dalam pada itu, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan turut mengucapkan terima kasih kepada semua penyokongnya.
“Ramai yang menyatakan kebimbangan tentang semua laporan berita tentang saya.
“Hanya ingin meluangkan sedikit masa untuk mengucapkan terima kasih kepada semua penyokong saya dan juga kepada mereka yang tidak menyokong saya.
“Terima kasih atas keprihatinan dan dorongan anda. Saya sangat menghargainya dari hati saya,” katanya.
Baca artikel lain: Kongres DAP platform perhimpunan komponen PH – Loke
Semalam, Guan Eng gagal mempertahankan jawatan disandangnya sebagai Pengerusi Kebangsaan DAP, pada mesyuarat pertama Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) baharu.
Sebaliknya, bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu dilantik sebagai Penasihat DAP bagi menggantikan Tan Kok Wai yang mengumumkan tidak bertanding bagi pemilihan CEC itu.
Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke pula mengekalkan kedudukannya sebagai Setiausaha Agung bagi penggal 2025-2028 dalam pemilihan itu yang berlangsung sempena Kongres Kebangsaan DAP ke-18.
Ini adalah penggal kedua Loke menjawat jawatan berkenaan sejak mengambil alih daripada Lim Guan Eng pada 2022.
Berdasarkan perlembagaan parti, jawatan setiausaha agung hanya membenarkan seseorang memegang jawatan itu selama tempoh maksimum tiga penggal.
Menteri Pengangkutan itu antara 30 pemimpin yang berjaya mendapat undian tertinggi apabila memperoleh 2,508 undi.
Gobind yang juga Menteri Digital mendahului persaingan bagi pemilihan CEC dengan memperoleh 2,785 undi.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming dipilih sebagai Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

