AirAsia X (AAX) menyambut ulang tahun pertama laluan Kuala Lumpur-Almaty, menandakan kejayaan besar dalam usaha menghubungkan dua rantau yang semakin mendapat perhatian dalam kalangan pelancong moden.
Sempena pencapaian ini, AAX mengumumkan peningkatan kekerapan penerbangan kepada lima kali seminggu, menyediakan hampir 27,000 tempat duduk untuk suku tahun akan datang, berita gembira buat pengembara yang ingin meneroka pesona Kazakhstan atau melarikan diri ke tropika Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif AAX, Benyamin Ismail berkata sambutan luar biasa pelanggan membuatkan mereka lebih teruja untuk menawarkan lebih banyak penerbangan ke destinasi menarik ini.
“Almaty kini semakin popular sebagai tarikan pelancongan dan peluang perdagangan, dan kami yakin pertumbuhan ini akan terus berkembang seiring Malaysia menyandang kerusi Pengerusi ASEAN 2025,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Manoharan Periasamy turut menekankan betapa pentingnya laluan ini dalam menyokong sasaran kempen Visit Malaysia 2026 yang telah menarik 45 juta pelawat dan menjana RM270 bilion.
“Kazakhstan adalah pasaran strategik bagi kami, dan penerbangan terus seperti ini membuka lebih banyak peluang pelancongan dua hala yang bermanfaat,” katanya.
Sejak penerbangan sulungnya pada 14 Mac 2024, laluan ini telah menunjukkan prestasi luar biasa dengan kadar muatan sekitar 90 peratus. Menjadi satu-satunya syarikat penerbangan yang mengendalikan penerbangan terus antara Kuala Lumpur dan Almaty, AAX terus memainkan peranan penting dalam merapatkan hubungan pelancongan dan ekonomi antara Asia Tenggara dan Asia Tengah.
Lebih menarik, AAX kini mengorak langkah ke hadapan dengan menandatangani Memorandum Persefahaman bersama Almaty Tourism bagi memperkukuh kerjasama dua hala demi menjadikan Almaty sebagai destinasi utama pelancong Malaysia, Singapura dan Indonesia. CNN dan Lonely Planet pun sudah mengiktiraf bandar ini sebagai ‘destinasi wajib dilawati’.
Melalui kemudahan Fly-Thru di Kuala Lumpur, pelancong dari Almaty kini boleh meneruskan perjalanan ke lebih 130 destinasi lain dari syurga tropika seperti Langkawi dan Bali, ke kota penuh budaya seperti Bangkok dan Da Nang. Malaysia, dengan tarikan pelbagai budayanya, menjadi pintu masuk sempurna buat pelancong Asia Tengah meneroka ASEAN.
Untuk meraikan kejayaan ini, AAX menawarkan promosi menarik dengan diskaun 25 peratus untuk semua tempat duduk bagi semua penerbangan dari dan ke Almaty, termasuk sambungan ke destinasi seperti Sydney, Manila, Krabi dan Kota Kinabalu.
Tempahan boleh dibuat dari sekarang hingga 27 April 2025, untuk perjalanan antara 28 April hingga 30 November 2025. Tambahan pula, nikmati diskaun untuk pilihan tempat duduk dan bagasi daftar masuk apabila menempah bersama penerbangan.
Jadi, apa tunggu lagi? Almaty yang digelar ‘Switzerland Asia Tengah’ menanti kunjungan anda – dengan gaya dan nilai terbaik dari AirAsia X.

