SMART kembali ke tanah air Isnin ini, tiada lagi mangsa terperangkap 

Dari Penulis

 PASUKAN Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) bagi membantu mangsa gempa bumi di Myanmar akan menamatkan operasinya dan pulang ke tanah air Isnin ini.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata selain tempoh operasi mencari dan menyelamat (SAR) oleh SMART telah tamat, ia perlu dihentikan kerana mereka tidak lagi menjumpai mangsa hidup yang terperangkap di bawah runtuhan bencana alam itu.

“SMART kita jumpa seorang sahaja masih hidup dan yang lainnya semua telah meninggal dunia,” katanya kepada Bernama sebelum mengakhiri lawatan rasmi untuk misi kemanusiaan ke Myanmar pada Sabtu.

Misi kemanusiaan sehari itu turut diketuai bersama rakan sejawatnya dari Thailand Maris Sangiampongsa.

Menurut Mohamad, Pengerusi Majlis Pentadbiran Negara (SAC) Jeneral Kanan Min Aung Hlaing dan Menteri Luar Myanmar U Than Shwe turut menzahirkan penghargaan kepada Malaysia atas kecekapan SMART melaksanakan operasi SAR di negara itu selain penyaluran bantuan kemanusiaan yang lain.

Mohamad berkata perkara itu dizahirkan semasa sesi pertemuannya dengan Aung Hlaing dan Than Shwe di sini.

Katanya, SMART telah dihantar ke Sagaing, iaitu kawasan paling teruk terjejas kerana pasukan itu mempunyai kelengkapan mencari dan menyelamat yang mencukupi.

“Malah, saya dimaklumkan penduduk di sana sangat menghormati dan sanjung tinggi pasukan SMART kita sehingga mereka minta pasukan kita jangan kembali ke Malaysia lagi,” katanya.

Malaysia menghantar dua pesawat A400M milik TUDM yang membawa 50 anggota dan pegawai SMART serta pasukan di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) ke Myanmar, bagi operasi SAR pada 30 Mac lepas.

Operasi SAR oleh SMART berjaya mengeluarkan tujuh mangsa termasuk seorang yang masih hidup di bawah runtuhan gempa bumi di Daerah Sagaing, Myanmar sejak Isnin lepas. – BERNAMA


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Kerajaan peruntuk RM9.46 juta laksana 52 Projek Cakna MADANI perkukuh mitigasi banjir di Sarawak

KERAJAAN Persekutuan meluluskan peruntukan RM9.46 juta bagi melaksanakan 52 Projek Cakna MADANI di Sarawak tahun ini sebagai langkah memperkukuh...

More Articles Like This