Di pesisir barat Sumatera di Indonesia, ada sebuah pulau yang dikenali kerana kecantikan alam semulajadi dan pantainya. Itulah Pulau Nias. Penduduk aslinya disebut sebagai ‘orang Nias’ atau dipanggil ‘Oho Niha’ dalam bahasa pertuturan mereka.
Suku Nias ini adalah komuniti yang hidup dengan budaya dan tradisi mereka yang tersendiri, merangkumi pelbagai aspek kehidupan daripada kelahiran sehinggalah kepada kematian.
Salah satu tradisi unik suku ini ialah Fahombo yang juga dipanggil ‘lompat batu’. Ia salah satu ritual yang perlu dijalani oleh pemuda Nias untuk menjadi seorang lelaki sejati dan layak bergelar pahlawan Nias.
Upacara ini memerlukan si pemuda untuk melompat sebuah struktur batu setinggi dua meter tanpa sebarang alat bantuan. Mereka yang berjaya melompat tanpa menyentuh batu tersebut dianggap lulus ujian itu.

Tradisi unik ini lahir lebih seabad yang lalu ketika peperangan sering tercetus antara penduduk kampung di Pulau Nias. Ketika itu, kawasan kampung akan dipasang benteng pagar setinggi dua meter. Lelaki yang ikut berperang haruslah seorang yang sudah berjaya bergelar pahlawan dengan lulus ujian Fahombo agar mampu melompat melepasi benteng pertahanan pihak lawan.
Pada zaman itu, anak lelaki yang berjaya lulus ujian ini dianggap sebagai kebanggaan keluarga kerana berjaya menjadi pahlawan yang akan berjuang untuk mempertahankan wilayah mereka.

Setelah perang tamat, tradisi lompat batu ini masih diteruskan, namun tujuannya sudah berbeza. Ia dijadikan sebagai penanda aras untuk lelaki Nias menginjak alam dewasa atau sudah layak untuk berkahwin.
Biasanya, kanak-kanak lelaki akan mula dilatih melompat seawal usia tujuh tahun. Mereka akan bermula berlatih dengan melompat tali atau tumpukan batu yang rendah dan semakin lama ditambah ketinggiannya.
Lelaki yang akan melakukan lompatan ini akan dilengkapi dengan pakaian tradisional suku Nias. Mereka akan diarak ke seluruh kampung sebelum berkumpul di satu kawasan yang menjadi tempat upacara itu dilaksanakan.
Upacara ini akan dimulai oleh seorang ketua yang terdiri daripada mereka yang berkuasa dan berpengaruh di kampung itu. Para lelaki yang telah bersiap sedia untuk melakukan tradisi ini akan membentuk satu barisan panjang.
Setiap daripada mereka ini diwajibkan untuk melepasi tugu batu yang telah dibina khas untuk ujian ini. Tugu batu setinggi dua meter tersebut seakan bentuk piramid, mempunyai permukaan mendatar di bahagian atasnya.

Apabila acara bermula, peserta akan dilepaskan seorang demi seorang. Apa yang menariknya, ketinggian si lelaki tidak akan diambil kira. Jadi sama ada tinggi atau rendah lelaki itu, mereka diwajibkan untuk melompat batu yang sama dan mereka harus lepas rintangan tersebut.
Lazimnya peserta akan berlari menuju ke arah tugu dan menginjak batu penopang kecil yang disediakan sebelum melompat. Aksi ini tidak ubah seperti seorang ahli gimnastik yang melompat palang. Mereka yang telah berjaya akan dianggap sebagai pahlawan sejati dan akan dihormati.
Ia bukan sesuatu yang mudah. Untuk melakukan Fahombo memerlukan latihan yang berterusan dengan disiplin tinggi supaya mampu bertindak tangkas dan tepat. Jika tidak, ujian ini berisiko boleh menyebabkan patah tulang atau kecederaan lain.
Selari dengan peredaran zaman, tradisi lompat batu kini tidak lagi menjadi kewajipan buat kaum lelaki di pulau ini. Namun, ia dilestarikan sebagai salah satu simbol budaya kaum Nias dan dipersembahkan untuk tontonan pelancong yang berkunjung ke pulau ini.

____
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

