Salah satu filem animasi popular keluaran Walt Disney ialah Alice in Wonderland, kisah pengembaraan gadis bernama Alice yang masuk ke dalam dunia fantasi.
Ramai orang sukakan animasi ini yang berasal dari sebuah novel yang dikarang oleh penulis Inggeris, Charles Lutwidge Dodgson. Namun, tahukah anda tajuk Alice in Wonderland itu bukan semata-mata filem animasi kanak-kanak yang popular, tetapi juga merujuk kepada sejenis sindrom aneh yang benar-benar wujud.
Nama penyakit ini memang diinspirasikan daripada cerita ini dan telah dikesan oleh Dr. John Todd pada tahun 1950. Salah seorang pesakit yang pernah dilaporkan ialah kanak-kanak berusia 6 tahun bernama Olivia dari Amerika Syarikat. Olivia sering mengadu objek yang berada di hadapan matanya akan membesar secara tiba-tiba.
Imej pada pandangan matanya sama seperti kita melihat sesuatu objek menerusi kanta cembung. Jika Olivia melihat manusia, bahagian kepala atau tubuh badan orang itu akan membesar dengan tiba-tiba.
Sindrom yang dialaminya seakan seperti animasi Alice in Wonderland di mana kebanyakan watak dalam cerita itu mempunyai fizikal badan yang pelik iaitu berkepala besar dan berbadan kecil. Imej seperti inilah yang sering kali dilihat oleh Olivia, di mana pandangan dan pemikirannya tidak dapat membezakan antara yang betul dan fantasi.

Masalah penglihatan Olivia itu menyebabkan anak kecil itu sukar untuk bergaul dengan orang sekeliling. Ini kerana sesiapa yang mendekatinya dilihat Olivia bagaikan ‘alien’ yang menakutkan.
Olivia dibawa berjumpa doktor untuk pemeriksaan. Selepas didiagnosis, Olivia disahkan mengidap Alice in Wonderland Syndrome (AIWS). Apa sebenarnya sindrom yang menggunakan nama filem animasi terkenal itu?
Penyakit AIWS juga dikenali juga sebagai sindrom Todd. Ia merupakan suatu keadaan di mana berlakunya disorientasi saraf pada bahagian otak yang mempengaruhi persepsi penglihatan pada manusia.

Mereka yang mengalami sindrom ini akan mengalami dua jenis penglihatan iaitu penglihatan micropsia dan macrosia. Micropsia adalah satu keadaan yang memberi kesan kepada persepsi penglihatan manusia terhadap sesuatu objek di mana objek yang dilihat adalah lebih kecil daripada saiz sebenarnya. Misalnya, seorang pesakit AIWS melihat kucing peliharaannya menjadi sekecil tikus.
Manakala macrosia pula merupakan penglihatan yang membuatkan objek menjadi lebih besar daripada yang asal. Keadaan ini menyebabkan mereka rasa diri mereka lebih kecil daripada objek yang dilihat.
Kebanyakan laporan kajian menunjukkan gejala ini kebiasaannya berlaku pada peringkat kanak-kanak. Tetapi ada juga yang berlaku kepada mereka yang sedang meningkat remaja.

Bagi golongan kanak-kanak, terdapat beberapa faktor penyebab kepada gejala AIWS ini. Sindrom ini kebiasaannya berlaku disebabkan masalah ketumbuhan dalam otak dan juga mereka yang mengalami sawan (epilepsi) ketika masih kecil.
Tanda-tanda awal mereka yang menghidap penyakit ini ialah selalu mengalami masalah migrain. Sindrom ini mengakibatkan sistem saraf di dalam kepala akan mengalami gangguan yang boleh menyebabkan masalah halusinasi.
Sindrom ini juga boleh memberi kesan kepada beberapa deria lain seperti pandangan, sentuhan dan deria pendengaran. Sesetengah pesakit merasakan waktu di sekeliling mereka bergerak terlalu laju atau berhenti tiba-tiba.
Kajian mendapati, keadaan ini berlaku bukan disebabkan masalah mata atau halusinasi tetapi berpunca bagaimana otak pesakit menerima atau mencerna keadaan sekeliling.
Pesakit sindrom ini juga bukan gila, tetapi otak mereka mentafsir maklumat visual dengan cara yang salah, sehingga menyebabkan mereka melihat sesuatu objek itu dalam keadaan yang aneh.
Tiada rawatan khusus bagi merawat sindrom ini. Kebanyakan mereka yang mengalami AIWS akan diberi rawatan yang sama seperti yang diberikan kepada pesakit migrain. Mereka akan dibekalkan ubat penghalang anticonvulsants (sawan) dan juga antidepresan (kemurungan).
Biar apa pun penyebabnya, simptom-simptom sindrom itu boleh berulang beberapa kali dalam sehari. Sindrom ini tidak berbahaya dan tidak berjangkit.
Masih ada peluang untuk mengubati penyakit ini. Ada antara pesakit kanak-kanak dapat menghapuskan sindrom ini setelah merea meningkat dewasa. Namun, ada juga yang kekal dengan penyakit ini sehingga ke tua.

 Antara kes pesakit sindrom Alice In Wonderland :
*Seorang remaja berusia 17 menyatakan apabila sindrom ini menyerangnya, dia melihat objek di sekelilingnya akan mengecil atau ada objek yang saiznya tiba-tiba membesar. Dia juga akan merasakan tubuh badannya akan mengecil atau berasa mendengar suara orang yang berada jauh darinya.
*Seorang pesakit berusia 68 tahun diserang sindrom ini dan merasakan semua yang ada di sekelilingnya bergerak begitu laju. Jika tidak, dia melihat objek di sekitarnya bergerak terlalu perlahan. Dia juga melihat orang berdekatan dengannya berubah warna dan menjadi semakin besar seperti gergasi. Walaupun sindrom ini tidak mengakibatkan maut, tetapi disebabkan tertekan dengan sindrom ini menyebabkan pesakit ini diserang penyakit dementia dan dua bulan kemudian meninggal dunia.
___
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

