PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada barisan kepimpinan baharu Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP bagi penggal 2025-2028 yang diumumkan semalam.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut berharap barisan kepimpinan baharu itu dapat meneruskan kerja dengan baik dalam satu pasukan selama tiga tahun lagi.
“Tahniah dan terus kerja,” katanya ringkas kepada pemberita selepas menghadiri program Ihya’ Ramadan bersama warga Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), hari ini.
Kira-kira 300 warga KPT mendengar tazkirah Ramadan disampaikan Dekan Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim bertajuk “Maqasid Al-Quran dan Masyarakat MADANI” sebelum menunaikan solat zuhur berjemaah yang diimamkan oleh Mohd Izhar Ariff.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud dan Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr Anesee Ibrahim.
Baca artikel lain: Guan Eng beri jaminan ahli DAP terus bersatu bawah pimpinan Loke
Pada pemilihan CEC yang berlangsung bersempena dengan Kongres Kebangsaan DAP ke-18 semalam, Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke mengekalkan kedudukannya sebagai Setiausaha Agung bagi penggal 2025-2028.
Ia penggal kedua Loke menjawat jawatan berkenaan sejak mengambil alih daripada bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng pada 2022.
Sementara itu, Menteri Digital Gobind Singh Deo dipilih sebagai Pengerusi DAP Kebangsaan yang baharu menggantikan Lim.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming pula dipilih sebagai Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan manakala Ahli Parlimen Kulai yang juga Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching diberi kepercayaan untuk memegang jawatan Naib Pengerusi DAP.
— BERNAMA
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

