Kaum wanita etnik Red Yao yang mendiami wilayah Fujian di China adalah golongan unik di mana rambut adalah harta milik mereka yang paling berharga. Golongan wanita di sini menjaga rambut mereka dan menyimpannya sepanjang mungkin kerana percaya ia akan membawa tuah, selain turut menjadi simbolik kepada keperawanan seseorang.
Berdasarkan kepercayaan mereka, semakin panjang rambut seseorang, maka nasib mereka akan menjadi lebih baik – mendapat umur yang panjang dan peroleh kekayaan. Ia adalah kepercayaan yang diwarisi secara turun temurun dari nenek moyang mereka sejak 2,000 tahun dahulu.
Sehingga kini, tradisi itu masih lagi diamalkan dan komuniti wanita Red Yao yang mendiami perkampungan ini. Jangan terkejut apabila melihat wanita di sini memiliki rambut yang amat panjang, bahkan digelar sebagai ‘kampung Rapunzel’.

Secara purata, panjang rambut mereka ialah sekitar 1.7 meter, malah ada juga yang melebihi dua meter. Kerana keunikan tradisinya, perkampungan ini telah diiktiraf oleh Guinness World Record sebagai kampung yang mempunyai penduduk berambut panjang teramai di dunia. Bahkan, ianya turut menjadi salah satu lokasi pelancongan terkenal di wilayah Fujian.
Berdasarkan jurnal The Chinese Times yang diterbitkan pada tahun 1890, golongan wanita Red Yao yang sinonim dengan pakaian tradisional berwarna merah ini hanya akan memotong rambut mereka sekali sahaja seumur hidup iaitu ketika berusia 18 tahun. Ia adalah sebagai simbolik seorang gadis yang telah mencapai usia dewasa. Selepas itu, mereka bebas untuk mencari teman hidup dan bersedia untuk berkahwin.
Rambut yang telah dipotong akan disimpan sebaik mungkin sehinggalah tiba hari perkahwinan mereka. Kemudian, ia akan diberikan kepada pihak lelaki sebagai ‘hantaran’ perkahwinan.

Menurut pengkaji kebudayaan masyarakat China, Dr. Herold Jacob Wiens dari University of Michigan, Amerika Syarikat, sebelum menjengah era 1990-an, etnik Red Yao turut mempunyai garis panduan dan peraturan tertentu mengenai rambut seorang wanita.
Mengikut tradisi, rambut wanita Red Yao hanya boleh dipamerkan kepada keluarga terdekat dan dalam kehidupan sehari-hari, kaum wanita akan memakai skarf untuk melindungi rambut mereka.
Dengan kata lain, masyarakat setempat menganggap rambut wanita sebagai aurat dan mana-mana perempuan dari kalangan etnik ini dilarang sama sekali menunjukkan rambut mereka kepada lelaki yang bukan dari kalangan keluarga mereka. Sekiranya adat tersebut dilanggar, mereka akan dihukum.

Jika seorang lelaki tanpa sengaja telah melihat rambut gadis yang belum berkahwin, lelaki tersebut akan dipaksa untuk menikahi gadis berkenaan dan menetap di rumah keluarganya selama tiga tahun. Bagaimanapun, amalan berkenaan tidak lagi diamalkan sejak tahun 1987 dan wanita Red Yao kini berbangga mempamerkan keunikan rambut mereka kepada sesiapa sahaja.
Selain itu, gaya ikatan rambut turut memainkan peranan penting kepada wanita-wanita ini kerana ia mempunyai maksud tersendiri serta melambangkan status sosial seseorang.
Sekiranya rambut hanya dibalut di sekeliling kepala, ia bermakna seseorang itu telah berkahwin tetapi tidak mempunyai anak. Jika cara ikatan rambut mempunyai sedikit lebihan kecil di bahagian hadapan pula menunjukkan bahawa wanita berkenaan telah berkahwin dan mempunyai anak. Manakala jika seseorang wanita itu memakai penutup di seluruh kepalanya, ia membawa maksud wanita tersebut masih belum berkahwin dan sedang mencari teman hidup.

Kebiasaannya, kebanyakan wanita selalu merungut untuk menguruskan rambut yang panjang, tetapi wanita Red Yao pula mempunyai cara yang tersendiri untuk menguruskan rambut mereka. Ianya tidak dibasuh setiap hari, tetapi hanya akan diuruskan setiap kali tibanya musim panas dan musim luruh.
Apabila tibanya peralihan musim ini, wanita-wanita berambut panjang dari perkampungan Huangluo akan berbondong-bondong memenuhi dataran sungai Jinjiang untuk membasuh rambut. Mereka menggunakan syampu khas yang diperbuat daripada ramuan tradisional serta turut membilasnya menggunakan air basuhan beras.
Ia merupakan petua turut temurun yang diamalkan oleh kaum wanita etnik Red Yao bagi mengekalkan tahap kesihatan dan menghitamkan rambut mereka. Selepas dibasuh, rambut akan dikeringkan dan kemudian didandan semula mengikut status masing-masing. Dan ramuan mereka itu membuatkan rambut mereka hitam berkilat, bahkan sukar melihat uban walaupun pada wanita yang sudah bertaraf warga emas.
Namun, populasi di sini dilihat semakin mengecil apabila ramai di kalangan penduduk kampung mula berhijrah ke bandar-bandar berdekatan. Hanya komuniti etnik Red Yao di kampung Huangluo sahaja yang masih lagi mengekalkan tradisi unik ini.

___
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

