OLEH: KAMAL SHUKRI ABDULLAH SANI
RANG Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) yang dijadualkan dibentang di Parlimen pada Mac lalu ditunda kepada Julai nanti.
Sementara menanti Julai sempatlah pihak-pihak berkepentingan seperti badan bukan kerajaan (NGO), penduduk yang terlibat dan lain-lain mengadakan sesi dialog awam (town hall) tentang pelbagai isu yang akan terkesan akibat RUU tersebut.
Malah Majlis Perundingan Melayu (MPM) telah pun mengambil langkah proaktif beberapa bulan lalu menubuhkan jawatankuasa khas dianggotai para pakar dan profesional pelbagai bidang untuk meneliti kesan jangka panjang apabila akta tersebut diluluskan nanti.
Menurut Perdana Menteri, akta ini bertujuan untuk memberi nilai tambah yang baik bagi penduduk asal di satu-satu tempat di bandar yang kediamannya sudah ketinggalan zaman, usang, sempit dan tidak sesuai lagi pada era kini.
Kediaman satu atau dua bilik akan berganti dengan sekurang-kurangnya unit tiga bilik dengan segala prasarana baharu dan moden. Pastinya hasrat murni dan suci Perdana Menteri patut dipuji dan disokong. Masakan pembaharuan yang lebih baik ditolak mentah-mentah kecuali oleh mereka yang kurang akal sahaja.
Walau bagaimanapun jelas masih ada suara-suara yang kedengaran sumbang mempertikaikan hasrat suci akta tersebut. Berasaskan keraguan mereka tersebut marilah sama-sama kita merenung sejenak, apakah yang mungkin berlaku atau kesan daripada pelaksanaan PSB tersebut?
Draf rang undang-undang sedang diteliti oleh jawatankuasa pengkaji tersebut yang terdiri daripada pakar-pakar yang berkenaan.
Difahamkan di Kuala Lumpur dan Lembah Klang sahaja tidak kurang 500 buah kawasan dijangka terlibat dengan anggaran lebih 100 buah kediaman.
Perbelanjaan yang terlibat juga dipercayai berjumlah beratus-ratus bilion di seluruh negara termasuk di Kuala Lumpur pun beratus bilion juga.
Perbelanjaan sebegini besar pastinya memerlukan syarikat mega yang benar-benar kukuh untuk melaksanakan projek pembaharuan semula bandar bagi merealisasikan hasrat akta tersebut digubal. Adakah pemaju Melayu- Bumiputera yang bertaraf mega untuk projek tersebut?
Baru-baru ini ada kenyataan dalam akhbar oleh pemimpin persatuan pemaju perumahan Malaysia bahawa sejumlah besar unit perumahan untuk bumiputera di seluruh negara iaitu kira- kira 70% yang berharga lebih RM500,000 seunit telah tidak terjual dalam tempoh setahun manakala unit lain yang berharga dalam lingkungan RM300,000 seunit juga kira-kira 50% tidak terjual dalam tempoh tersebut.
Pastinya pemaju sebagai entiti yang berasaskan keuntungan tidak boleh menunggu lebih lama dan perlu melepaskan pegangan mereka bagi semua unit tersebut. Kepada siapakah agaknya majoriti unit tersebut akan dijual?
Sudah lama dicadangkan agar pihak kerajaan negeri atau persekutuan, agensi tertentu seperti MARA, UDA (sudah pun hilang?) dan lain-lain membeli aset rumah tersebut termasuk unit komersial terlebih dahulu dan melepaskan kepada pembeli bumiputera kemudiannya dengan kaedah tertentu, daripada dibiar terlepas kepada pasaran terbuka. Tetapi nampaknya semacam tiada sebarang usaha dilakukan ke arah itu.
Berbalik kita soal pembinaan unit kediaman baharu yang memerlukan syarikat yang benar-benar kukuh dan bermodal besar untuk membinanya.
Berapa buahkah syarikat bumiputera yang berada dalam kapasiti mega dan kukuh tersebut? Jika akhirnya majoriti atau semua syarikat mega yang terlibat untuk membina kediaman baharu merupakan syarikat bukan bumiputera atau yang bergabung dengan syarikat antarabangsa, adakah keperluan dan kemampuan bumiputera bagi unit kediaman tersebut akan diambil kira dan menjadi keutamaan?
Keraguan pasti wujud kerana sebagai dasar syarikat yang umumnya dalam pasaran bebas dan kapitalis, keuntungan adalah mengatasi segala-galanya.
Malah laba yang amat besar akan masuk ke kantung orang lain dan bertambah banyaklah wang negara mengalir keluar. Dalam keadaan sekarang pun jelas banyak pembinaan unit kediaman di bandar khususnya yang hanya mampu dilihat berbanding mampu milik.
Justeru jaminan bahawa Perkara 153 dalam Perlembagaan iaitu kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera Sabah Sarawak perlu disuratkan secara jelas sebagai mukadimah utama dan penting dalam akta yang hendak dibentang itu. Kawalan dan seliaan juga wajib bagi memastikan Perkara 153 itu dipatuhi.
Jika tidak, kebimbangan orang Melayu khususnya amatlah tepat dan berasas berdasarkan apa yang mereka lihat, telah dan sedang berlaku di depan mata.
Orang Melayu jelas melihat realiti yang telah berlaku di negara jiran. Daripada sebuah pulau dengan majoriti bangsa Melayu, dengan pelbagai peristiwa sejarah tetapi demi pembangunan dan proses pembandaran yang miripnya seumpama PSB, maka tiba-tiba dalam sekelip mata telah menjadi milik bangsa lain dan mereka kini menjadi “penumpang” di tanah nenek moyang dengan memiliki jumlah unit yang sangat minimum di pangsapuri seperti di Chua Chu Kang yang pernah penulis tumpang bermalam, lalu seolah-olah “merempatlah” mereka di bumi sendiri?
Mereka jelas kehilangan segala-galanya, bukan sahaja ekonomi malah akar nilai budaya dan bahasa yang sekadar menjadi tempelan upacara sebagai tanda masih bernafas walaupun seperti nyawa-nyawa ikan.
Malah di utara, di Pulau Pinang telah turut menyaksikan fenomena yang mirip apa yang telah berlaku di selatan itu dalam masa kira-kira 30 tahun sejak 1990-an.
Pembinaan kondominium mewah atas nama pembangunan dan proses pembandaran yang menyerang sehingga sejauh kediaman saudara mara penulis di Kampung Pulau Rusa, di kawasan hulu di Balik Pulau.
Ini secara langsung dan tidak langsung sedang menghambat penghuninya yang tidak lagi mampu memilikinya untuk lari ke Seberang Perai yang sedikit murah kos sara hidupnya, namun sedang beransur-ansur naik.
Apa akan jadi sepuluh, dua puluh tahun akan datang? Dibimbangi wajah Pulau Pinang akan berupa “seekor Singa” tanpa bertukar nama.
Baca artikel lain: Kerana URA, sesama kita berpatah arang, berkerat rotan
Memanglah pembangunan dan pemodenan tersebut tidak tersurat di mana-mana kertas atau manifesto untuk “menghalau” penduduk asal Melayu di situ dan segelintir orang Cina dan India, tetapi kesannya dan “kerakusan” para pemaju dan pemodal tidak pernah mengira siapa.
Kebanyakan mereka di situ terdiri daripada warisan para nelayan yang terbeliak matanya mendengar harga seunit kondo cuma RM800,000-RM 1 juta dan jika menginap di Hotel Lexis di Teluk Kumbar cuma RM700 sahaja semalam.
Pembangunan semula kediaman yang baru akan menambahkan berganda-ganda unit daripada jumlah asal. Misalnya jika asalnya 400 akan bertambah kepada 4,000 unit. Tentulah sebahagian besar adalah unit untuk pasaran terbuka dan dalam pasaran terbuka, sesiapa sahaja yang punya kuasa belian yang tinggi boleh membeli tanpa mengira Melayu, Cina, India atau bumiputera Sabah Sarawak.
Malah warga asing dengan program Malaysia Rumah Kedua warga dari China khususnya dan lain-lain dengan modal kewangan yang besar pasti akan mengisi kebanyakan unit di kawasan elit baharu itu.
Itulah logik pasaran bebas dan bukannya agenda perkauman. Tetapi secara langsung atau tidak langsung, tanpa sengaja mahupun disengajakan, orang Melayu tetap akan terpinggir seperti yang telah dan sedang berlaku di depan mata mereka sendiri iaitu di Pulau Pinang.
Satu masalah lagi yang agak rumit dan perlu ditangani dengan penuh hemah ialah pendudukan di kawasan yang status tanahnya simpanan Melayu dan “Malay Settlement” seperti di Kampung Baru, Kuala Lumpur.
Bagaimana agihan yang adil dengan waris berhak yang banyak dan berlapis-lapis serta penggantian tanah lain yang senilai. Isu Kampung Sungai Baru di Kampung Baru sudah pun menjadi kes mahkamah dan belum selesai. Banyak pihak dipercayai cuba menangguk di air yang keruh.
Kesan seterusnya yang tidak boleh dinafikan ialah demografi penduduk akan berubah. Setakat ini misalnya telah banyak kampung tradisi Melayu di Pulau Pinang terjepit, hilang dan berkemungkinan lenyap terus seperti di Jelutong, Tanjung Tokong, Batu Uban dan Kampung Dodol. Rumah dalam air di Jelutong telah lama lenyap manakala rumah air di Pangkalan Raja Tun Uda di Bagan masih tegak.
Kerajaan Madani hendaklah mengambil langkah proaktif yang tegas dan berani bagi mengelakkan hal seumpama tersebut, tersisihnya demografi Melayu-Bumiputera, merebak ke perbandaran lain di seluruh negara termasuk di Kampung Baru, Kuala Lumpur.
Suara penduduk berdekatan seperti di Kuala Sungai Baru wajib diberi perhatian kerana mempunyai fakta dan asas yang kukuh, sekaligus diharap dapat menyingkirkan kebimbangan berasas penduduk asal yang terlibat khususnya orang Melayu dan bumiputera.
Keadaan yang hampir serupa juga turut terlihat berlaku kepada orang asli di seluruh negara. Dengan usaha penerokaan yang menjarah hutan dengan rakusnya oleh pihak tertentu demi ekonomi, industri pembalakan dan pengwujudan ladang-ladang mega dan sebagainya.
Merujuk jaminan Perdana Menteri bahawa pemilikan hartanah para pemilik asal tidak akan terjejas, memanglah boleh diyakini kerana itu tanggungjawab wajib kerajaan Madani ke atas hak asasi penduduk.
Bagaimanapun, rakyat turut menyaksikan isu kehilangan ratusan ribu hektar tanah simpanan Melayu sehingga tinggal kira-kira 12 peratus peratus sahaja di seluruh sehingga kini.
Maknanya ada kehilangan yang tidak berganti selain daripada berlakunya penyelewengan dalam hal penjualan tanah simpanan Melayu.
Walaupun undang-undang mewajibkan penggantian dengan tanah yang sama nilainya dan berkemungkinan lebih besar tetapi itulah kenyataan pahit bagi orang Melayu. Maka kebimbangan mereka adalah munasabah dan bukan emosi kosong semata-mata.
Yang lebih genting dan merisaukan ialah kesan terakhir pembangunan keseluruhan sesuatu kawasan itu dalam PSB kepada peratus pemilikan hartanah sama ada kediaman atau perniagaan oleh bumiputera di kawasan terlibat juga kesan negatif terhadap kedudukan ekonomi dan kuasa politik sebenar bangsa Melayu-Bumiputera dalam jangka pendek dan sepuluh tahun dari sekarang.
Jika pada masa itu baru disedari, alamat nasi sudah menjadi bubur dan berulanglah kisah sejarah di pulau selatan itu di semenanjung ini.
Justeru mungkin boleh kiranya diundang pakar-pakar dan para profesional untuk meneliti apakah ada kemungkinan yang lebih baik dan adil dalam usaha pelaksanaan Pembaharuan Semula Bandar tersebut tetapi mengguna pakai misalnya konsep “REIT Wakaf” yang adil dan saksama demi keadilan buat penduduk asal dan kepentingan keseluruhan Melayu-Bumiputera di negara ini.
Konsep ini sebagai mekanisme kawalan yang jelas dan kesannya pemilik asal tidak kehilangan hak milik dan mendapat manfaat yang setimpal dengan nilai pasaran selepas pembangunan.
Kepentingan bumiputera dan tanah simpanan Melayu terpelihara melalui REIT Wakaf. Ini kerana tanah pemilik tidak dijual kepada pihak luar tetapi dimasukkan ke dalam “dana amanah wakaf” khas yang diurus secara profesional.
Justeru tanah akan kekal dalam milikan Melayu-Bumiputera. Isu pengusiran pendudukan asal dapat dielakkan sebab mereka masih mempunyai pegangan ekonomi ke atas tanah tersebut.
Daripada pemilikan langsung mereka masih memilikinya melalui unit dalam dana wakaf. Pemilik juga mendapat faedah hasil pengkomersialan, sewaan, jualan unit dan perkongsian keuntungan tanpa perlu menjual tanah mereka.
Sebahagian aset juga boleh dikomersial untuk menjana dana bagi tujuan sosial dan pendidikan. Kerajaan dan institusi berkaitan perlu memberi pertimbangan penggabungan PSB dengan model REIT Wakaf bagi memastikan pembangunan bandar tidak menjejaskan pemilikan dan kesejahteraan Melayu-Bumiputera.
Tanah Simpanan Melayu bukan sekadar warisan tetapi juga aset strategik untuk membina masa depan ekonomi Melayu-Bumiputera dalam arus pembangunan negara.
Yang jelasnya ialah tidak ada sistem atau konsep dalam Islam yang menindas sama ada orang Islam sendiri ataupun orang bukan Islam.
Lihatlah sendiri akan hakikat di sekeliling kita menerusi mata hati, negara yang majoriti penduduknya beragama Islam seperti Malaysia berbanding negara yang penduduk Islamnya ialah minoriti.
Penulis adalah Pengerusi Biro Insan Rabbani dan Komuniti Madani, Majlis Perundingan Melayu (MPM)
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

