POLIS kini giat menjejaki sekumpulan lelaki berparang selepas melakukan jenayah samun di sebuah kedai bunga di Jenjarom, Kuala Langat kira-kira 1.30 tengah hari semalam.
Video penuh kejadian: https://t.me/infoutusantv/10134?single
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Deputi Superintendan Mohd Sufian Amin berkata, satu laporan telah diterima daripada seorang wanita pada pukul 4.50 petang.
Menurut laporan, mangsa didatangi sekumpulan lelaki yang disyaki warga tempatan menggunakan sebuah kereta Proton Saga berwarna putih dalam keadaan kepala bertutup dan bersenjatakan parang.
“Mereka bertindak mengacukan parang sebelum meragut rantai emas milik pengadu yang dianggarkan bernilai RM4,000 sebelum melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Sufian berkata, mangsa dan anaknya tidak mengalami sebarang kecederaan.
Polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di talian 03-31872222 bagi membantu siasatan.

