ISU keselamatan kediaman pada masa ini lebih menjadi keutamaan bagi penduduk terlibat dalam kejadian kebakaran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya, Selasa lepas berbanding tindakan undang-undang, kata Timbalan Pengerusi Persatuan Penduduk Putra Harmoni, Francis Koh.
Beliau berkata, pada masa ini penduduk yang kurang terjejas sedang memberi fokus kepada pemeriksaan pendawaian serta tahap keselamatan di kediaman masing-masing sejak 9.30 pagi tadi.
“Kita serahkan siasatan kepada pihak berkuasa terlebih dahulu, kita uruskan kemasukan penduduk secara berfasa bagi tujuan pemeriksaan keselamatan.
“Tindakan undang-undang masih awal, yang penting isu kebajikan terlebih dahulu,” katanya ketika ditemui di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK), Subang Jaya, hari ini.
Baca artikel lain: Kebakaran Putra Heights: Hanya seorang mangsa masih dirawat di hospital
Sementara itu, Setiausaha Persatuan Penduduk Putra Harmoni, Peter Lau meminta agensi penguatkuasaan untuk melibatkan persatuan penduduk pada setiap mesyuarat diadakan.
“Kami perlukan informasi untuk disampaikan kepada penduduk, mereka kurang informasi dan disebabkan ini mereka terganggu serta risau. Saya harap pihak berkuasa bekerjasama dengan persatuan penduduk kerana kami ada semua data penduduk termasuk haiwan peliharaan mereka.
“Kami juga sedia membantu mana-mana penduduk yang mempunyai sebarang masalah,” katanya.
Sebelum ini, Bernama melaporkan pemilik 115 kediaman yang kurang terjejas akibat insiden itu dibenarkan masuk ke rumah mereka secara berfasa bermula hari ini.
Pegawai Daerah Petaling Huzunul Khaidil Mohammed dilaporkan berkata fasa pertama membabitkan 41 pemilik rumah di Jalan 1/3A, yang dibenarkan masuk bermula 9.30 pagi bagi pemeriksaan pendawaian sebelum bekalan elektrik dikembalikan.
Setakat semalam, 364 mangsa daripada 74 keluarga terbabit dalam kebakaran itu ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara Masjid Putra Heights dan Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Subang Jaya Camelia.
— BERNAMA
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

