LIMA lelaki termasuk dua warganegara Taiwan berdepan hukuman mati atas tiga pertuduhan mengedar dadah, awal bulan ini.
Kesemua tertuduh Liong Boon Siong, 27, Chow Zhi Peng, 30, dan Yeap Jun Le, 22, serta dua warga Taiwan iaitu Peng Wei Sung dan Liu Yu Ting mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di Mahkamah Majistret berasingan di Johor Bharu hari ini.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.Â
Di hadapan Majistret Nabilah Nizam, Liong didakwa mengedar dadah jenis 3,4-methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 20 kilogram (kg) dan methamphetamine dengan anggaran berat 3.8 kg di Jalan Seroja, Ledang Height, Iskandar Puteri pada 4.15 petang
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Seroja, Ledang Height, Iskandar Puteri, pada 4.15 petang, 6 Mac lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39 B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati, boleh dikenakan tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Aishah Latif manakala tertuduh diwakili peguam Hafizatul Shahirah Jamarin.
Sementara itu, di hadapan Majistret Atifah Hazimah Wahab, empat lelaki termasuk dua warganegara Taiwan didakwa secara bersama atas pertuduhan mengedar dadah disyaki jenis MDMA anggaran isipadu satu liter. Kesalahan itu didakwa dilakukan di  Setia Eco Gardens, Gelang Patah kira-kira 12 tengah hari, tarikh sama.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa di bawah Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nik Noratini Nik Azman manakala semua tertuduh diwakili peguam Naizatul Zamrina Karizaman.
Mahkamah menetapkan 19 Jun sebagai sebutan semula kes bagi penyerahan laporan kimia. – BERNAMA

